Nikmat hari-hari dapat berdoa di Raudah - Utusan Malaysia

Nikmat hari-hari dapat berdoa di Raudah

ZURAINI (kiri) ketika ditemui penulis di Masjid Nabawi baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
SUKAR untuk membezakan sama ada wanita berpurdah ini warganegara Arab Saudi atau Malaysia seandainya terjumpa di Masjid Nabawi.

Namun, percayalah individu ramah dan gemar bersembang ini masih ‘pekat’ berjiwa serta berbahasa Melayu walaupun sudah lebih 10 tahun menetap di Arab Saudi

Apa yang menarik wanita ini mempunyai 1,001 kisah pengalaman hidup yang boleh dikongsi bersama ketika berkhidmat di Masjid Nabawi dan Raudah, di samping anaknya yang turut bekerja di tempat sama.

Justeru wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual ZURAINI MUKRI berusia 46 tahun, yang berkongsi kisah pengalaman lebih setahun bekerja di Masjid Nabawi dan Raudah.

DARI CSI KE MASJID NABAWI
MINGGUAN MALAYSIA: Sejak bila mula menetap di Madinah dan bekerja di Masjid Nabawi?
ZURAINI:

Saya mula menetap di Madinah sejak 10 tahun lalu dengan mengikut suami yang bekerja sebagai pensyarah di Universiti Taibah. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama seperti bidang berkaitan hadis atau apa sahaja berkaitan agama sehingga dapat bekerja di Masjid Nabawi.

Sebaliknya, pendidikan saya berlatar belakangkan teknologi makmal perubatan daripada institut penyelidikan perubatan universiti awam di ibu negara.

Saya juga pernah bekerja di Adelaide serta Brisbane, Australia selama beberapa tahun. Sepanjang di Australia, saya bekerja bersama-sama unit tempat kejadian jenayah (CSI). Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, saya balik ke Malaysia untuk seketika apabila suami mendapat tawaran di Leicester, United Kingdom. Namun saya hanya menetap di Malaysia setahun sebelum datang ke Madinah.

Tugas saudari di Masjid Nabawi?

Tugas saya lebih kepada kerja-kerja penterjemahan terutama untuk jemaah haji atau umrah serta pelawat dari Indonesia, Malaysia, Brunei dan Thailand.

Di samping itu, katakanlah ada kes-kes kecemasan seperti jatuh sakit lebih-lebih lagi melibatkan jemaah dari negara terbabit, saya akan bantu terutama dalam aspek komunikasi. Dalam erti kata lain, saya menjadi perantara antara doktor dan pesakit berkenaan.

DUA JAM BERDOA DI RAUDAH
Antara pengalaman paling tidak boleh dilupakan?

Ada banyak. Tetapi apa yang saya rasakan sehingga kini adalah kenikmatan yang saya dapat iaitu beribadat serta berdoa dalam Raudah. Setiap hari saya boleh datang dan duduk di situ antara dua jam.

Malah, di Tiang Aisyah R.A antara tempat yang saya saling kunjungi dan berdoa tanpa ada sebarang gangguan. Selain itu, apa yang saya perhatikan, orang Malaysia kurang mahu bertanya di kaunter tentang hal-hal berkaitan dengan Masjid Nabawi dan Raudah. Sedangkan kaunter wanita terletak di Pintu 25 masjid Nabawi. Jangan ingat orang Arab kasar.

GUNAKAN PELUANG
Apa yang dipelajari selepas setahun bertugas di Masjid Nabawi?

Kita perlu ingat orang yang datang ke sini ini ada pelbagai latar belakang berbeza-beza. Malah ada bermacam-macam perangai. Jadi, saya perlu layan mereka macam biasa, dengan penuh harapan untuk membantu mereka. Di samping itu, apa yang saya selalu perhatikan ketika bekerja di sini ialah keazaman segelintir penduduk dari negara miskin yang berjaya menjejakkan kaki ke bumi Madinah dan Mekah.

Awak bayangkan bagaimana mereka bekerja keras untuk datang ke sini. Mengapa orang miskin boleh sampai ke Mekah dan Madinah tetapi ada orang kaya tidak? Lagi satu perlu diingat, apabila ada peluang masuk ke Raudah, gunakan peluang tersebut sebaik mungkin. Semua orang hanya ada beberapa minit sahaja.

BANYAK CABARAN
Cabaran ketika berkhidmat di kedua-dua tempat suci dan apakah sisi lain yang perlu umat Islam tahu tentang cara hidup di Madinah?

Cabaran yang banyak saya hadapi sebenarnya ketika mula-mula sampai di Madinah. Bayangkan semua huruf dalam bahasa Arab termasuk papan tanda di jalanan. Memang sukar untuk menyesuaikan diri. Tetapi saya bersama suami dan anak-anak selalu ingat bahawa Nabi Muhammad SAW akan beri syafaat bagi sesiapa yang sabar menghadapi kesulitan selama berada di Madinah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN