Raja Perlis sentiasa titik beratkan kesejahteraan negeri dan rakyat

Raja Perlis sentiasa titik beratkan kesejahteraan negeri dan rakyat

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail bersama rakyat jelata menunaikan solat Aidilfitri di pekarangan istana Arau baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI ketua negeri, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sentiasa menitik beratkan soal kepentingan negeri ini khususnya demi kesejahteraan rakyatnya.

Tuanku Syed Sirajuddin juga dilihat seorang yang tegas dan cermat apabila membuat sesuatu keputusan demi kepentingan Perlis dan baginda juga sentiasa peka dengan perkembangan pentadbiran kerajaan negeri dengan sentiasa memberi nasihat atau teguran untuk kebaikan negeri yang sangat dicintai.

Baginda juga sentiasa melontarkan pandangan atau buah fikiran untuk dipraktik atau dilaksanakan selaras dengan perkembangan semasa demi kebaikan dan pembangunan negeri ini agar tidak ketinggalan.

Malah dalam titah ucapan baginda yang dibacakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena istiadat perasmian penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 baru-baru ini, baginda juga ada menitipkan nasihat dan teguran kepada kerajaan negeri.

Antaranya dalam aspek sesuatu perbelanjaan yang dibuat iaitu perbelanjaan yang benar-benar perlu bagi mencapai keberhasilan dan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan.

Baginda juga mahu kerajaan negeri melipatgandakan usaha bagi meningkatkan hasil negeri melalui sumber-sumber baharu selain perlu membuat analisa kritikal dan berani dalam membuat keputusan bagi pelaksanaan dasar-dasar baharu yang baik.

Malah, dasar dan projek yang sudah tidak relevan dengan dinamik semasa perlu diubah suai atau diganti segera agar memberikan faedah maksimum kepada rakyat.

Baginda juga menyeru agar wakil-wakil rakyat menjalankan peranan masing-masing sebaiknya bagi menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata selain sentiasa melihat, mendengar dan memahami permasalahan rakyat seterusnya mencari jalan penyelesaian isu-isu yang berkaitan.

Dalam titah sempena istiadat perasmian penggal persidangan kedua DUN Perlis itu juga, baginda menasihati semua kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat keseluruhannya supaya benar-benar menghayati dan beramal dengan pegangan ahli sunnah wal jamaah seperti mana yang telah termaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan Perlis dengan sebaik mungkin.

BANDAR PINTAR
Baginda juga menitik beratkan soal bandar pintar negeri Perlis apabila ia dapat direalisasikan sekali gus bakal meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyediakan kaedah bagi mengatasi cabaran perbandaran melalui penyelesaian smart nation dan penggunaan teknologi.

Tuanku Syed Sirajuddin juga sedia maklum bahawa kerajaan negeri ketika ini sedang menyediakan blueprint dan pelan tindakan bandar pintar negeri Perlis itu yang bakal menjadi panduan utama dan hala tuju di peringkat negeri ke arah merealisasikan Bandar Pintar Negeri Perlis itu.

Menyedari perkembangan teknologi semasa khususnya dengan kemajuan penggunaan kecerdasan buatan (AI), baginda juga mahu semua anggota pentadbiran serta penjawat awam memperlihatkan keupayaan menjalankan tugas yang diberikan secara total dan kreatif.

Teguran atau nasihat baginda itu perlu diambil perhatian serius demi memastikan negeri ini terus berdiri gah sama ada dalam aspek pembangunan atau kerancakan ekonominya yang akhirnya rakyat bakal menikmati manfaat.

Hari ini, tanggal 17 Mei, Tuanku Syed Sirajuddin menyambut ulang tahun keputeraan baginda ke-81. Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 bagi menggantikan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Sejak dari dahulu, Tuanku Syed Sirajuddin sangat disayangi oleh seluruh rakyat jelata berikutan sifat prihatin baginda yang sentiasa mengambil berat soal rakyat.

Bagi rakyat Perlis, baginda umpama payung yang menjadi tempat berteduh dan kasihnya rakyat terhadap Raja Perlis tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sikap pengasih dan keprihatinan baginda itu membuatkan rakyat berasa cukup bertuah mempunyai seorang raja berjiwa rakyat.

Malah, keprihatinan baginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat juga sentiasa diteruskan oleh pewaris takhta baginda iaitu Tuanku Syed Faizuddin.

Mengambil kesempatan sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-81, sebagai anak jati Perlis, saya mendoakan baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memayungi Perlis di samping Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Di kesempatan sama, saya juga menitipkan doa agar Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua terus dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melindungi rakyat di negeri ini.

Bagi rakyat Perlis, kami sangat bertuah mempunyai seorang raja dan puteranya yang sentiasa ada bersama rakyat.

Daulat Tuanku ! – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×