BOLA sepak, sukan yang paling digemari di dunia, mempunyai kuasa yang luar biasa untuk menyatukan orang ramai dari pelbagai latar belakang dan membawa kegembiraan kepada rakyat di seluruh dunia.
Namun, di sebalik permainan yang indah ini terdapat sisi gelap yang mencemarkan reputasi serta melemahkan nilai-nilai terasnya.
Dari keganasan penyokong hingga kepada pengaturan perlawanan, rasuah, judi dan ‘bookie’, sukan bola sepak sememangnya berdepan banyak cabaran yang memerlukan perhatian serius dan tindakan segera.
Salah satu isu ‘panas’ ketika ini adalah peningkatan tahap fanatisme penyokong sama ada ‘penyokong melampau’ atau dikenali ‘ultras’ atau ‘hooligan’ yang terlibat dalam tingkah laku ganas dan merosakkan harta benda.
Tindakan seperti pergaduhan fizikal, vandalisme dan ugutan, mewujudkan suasana permusuhan yang membahayakan keselamatan awam dan mencemarkan imej sukan ini.
Selain itu, beberapa kumpulan peminat mengekalkan amalan diskriminasi, termasuk rasisme, seksisme dan homofobia sehingga melemahkan lagi prinsip kesetaraan dan keadilan yang seharusnya diteladani sukan bola sepak.
Tidak ketinggalan juga tindakan fanatik yang dijana oleh segelintir penyokong menerusi media sosial dan Whatsapps rasmi pasukan masing-masing yang kebanyakkan ditaja dan didalangi oleh segelintir pihak tertentu yang berkepentingan peribadi.
Untuk memahami akar umbi fanatisme ini, kita boleh merujuk teori sosiologi seperti Teori Subbudaya oleh Albert Cohen. Teori ini menunjukkan tingkah laku yang menyimpang (deviant) muncul daripada subbudaya yang mempunyai norma, nilai dan kepercayaan tersendiri tetapi berbeza daripada masyarakat arus perdana.
Dalam konteks bola sepak, beberapa kumpulan peminat mungkin cuba membangunkan elemen subbudaya yang menggalakkan tingkah laku agresif dan diskriminasi, yang membawa kepada tindakan negatif sebagaimana yang kita biasa saksikan pada hari ini.
Berkait rapat dengan fanatisme adalah masalah judi, pertaruhan dan ‘bookie’, dengan memanipulasi hasil perlawanan melalui rasuah dan paksaan. Skandal bola sepak Itali 2006 yang terkenal, Calciopoli, menunjukkan bagaimana pengaturan perlawanan boleh merosakkan integriti sukan.
Teori Persatuan Perbezaan oleh Edwin Sutherland pula dapat membantu menjelaskan penyebaran pengaturan perlawanan, rasuah, judi dan ‘bookie’ dalam bola sepak. Individu mungkin terdedah dan mempelajari amalan rasuah, judi dan ‘bookie’ melalui interaksi dengan orang lain yang terlibat dalam aktiviti ini.
KARTEL
Kumpulan terancang atau kartel berusaha untuk mengawal dan mengeksploitasi pelbagai aspek sukan untuk kepentingan sendiri, sering melalui cara haram seperti pengubahan wang haram, pemerdagangan manusia dan pemerasan.
Mereka juga boleh terlibat dalam judi dan ‘bookie’ haram untuk memanipulasi hasil perlawanan dan meraih keuntungan. Skandal rasuah FIFA pada 2015, menyaksikan pegawai tinggi ditangkap atas tuduhan ‘racketeering’ dan penipuan. Ini menunjukkan masalah ini berleluasa.
Selain itu, amalan kontroversi pemilikan pihak ketiga, sama ada kartel atau kumpulan pelaburan memiliki hak ekonomi pemain, boleh menghadkan kebebasan pemain dan mempengaruhi keputusan pemindahan. Di negara-negara tertentu, kartel ini juga turut berkuasa menentukan senarai pemain dalam pasukan kebangsaan.
Teori Pilihan Rasiona oleh Gary Becker pula menjelaskan motivasi di sebalik tindakan kartel bola sepak. Teori ini menganggap bahawa individu membuat keputusan rasional untuk memaksimumkan faedah dan meminimumkan kos mereka. Kartel mungkin melihat aktiviti haram termasuk ini sebagai pilihan rasional untuk mencapai keuntungan kewangan atau mengekalkan kuasa, walaupun menyedari risikonya.
Pada 2013, skandal pengaturan perlawanan bola sepak di Malaysia terbongkar, melibatkan beberapa pemain, jurulatih, dan pegawai kelab. Sindiket judi dan ‘bookie’ didapati merasuah individu-individu ini untuk memanipulasi hasil perlawanan, menyebabkan kerugian besar kepada integriti sukan.
MANGSA
Serangan ganas terhadap dua pemain bola sepak negara, Akhyar Rashid dan Faisal Halim dan sasaran yang didakwa terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjadi peringatan yang jelas tentang akibat buruk yang boleh timbul daripada pengaruh negatif ini.
Cedera parah yang dialami dua pemain kebangsaan itu dan masa serangan menjurus kepada motif jahat untuk mengganggu prestasi pasukan atau menakut-nakutkan mereka khasnya menjelang perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadualkan semalam antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC. Namun, Selangor FC menarik diri atas faktor keselamatan dan kemenangan ‘percuma’ diberikan kepada JDT.
Insiden sedemikian bukan sahaja membahayakan keselamatan dan kesejahteraan individu tetapi juga mempunyai implikasi besar terhadap reputasi sukan serta keselamatan dalam kalangan penyokong.
TANGANI
Pihak berkuasa dan badan pentadbir bola sepak, seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mesti mengambil tindakan tegas. Ini termasuk menjalankan siasatan menyeluruh, mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan, mengenakan hukuman yang ketat kepada pesalah selain mempromosi kempen pendidikan untuk memupuk budaya menghormati dan permainan yang adil.
Pengawalan yang lebih ketat ke atas aktiviti ‘hitam’ ini juga diperlukan untuk mencegah manipulasi perlawanan. Kerjasama antara kelab, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkepentingan lain adalah penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua yang terlibat dalam sukan.
Pun begitu, penting untuk mengakui walaupun aspek negatif ini sangat membimbangkan tetapi ia tidak menentukan keseluruhan hala tuju dan masa depan bola sepak.
Sebilangan besar peminat, pemain dan organisasi adalah individu yang bersemangat dan berdedikasi yang menyumbang secara positif kepada pertumbuhan dan pembangunan sukan.
Dengan menerima realiti cabaran tersebut, langkah proaktif perlu diambil untuk menangani dan mempromosikan nilai-nilai permainan yang adil, menghormati dan integriti.
Kita dapat memastikan sukan bola sepak kekal menjadi ‘kuasa’ untuk kebaikan di dunia. Kasih sayang dan kegembiraan yang dibawa oleh sukan ini kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia jauh mengatasi aspek negatif dan ia adalah tanggungjawab bersama untuk melindungi dan memelihara permainan yang indah ini untuk generasi akan datang.
Bersama-samalah kita menolak semua elemen negatif dalam bola sepak.-UTUSAN
Penulis ialah Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Antarabangsa merangkap Felo Penyelidik di Institut Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).










