Guru teras reformasi pendidikan negara

Guru teras reformasi pendidikan negara

Institusi keguruan dituntut menjadi lebih kalis kepada perubahan dan bersedia berhadapan dengan cabaran bentuk baru. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Anuar Ahmad

Khamis ini, 16 Mei sekali lagi negara akan menyambut Hari Guru. Kali ini sambutan bertemakan ‘Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani’. Sebelumnya, pada 2023 tema Hari Guru adalah ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’. Walaupun di peringkat global sambutan Hari Guru jatuh pada 5 Oktober setiap tahun, sejarahnya, di negara ini sejak 1972, tarikh 16 Mei telah dipilih sebagai sambutan Hari Guru.

Ramai mungkin tidak tahu mengapa tarikh 16 Mei itu dipilih? Sebenarnya ia adalah simbolik kerana pada tarikh yang sama di tahun 1956, apabila Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) bersetuju menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai Dasar Pelajaran pertama negara ini apabila kita mencapai kemerdekaan.

Laporan itu dikenali sebagai Laporan Pelajaran Razak 1956. Tema pertama sambutan hari guru pada 1972 adalah ‘Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara’. Siapakah pula lima penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan pertama yang dimulakan pada 1975? Mereka ialah Allahyarhamah Tan Sri Hajah Zainun Munsyi Sulaiman (Ibu Zain), Tuan Mohd. Nor Ahmad, Tuan Ting Pin Sung, Tuan A.V Perumal dan Tuan Tan Chong Bee.

Inilah sekilas sejarah sambutan hari guru di negara ini. Tanpa gagal, sudah lebih 50 tahun hari guru disambut, sebagai tanda penghargaan dan kebanggaan rakyat Malaysia terhadap pengorbanan para guru memberikan pendidikan kepada anak-anak bangsa.

Sejarah pendidikan negara membuktikan golongan guru bukan hanya pengajar, malah guru juga pejuang rakyat. Sebelum merdeka, ramai guru berjuang menentang penjajahan British. Nama-nama besar seperti Zaaba, Ibrahim Yaakub, Pak Sako dan ramai lagi adalah tenaga pengajar dan guru-guru lepasan Sultan Idris Training College (SITC).

Mereka banyak menulis di akhbar dan majalah untuk membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan orang Melayu untuk berjuang membina negara yang merdeka dan berdaulat.

Begitu juga dalam era penentangan Malayan Union pada 1946-1948. Ramai kalangan persatuan guru bangun menolak cadangan Malayan Union dan menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh Dato Onn Jaafar sebagai tanda menentang cadangan itu. Akhirnya Malayan Union dibatalkan oleh kerajaan British.

Selepas merdeka, guru meneruskan perjuangan dan usaha mereka untuk memajukan anak bangsa sebagai pelaksana sistem pendidikan yang menyokong dasar-dasar kerajaan. Misalnya, apabila kerajaan memulakan agenda dasar perindustrian negara pada 1980-an, guru-guru diberikan tanggungjawab memastikan anak-anak bangsa mempunyai pengetahuan yang baik di dalam ilmu Sains dan Matematik.

Malah dalam setiap dasar kerajaan, pasti guru sebagai kumpulan pelaksana pendidikan akan setia menggalas tanggungjawab mereka bagi memastikan anak-anak bangsa mempunyai pengetahuan dan kemahiran terkini yang diperlukan negara.

Hari ini negara kita mempunyai lebih 433,000 guru yang sedang memberikan perkhidmatan kepada sekitar 5 juta murid di lebih 10,000 sekolah. Berbeza dengan masa lalu, hari ini cabaran guru jauh lebih rencam. Tidak pernah berlaku cabaran kepada institusi keguruan negara sebagaimana yang berlaku empat tahun lalu.

Bermula apabila negara dilanda pandemik Covid-19 pada Mac 2020 sehingga semua sekolah diarahkan tutup. Tetapi pengajaran dan pembelajaran mesti diteruskan. Keputusan dibuat oleh Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).

