Masa mula-mula bercinta dahulu dialog antara dua remaja ni sangat manis dan romantik yang kini popular dengan kata kata pick up line
Dinda dinda ..apa bezanya ikan hiasan dalam akuarium itu dengan dinda, kata si lelaki
Maka kata si remaja perempuan, Apa dia? Tak tahu la kanda.
Si lelaki pun menjawab beri pick up line:
Ikan tu berenang renang dalam akuarium, tapi dinda berenang renang dalam hati abang.
Si wanita kelihatan senyum malu, hati berbunga, hatinya telah diusik, berkocak dengan gurauan sang arjuna menambat hati.
Dan bermula daripada situ, dua hati telah bersemi, menyulam cinta sejati hingga ke jenjang pelamin.
Alam remaja memang begitu, segalanya bermula indah bagaikan cinta di alam kayangan, manis-manis belaka, bagaikan hidup tiada masalah dan cabaran sehingga ke alam perkahwinan, cinta yang dipupuk terus dibaja dan bahtera rumah tangga terus dilayari hingga dipukul badai yang menggoncang keutuhan.
Selepas beberapa tahun berlalu pasangan tersebut terus diuji dengan pelbagai dugaan dan yang mampu bertahan akan terus mengharungi pelbagai cabaran dan sebaliknya bagi yang tidak berdaya tahan.
Sebab itu, pasangan yang tidak dapat bertahan akan bergantung kepada sejauh mana kematangan mengendalikan masalah dalam rumah tangga dan jika rebah dan tidak berupaya, perpisahan mungkin jalan terbaik.
Bagi Ketua Jabatan Kajian dan Pembangunan Keluarga Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rojanah Kahar, secara umum, bagi mendapatkan perkahwinan yang berkualiti, terdapat pelbagai elemen penting seperti komitmen, saling menghormati dan jujur, mempunyai sikap tanggungjawab, boleh bertolak ansur dan mempamerkan sikap toleransi, ada sifat empati, menunjukkan kasih sayang dan kemesraan, berupaya mengurus konflik.
Pasangan rumah tangga tersebut juga perlu mempunyai nilai keagamaan dalam melayari rumah tangga serta dapat menikmati kestabilan perkahwinan.
Kajian-kajian mengenai perkahwinan mendapati secara keseluruhan pasangan suami isteri yang memperoleh kebahagian dalam perkahwinan adalah kerana wujudnya persefahaman dengan pasangan masing-masing dan wujud sikap tanggungjawab terhadap keluarga.
Bagi mereka yang tidak bahagia kerana tiada persefahaman dengan pasangan, sering bertengkar atau cemburu, tidak bertanggungjawab terhadap keluarga, malas dan curang terhadap pasangan, katanya.
Beliau berkongsi lagi, berdasarkan kajian terdahulu yang dijalankan di negara ini , antara faktor perceraian adalah disebabkan pasangan kurang pendidikan agama, cetek pengetahuan mengenai tugas dan tanggungjawab serta peranan dalam perkahwinan. Selain itu, kegagalan suami menyediakan nafkah yang mencukupi kepada keluarga menjadi alasan perceraian yang dituntut oleh isteri.
“Pengetahuan agama yang cetek, pergaulan bebas serta campur tangan keluarga juga menjadi faktor penyumbang kepada statistik perceraian,” ujarnya.
Perkahwinan pada umur muda menyumbang kepada peningkatan perceraian sejak tahun 1990-an lagi.
Isu ini timbul semula pada 2024. Golongan ini kurang pemahaman terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai suami isteri, atau terdapat campur tangan pihak ketiga /curang dan faktor ekonomi juga punca kepada tuntutan perceraian.
Selain itu, jangkaan terhadap perkahwinan tidak dapat dipenuhi atau kegagalan ketua keluarga /suami menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada ahli keluarga. Media sosial juga menjadi punca perceraian.
Tidak ada masalahnya berkahwin dalam usia muda kerana yang penting adalah bijak menjaga kerukunan rumah tangga.
Pertemuan dan perkenalan di media sosial juga bukan masalahnya. Mungkin ada yang mula bermesra, berkenalan dan membina perasaan menerusi media sosial, berbalas balas mesej dan menghantar bicara manis pick up line sebagai permulaan kata mesra, tapi itu semua bukan jaminan bahagia sepanjang masa dalam bahtera rumah tangga terutama pasangan muda.
Pendedahan oleh penyelaras bahagian Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Khairuddin Mohd. Sallehuddin
Bahawa pasangan suami isteri berusia antara 26 hingga 35 tahun merupakan yang paling ramai bercerai melibatkan sebanyak 162,556 kes dari 2020 sehingga 2023.
Dalam pada itu Norjan menambah, laporan Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2020 menunjukkan, jumlah perceraian meningkat 12 peratus iaitu 56,975 kes pada 2019 berbanding 50,862 kes tahun sebelumnya.
Kadar perceraian umum bagi wanita meningkat daripada 7.0 kepada 7.7 perseribu populasi wanita berkahwin pada umur 18 tahun dan ke atas.

Jumlah itu bagaimanapun terus menurun hingga 7.1 peratus pada 2021 daripada 47,272 (2020) kepada 43,934 (2021) disebabkan oleh penutupan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan pada November 2022, sebanyak 43,934 kes penceraian dilaporkan pada 2021 dan daripada jumlah itu, lebih 23,000 kes melibatkan pasangan muda.
Itu cabaran pasangan muda dalam alam rumah tangga.
Banyak faktor penyumbang antaranya masalah kewangan dan pengurusan mental yang lemah dalam institusi kekeluargaan.
Seperti yang disebutkan kata -kata saling berbalas pick up line pada awal permulaan perkenalan bukan jaminan kemesraan dapat dikekalkan menjadikan perkahwinan abadi.
Silap langkah, pelamin yang diangankan musnah dalam usia muda, dan risikonya adalah pasangan yang memiliki anak.
Ada yang berpendapat siilibus kursus perkahwinan sedia ada perlu ditambah baik mengikut keperluan terutama melibatkan pendidikan kewangan dan pengurusan mental.
Ini kerana aspek kewangan dan pengurusan mental memainkan peranan penting dalam membentuk keharmonian dan kestabilan dalam rumah tangga.
Norjan juga mencadangkan supaya pasangan suami isteri bijak mengurus emosi dan tekanan dengan efektif. Kemahiran komunikasi perlu dipertingkatkan antara pasangan. Berikan sokongan sosial daripada keluarga terdekat. Peringatkan tentang hak dan tanggungjawab terhadap ahli keluarga (jika mempunyai anak).
Hidup bukan sekadar pick up line , ada banyak perkara yang lebih penting dalam rumah tangga selain berbalas balas pick line sepanjang masa.
Terimalah hakikat apabila amalan bertukar tukar pick up line sebelum ini boleh bertukar kepada berbalas balas kata kata cercaan ,dan bermacam macam nistaan, menunjukkan perkahwinan sudah menjadi hambar. – UTUSAN










