SELEPAS insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Februari 2013, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah berlangsung dan Kabinet menteri-menteri baharu yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu telah dipilih untuk menyelesaikan pelbagai isu negara yang belum selesai.
Antara menteri yang baharu dilantik ketika itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, portfolio Perpaduan dan Integrasi Nasional (Rukun Tetangga serta Tabika Perpaduan), Tan Sri Joseph Kurup.
Sebelum menjadi menteri penuh, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli antara tahun 2008 hingga 2013, serta Timbalan Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah pada tahun 2008 selepas memenangi PRU bagi Parlimen Pensiangan, Sabah.
Beliau berkecimpung secara serius dalam politik pada 1985 apabila dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sook, Sabah sehingga 2004, dan antara pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama Tan Sri Pairin Kitingan.
Kemudiannya beliau keluar dari PBS lalu menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sekali gus menjadi komponen Barisan Nasional (BN) pada 1994.
Berdasarkan temuramah saya dengan beberapa pemerhati politik veteran di Sabah, penubuhan PBRS yang dipelopori Joseph adalah bukti bahawa demokrasi subur di Sabah khasnya dan di Malaysia amnya.
PBRS adalah satu parti yang boleh disertai oleh pelbagai kaum serta memberi peluang kepada orang muda khususnya untuk menunjukkan bakat memimpin masyarakat di peringkat akar umbi.
Sebagai perbandingan di Semenanjung Malaysia ketika itu, parti seperti MCA majoritinya disertai kaum Cina, MIC oleh kaum India dan Pas disertai oleh hanya penganut yang beragama Islam.
Ahli politik veteran ini memegang beberapa jawatan menteri di peringkat negeri Sabah sepanjang kerjaya politiknya selama lebih empat dekad seperti Timbalan Ketua Menteri Sabah antara tahun 1986-1990, dan sekali lagi dari tahun 1994 hingga 1999.
Portfolio Joseph di negeri Sabah antara lainnya ialah Menteri Pembangunan Sumber dan Usahawan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Menteri Kewangan Negeri Sabah.
Kepelbagaian bidang yang dilalui menunjukkan beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam pentadbiran negeri.
Sejak dilantik menjadi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli di peringkat Persekutuan pada 2008 sehingga 2018, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) umpama rumah kedua beliau kerana hampir setiap minggu akan balik ke Sabah serta menjalankan tugas-tugas rasmi di seluruh negara.
Melalui pemerhatian peribadi saya, di lapangan terbanglah Joseph Kurup akan bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan di situlah beliau akan mendengar bermacam-macam maklum balas umum.
Sebagai seorang peguam, beliau seperti seorang kaunselor yang lebih banyak mendengar rintihan dan permasalahan rakyat.
Pada penghujung kerjaya politik beliau sebagai menteri penuh di peringkat Persekutuan, walaupun Joseph sudah berusia di akhir 60-an, warga kerja pejabat beliau dianggotai barisan pegawai muda yang sentiasa bersedia untuk bergerak apabila diarahkan.
Beg baju kami yang terdiri daripada kot atau baju batik memang sentiasa ada di pejabat kerana hampir setiap minggu kami akan ke Sabah untuk menyantuni permasalahan rakyat bersama Joseph.
Sama ada di peringkat Persekutuan atau di peringkat negeri Sabah, ramai yang berkata bahawa pimpinan negara ketika itu memilih Joseph sebagai menteri Persekutuan yang menjaga perpaduan dan integrasi nasional kerana sikap kebapaan beliau yang tidak sombong serta mesra rakyat.
DISENANGI RAKYAT
Beliau membawa budaya ramah negeri Sabah yang sangat disenangi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Joseph tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pensiangan pada PRU 2018, untuk memberi laluan kepada anaknya, Datuk Arthur Joseph. Pada Januari 2023, Joseph mengumumkan bersara dalam politik sekali gus melepaskan jawatan Presiden PBRS.
Jasa dan pengorbanan beliau kepada Malaysia akan terus dikenang bukan sahaja di negeri Sabah, tetapi di seluruh Malaysia.
Berehatlah Tan Sri. Namun kami akan merindui nasihat daripada seorang ayah seperti Tan Sri.-UTUSAN
PENULIS ialah bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup ketika beliau memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional).