Inilah kali pertama PdPR dilaksanakan. Guru-guru yang tidak pernah dilatih untuk melaksanakan PDPR sepanjang kerjaya mereka, perlu melaksanakan PdPR supaya pembelajaran anak-anak bangsa tidak tercicir. Bayangkan bagaimana sukarnya mereka perlu belajar sendiri melakukan PdPR. Terpaksa pula membeli peranti serta membiayai pelan internet sendiri.

Selama lebih 240 hari persekolahan ditutup, para guru melakukan PdPR sedaya yang mereka mampu. Walaupun pada akhirnya, pihak KPM memaklumkan pelaksanaan PdPR tidaklah memuaskan dansederhana sahaja tetapi sekurang-kurangnya guru telah melakukan apa yang terdaya oleh mereka ketika itu.

Malah belum pun selesai sepenuhnya pandemik Covid-19, negara dihadapkan pula dengan isu perubahan iklim yang lebih mendesak. Banjir kilat melanda banyak negeri, akibatnya ada sekolah terpaksa ditutup sementara waktu. Terkini, guru dihadapkan pula dengan kenaikan suhu secara mendadak di beberapa negeri yang mencabar usaha pengajaran mereka.

Bayangkan bagaimana mereka dapat mengajar dengan berkesan, tenang dan selesa di dalam kelas yang panas dan bersesak dengan murid yang ramai? Mampukah guru menjadi seorang yang insani dan penyayang bagi membangunkan murid-murid yang Madani dalam persekitaran bilik darjah sebegitu? Selain bencana kesihatan dan persekitaran, cabaran sedia ada juga mesti diuruskan oleh para guru di dalam bilik darjah.

Sebagai contoh, kemajuan pesat teknologi maklumat menyebabkan murid-murid terdedah kepada penggunaan gajet di dalam kehidupan mereka. Pemilikan telefon bimbit, komputer dan peranti lain menyebabkan murid-murid mempunyai rutin baru dalam proses pencarian maklumat. Mereka tidak lagi bergantung kepada sumber seperti buku teks atau bahan bacaan bercetak. Pendedahan kepada maklumat semakin meluas.

Perubahan ini menuntut guru-guru juga mesti mengubahsuai dan menggunakan teknologi maklumat di dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru mesti berkeupayaan menggunakan teknologi maklumat di dalam pengajaran masing-masing.

Menjadi cabaran kepada guru untuk menjadi jauhari digital jika kemudahan teknologi pendidikan masih belum disediakan di sekolah. Internet yang laju, kemudahan komputer riba, papan layar digital semakin menjadi alatan asas dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Semua cabaran ini menuntut supaya institusi keguruan menjadi lebih kalis kepada perubahan yang tidak menentu dan bersedia berhadapan dengan cabaran bentuk baru.

Sebagai permulaan, KPM sendiri telah menggagaskan apa yang dikenali sebagai Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan pembinaan jiwa pendidikan melalui empat teras utama iaitu pertama, guru mestilah meningkatkan kualiti peribadi.

Kedua, guru memiliki orientasi ilmu yang tinggi. Ketiga, guru memiliki tahap kemahiran instruksional yang baik dan teras keempat, guru mestilah mempunyai usaha melibatkan diri dengan komuniti setempat khususnya ibu bapa. SGM yang dibangunkan oleh KPM jelas menunjukkan guru bukan hanya seorang pengajar tetapi seorang insan yang aktif di bilik darjah, di sekolah dan juga di dalam masyarakat.

Terkini, Menteri Pendidikan juga mengumumkan autonomi guru akan diperluaskan dengan lebih menyeluruh supaya pihak sekolah dan guru dapat diperkasakan untuk melakukan penambahbaikan persekolahan mengikut keperluan murid-murid mengikut lokaliti dan komuniti setempat. Sesuatu yang mesti dilakukan dengan lebih segera.

Semuanya harapan ini pada akhirnya akan diletakkan di bahu para guru sebagai pelaksana dan penggerak utama reformasi pendidikan negara. Selamat Hari Guru 2024.

Dr. Anuar Ahmad adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN