Kanak-kanak bawah umur tiada liabiliti jenayah

Kanak-kanak bawah umur tiada liabiliti jenayah

FAKTOR umur dan tahap kematangan kanak-kanak berdasarkan peruntukan undang-undang memberi perlindungan yang luas kepada golongan ini dari liabiliti jenayah. – GAMBAR HIASAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mendedahkan kepada wartawan mengenai peningkatan kes rogol yang dilakukan oleh kanak-kanak bawah umur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau memberi contoh tahun lalu berlaku kes rogol beramai-ramai kanak-kanak berusia sembilan tahun di Kelantan.

Bagaimanapun berlaku suspek-suspek kes tersebut tidak dapat dibuat pendakwaan kerana semua suspek berumur sembilan dan 10 tahun.

Berdasarkan peruntukan di bawah Kecualian Am, Kanun Keseksaan tidak mempersalahkan kanak-kanak atas apa-pa juga perbuatan jenayah yang dilakukan oleh mereka.Maknanya, di sisi undang-undang mana-mana kes berkaitan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dianggap tiada liabiliti jenayah untuk difailkan pendakwaan ke atas mereka.

Memang dalam realiti kehidupan kanak-kanak jarang melakukan jenayah, apatah lagi jenayah berat. Namun, realiti juga menunjukkan bahawa ada kes jenayah yang dilakukan kanak-kanak yang kebanyakannya melibatkan jenayah kecil. Kes-kes jenayah berat seperti pembunuhan, rogol dan sebagainya amat jarang sekali kita dengar (kes terpencil) dilakukan oleh golongan ini.

Persoalannya siapakah yang dimaksudkan atau ditakrifkan sebagai kanak-kanak dari sudut takrif undang-undang? Persoalan selanjutnya ialah mengapa undang-undang tidak meletakkan liabiliti jenayah ke atas kanak-kanak? Walaupun saya bukanlah seorang pengamal undang-undang, namun mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat dan dilantik sebagai ‘Pelindung’ di bawah Seksyen 8 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Selain Akta Kanak-Kanak 2001, saya juga telah didedahkan dengan undang-udang berkaitan dengannya seperti Kanun Keseksaan. Menurut pengertian undang-undang, kanak-kanak adalah seorang yang belum mencapai umur dewasa. Ini berdasarkan Seksyen 2, Akta Umur Dewasa, 1971(Akta21) menyatakan orang dewasa ialah seseorang (lelaki dan perempuan) yang telah mencapai umur 18 tahun.

Ini bermakna mereka yang di bawah umur 18 tahun adalah ditakrifkan sebagai kanak-kanak. Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan ‘kanak-kanak sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun. Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (UNCRC) meletakkan garis panduan yang dimaksudkan kanak-kanak itu ialah mereka yang berumur 18 tahun, kecuali di bawah undang-undang yang terpakai terhadap kanak-kanak usianya boleh dicapai lebih awal.

Persoalan, adakah kanak-kanak seperti orang dewasa mempunyai hak dan tanggungan di bawah undang-undang jenayah dan sivil? Pada asasnya di bawah undang-undang jenayah kanak-kanak diberi perlindungan yang cukup luas, namum mereka boleh dihadapkan ke mahkamah bagi kesalahan jenayah.

Dalam konteks ini, kita mestilah merujuk dan memahami peruntukan di bawah Seksyen 82 dan Seksyen 83 Kanun Keseksaan.

Seksyen 82 memberikan pelepasan mutlak kepada kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun daripada tanggungan jenayah, manakala Seksyen 83 pula menyebut kanak-kanak yang berusia antara 10 tahun hingga di bawah 12 tahun dikecualikan daripada tanggungan jenayah sekiranya kanak-kanak itu didapati belum cukup akal untuk menimbangkan keadaan dan akibat perbuatannya pada masa ia melakukan jenayah.

FAKTOR UMUR
Jelas sekali bahawa di bawah Seksyen 82 pengecualian kanak-kanak dari tanggungan jenayah adalah secara mutlak, manakala seksyen 83 andaian tidak bersalah boleh disangkal dengan bukti bahawa budak itu belum matang atau cukup matang. Yang jelas dari kedua-dua seksyen itu ialah kanak-kanak mengikut Kanun Keseksaan diambil kira dengan dua perkara iaitu umur dan tahap kematangannya.

Persoalan yang sering ditanya ialah mengapa kanak-kanak diberikan pelepasan dari tanggungan jenayah? Ini adalah berdasarkan prinsip doli incapax iaitu tidak berupaya melakukan jenayah (inability to commit crime), terutamanya kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dianggap kurang kemampuan dari segi kematangan berfikir dan tidak berupaya untuk membentuk niat jahat atau ‘mensrea’. Ini termasuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun (Seksyen 83) sekiranya kanak-kanak itu dibuktikan belum matang.

Hakikatnya, tidak seperti orang dewasa, kanak-kanak dianggap tidak berupaya merancang dan melakukan perbuatan jenayah. Dalam erti kata lain kanak-kanak tidak memiliki niat jahat untuk melakukan jenayah serta mereka juga tidak tahu kesan daripada perbuatan mereka itu.

Seperti yang disebut bahawa Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 yang menyatakan bahawa umur dewasa bermula apabila seseorang itu mencapai 18 tahun. Ini bermakna di bawah umur itu mereka adalah kanak-kanak, namun tanggungan jenayah bagi kanak-kanak bermula sekitar 10 tahun ke atas atau dalam keadaan tertentu pada usia 12 tahun mengikut kes.

Ini bermakna sesiapa yang termasuk umur 12 tahun ke atas tidak boleh menggunakan alasan sebagai kanak-kanak seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 82 dan Seksyen 83 Kanun Keseksaan.

Sebagai contoh, pernah berlaku kes pada 1970-an apabila seorang budak lelaki berusia 14 tahun didapati bersalah memiliki senjata api dan peluru. Kanak-kanak tersebut dijatuhi hukuman mati dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan juga telah ditolak di mana mahkamah memutuskan fakta kes bahawa kanak-kanak itu mengetahui apa yang dilakukannya.

Kesimpulan, kanak-kanak dalam lingkungan umur tertentu dianggap tidak memiliki ‘akal jahat’ untuk merancang dan melakukan jenayah.

Faktor umur dan tahap kematangan kanak-kanak berdasarkan peruntukan-peruntukan yang telah ditetapkan dalam undang-undang memberikan perlindungan yang luas kepada kanak-kanak dari liabiliti jenayah.-UTUSAN

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN