AS buktikan kebebasan bersuara hanya mitos - Utusan Malaysia

AS buktikan kebebasan bersuara hanya mitos

aznan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Sabtu lalu, di waktu subuh pasukan polis yang seperti pasukan antipengganas menyusup masuk kampus Universiti Northeastern di Boston atas alasan untuk membersihkan ‘penyusup’ yang menyusup masuk ke kem-kem pemprotes perang Gaza.

Ia dipercayai adalah arahan daripada pihak atasan. Mungkin arahan daripada pejabat presiden sendiri yang tidak lagi mampu melihat protes anti-Israel terus merebak bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS) tetapi hampir ke seluruh dunia.

Hanya dalam masa satu jam, lebih 100 orang telah ditahan, sama ada pelajar dan bukan pelajar, dan banyak khemah mereka diroboh atau dialihkan.

Disebabkan kehadiran polis yang lengkap dengan peralatan taktikal itu, maka berlaku konfrontasi dan huru-hara. Pelajar-pelajar yang lemah yang hanya berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara diheret seperti penjenayah.

Ia memberi gambaran pada mata pemimpin AS, apa yang dilakukan oleh para pelajar itu jauh lebih serius daripada keganasan yang dilakukan oleh Israel di Gaza yang menyaksikan hampir 50,000 nyawa, majoritinya kanak-kanak dan wanita ditembak, dibom, dibakar malah ada yang ditanam hidup-hidup oleh rejim zionis.

Para pelajar terbabit bangkit melakukan protes kerana sudah tidak tahan lagi menyaksikan kekejaman itu. Mereka sudah tidak tahan melihat rakan sebaya di Gaza yang sepatutnya berada di bangku sekolah atau universiti dibunuh seperti haiwan liar oleh Israel.

Universiti Columbia di New York bertindak lebih awal dengan memusnahkan khemah-khemah pelajar dengan alasan ia ‘persekitaran yang mengganggu dan menakutkan bagi kebanyakan pelajar’.

Malah mereka bertindak menggantung beberapa pelajar. Malangnya, mereka lebih takutkan protes pelajar berbanding pembunuhan beramai-ramai oleh Israel ke atas wanita dan kanak-kanak di Gaza.

Inilah sikap dwistandard atau talam dua muka AS terhadap kebebasan bersuara. Apabila negara-negara kerdil seperti Malaysia bertindak terhadap kumpulan-kumpulan atau individu yang menjejaskan keselamatan dan kestabilan awam serta negara, maka ia dianggap menyekat kebebasan bersuara yang menjadi amalan sejagat.

Tetapi apabila perkara itu kena pada batang hidung mereka dan sekutu-sekutu mereka, maka prinsip kebebasan bersuara dan hak asasi manusia semuanya ditolak ke tepi.

Sedangkan pelajar-pelajar terbabit tidak melakukan apa-apa kekerasan pun. Mereka hanya berkhemah dan duduk diam sebagai tanda protes ke atas Israel dan kebisuan AS terhadap pencabulan kemanusiaan yang paling dahsyat abad ini.

Bagi mereka yang bertuhankan kepada kebebasan bersuara AS, ini adalah bukti jelas bahawa semua itu hanya mitos yang kebenaran tidak pernah wujud.

Hak untuk kebebasan bersuara yang dijulang sebagai lambang masyarakat dunia moden dan diagung-agung oleh AS dan para penjilatnya seperti mana yang tercatat dalam First Amendment perlembagaan negara itu semuanya dibuang ke jamban apabila ia mencabar kedudukan para pemimpin dan sekutu mereka.

Protes terhadap perang Gaza oleh para pelajar ini menjelaskan bahawa kebebasan bersuara di AS ada limit atau batasannya. Ia bukan kebebasan mutlak. Lebih ketara, protes itu jika dibiarkan berterusan pasti akan menjejaskan kedudukan Joe Biden dalam mempertahankan jawatan presidennya pada November ini.

Sebab itu, tindakan keras perlu diambil untuk menamatkan protes itu biarkan pun terpaksa mengorbankan prinsip kebebasan bersuara mereka.

Bagi para pemuja-pemuja konsep kebebasan bersuara AS, lihatlah dengan mata kepala yang terbuka, betapa ia hanya mitos yang digunakan oleh kuasa besar itu menindas negara-negara yang lemah – kononnya atas dasar demokrasi dan kebebasan bersuara.

Kerana terpesona dengan dakyah kebebasan bersuara AS ini, di negara kita ramai yang mengkritik tindakan kerajaan dalam mengekang isu 3R kononnya ia bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara sejagat yang didalangi oleh AS.

Sedangkan, isu 3R dan beberapa isu lain lagi jelas menggugat kestabilan dan keselamatan negara ini. Lebih-lebih lagi Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan agama. Bara-bara isu-isu sensitif tidak boleh dibiarkan ditiup hingga menjadi api yang pasti akan membakar ke seluruh negara.

Jika AS yang dianggap sebagai bapa kepada kebebasan bersuara pun tidak sanggup membiarkan pelajar-pelajarnya ‘bersuara’ membela rakyat Palestin di Gaza, mana mungkin kita juga perlu membiarkan api-api sensitiviti terus membakar masyarakat kita?

Sedangkan apa yang diprotes oleh para pelajar itu langsung tidak ada kena mengena dengan AS. Mereka hanya mahu pihak universiti berhenti menerima manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang ada kaitan dengan Israel demi keadilan untuk rakyat Palestin di Gaza.

Tindakan pihak berkuasa AS terhadap para pelajarnya adalah hipokrasi peringkat tertinggi atas nama kebebasan bersuara. Maknanya, di AS pun sebenarnya tidak ada kebebasan bersuara.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN