‘Semua muda, ramai muda, ini kekuatan PKR’

‘Semua muda, ramai muda, ini kekuatan PKR’

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PERJUANGAN reformasi PKR sehingga tertubuhnya parti itu pada 4 April 1999 dikatakan sudah malap sejak berjaya mengemudi Kerajaan Perpaduan hari ini di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Naib Presidennya, NIK NAZMI NIK AHMAD, yang menegaskan agenda berkenaan diterjemahkan dalam perubahan dasar kerajaan. Ini terutamanya soal reformasi ekonomi dan penyasaran semula subsidi.

Cuma Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu mengakui cabaran terbesar mereka adalah meraih sokongan pengundi muda Melayu yang diperlukan untuk kekal relevan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan OMAR ZIN serta jurufoto, FAISOL MUSTAFA dalam pertemuan di Putrajaya kelmarin, beliau menjelaskan banyak hati perlu dijaga dalam kerajaan yang beliau akui bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

 

TOLAK ANSUR, KONTROVERSI

Hari ini 4 April 2024, PKR menyambut ulang tahun ke-25 tahun. Di mana PKR ketika ini?
Dalam usia 25 tahun ini alhamdulillah, kita sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan. Kita pernah jadi kerajaan sewaktu PH 2018 sampai 2020. Bezanya kali ini presiden PKR menjadi perdana menteri.

Pada masa sama, kita maklum bahawa kerajaan yang ada pada hari ini bukan kerajaan PH. Ia sebuah kerajaan gabungan yang dibentuk selepas pilihan raya. Selain daripada PH, kita ada BN, GPS, GRS dan parti-parti lain. Ia lebih kompleks, bermakna kena ada tolak ansur. Kita tidak boleh nak harapkan manifesto PH dibuat bulat-bulat sebab ada juga manifesto BN, ada juga manifesto GPS, GRS dan sebagainya. Perlu ambil kira ada benda yang sangat penting untuk PH atau PKR tetapi mungkin benda itu dilihat sebagai kontroversi dalam parti-parti lain.

Jadi, perlu ada rundingan. Itulah realiti. Tapi apa yang kita utamakan sekarang ialah kita buat beberapa reformasi institusi. PKR menekankan tentang penstrukturan semula ekonomi supaya tumpuan ataupun dana besar disampaikan bukan kepada semua rakyat tetapi dikhususkan untuk rakyat biasa yang sederhana ataupun miskin yang mendapat lebih banyak bantuan. Kita juga nak memastikan ekonomi ini dapat berkembang dengan pesat supaya semua rakyat ada peluang dalam ekonomi.

REFORMASI MALAP?

Adakah agenda reformasi sudah tidak lagi diperjuangkan sejak PKR menjadi kerajaan?
Saya tidak setuju sebab kalau kita tengok sasaran semula subsidi, reformasi ekonomi, kerajaan ini telah membuat banyak keputusan besar yang tidak berani dibuat kerajaan-kerajaan sebelum ini kerana kita merasakan bahawa penting mengangkat martabat rakyat susah, miskin. Kita tidak boleh terus membazir dengan memberi subsidi pukal. Jadi, kita sudah mulakan penyasaran subsidi termasuk soal Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Kita laksanakan tetapi dalam konteks kerajaan campuran, kerajaan perpaduan, bukan semua yang kita nak akan dapat reformasi yang kita nak saksikan. Kita kena utamakan mana yang lebih mustahak. Contohnya, dulu pernah ada pendekatan kerajaan pusat pinggirkan kerajaan pembangkang tapi kita tidak ambil pendekatan tersebut, sebaliknya negeri pembangkang juga kita utamakan. Begitu juga soal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pun banyak perkara kita telah berjaya selesaikan.

MUDA VS TUA

Apa kelebihan PKR yang tidak ada pada parti lain?
Kita punya pimpinan barisan kedua yang sangat muda. Rafizi Ramli, Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan saya sendiri. Kita ada Ketua Penerangan Fahmi Fadzil, Adam Adli serta Fadhlina Sidek. Semuanya muda, ramai muda dan bagi saya itu antara kekuatan. Malah, sekarang kalau kita tengok empat ahli Parlimen paling muda selain daripada Syed Saddiq, kita ada Taufiq Johari, P. Prabakaran dan ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.

PKR terus melahirkan barisan kepimpinan muda, ia memberikan kita kelebihan berbanding banyak parti lain yang mungkin parti pimpinan mereka lebih tua tetapi kita masih perlu ada kesinambungan dan cabaran terbesar adalah meraih sokongan pengundi muda Melayu yang kita perlu dapat untuk kita kekal relevan.

PKR jadi parti Melayu?

Adakah PKR melihat UMNO yang dikatakan ditolak oleh orang Melayu sebagai liabiliti kepada kerajaan ketika ini?
Dalam kerajaan perpaduan ini tidak ada soal parti mana ditolak atau diterima sebab kita masuk dalam kerajaan ini secara bersama. Kalau kita ada masalah pengundi Melayu, masalah ini ditanggung oleh semua, bukan hanya PKR, UMNO, Amanah (Parti Amanah Negara), ia juga masalah yang DAP kena hadap.

Kita pun tidak hanya boleh outsource nak dapat undi Melayu bagi kepada UMNO semata-mata, ini masih lagi antara perkara yang kita perlu perbaiki nak memenangi kerusi-kerusi di kawasan tegar Melayu ini di utara, di Pantai Timur ataupun di beberapa kerusi di Selangor dan sebagainya tetapi PKR juga ada tanggungjawab bagaimana kita hendak memastikan mesej kita juga dapat diterima oleh pengundi-pengundi Melayu. Saya tidak rasa ini tugas UMNO, tidak. Ini tugas semua termasuk PKR.

Mengapa PKR tidak mahu mencuba untuk menjadi parti Melayu?
Kita akan tetap membawa model politik pelbagai kaum. Memang tidak mudah, kita faham sebab kadang-kadang di Malaysia ini, kita pergi ke kiri, orang kanan marah. Kita pergi ke kanan, orang kiri marah. Jadi itu ialah realiti politik rencam dan majmuk yang ada di Malaysia ini.

Kalau kita kata, kita mahu hanya parti Melayu sahaja memerintah atau parti bukan Melayu sahaja, ia tidak akan berlaku sebab kita negara yang majmuk. Kalau kita mahu mentadbir Malaysia, kita tak boleh tengok daripada satu sudut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN