Lawatan mengejut PM tambah baik pentadbiran negara

Lawatan mengejut PM tambah baik pentadbiran negara

LAWATAN mengejut Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 5 April lalu bagi melihat pengurusan dan fasiliti lapangan terbang serta penugasan anggota khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dapat menambah baik penyampaian perkhidmatan. – FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 5 April lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat lawatan mengejut di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) untuk melihat sendiri pengurusan dan fasiliti lapangan terbang serta penugasan anggota khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam lawatan tersebut beliau menyampaikan pesanan supaya semua anggota penguatkuasa dapat bertugas dengan penuh disiplin dan integriti serta dapat memastikan tiada lagi kecurangan dalam kalangan anggota yang boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Lawatan ini menyusuli pendedahan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, pada 29 Mac lalu mengenai operasi sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak sejak 2017 yang menyaksikan jumlah ketirisan mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ini dinyatakan Azam dalam sidang media mengenai penahanan seramai 34 anggota dan pegawai JKDM dalam Op Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu selepas dipercayai menerima rasuah berjumlah RM4.7 juta daripada sindiket penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Lawatan mengejut di LTAPP ini sebenarnya bukanlah kali pertama dilakukan oleh Anwar sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022.

Sebelumnya, pada 2 Julai 2023, Anwar juga membuat lawatan mengejut di KLIA, Sepang, untuk melihat sendiri isu berbangkit atau permasalahan sewaktu pengendalian harian membabitkan pelancong dan warga asing selain warga tempatan oleh JKDM dan JIM.

Lawatan mengejut ini dibuat selepas kekecohan berlaku ekoran tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta pihak SPRM menyiasat isu salah guna kuasa yang dikatakan kronik di pintu masuk negara.

Melalui lawatan ini, Anwar sempat bertegur sapa dan bertanyakan kepada anggota serta pegawai bertugas berkenaan operasi harian serta berkata ada ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini. Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan pengoperasian di lapangan terbang negara akan senantiasa ditambahbaik dalam memastikan perkhidmatan sewajarnya diberikan kepada semua pihak.
Mengenai pengoperasian JKDM di KLIA yang berada di bawah tanggungjawab beliau selaku Menteri Kewangan, Anwar mendapati hanya satu daripada tujuh pengimbas barangan sahaja beroperasi dan beliau mahu kelulusan segera diberi untuk memperbaikinya.

Anwar juga menekankan keperluan pegawai atasan untuk turun padang untuk melihat sendiri operasi jabatan serta jangan membuat andaian bahawa semuanya beroperasi dalam keadaan baik, tetapi tujuannya mestilah untuk memperbaiki bukan untuk mencari salah atau mengecam.

Selain itu, pada 25 Ogos tahun lalu pula, Anwar turut melakukan lawatan mengejut di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, yang menempatkan Bahagian Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang menguruskan urusan keluar masuk orang ramai dengan negara jiran, Singapura.

Dalam lawatan ini, Anwar turut berkesempatan menyampaikan penghargaannya buat petugas-petugas Kementerian Dalam Negeri (KDN), JKDM, JIM serta kerajaan negeri atas kelancaran mereka memastikan kelancaran urusan keluar masuk di pintu sempadan negara itu.

Sesungguhnya inisiatif dan keberanian yang ditunjukkan oleh Anwar untuk membuat lawatan mengejut ke pelbagai lokasi strategik seperti LTAPP, KLIA dan BSI ini telah menimbulkan rasa kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap keupayaan beliau dalam memimpin dengan telus dan efisien.

KOMITMEN
Melalui inisiatif ini, Anwar tidak hanya mempraktikkan pendekatan proaktif dalam memahami proses dan prosedur yang dijalankan JKDM, JIM dan agensi lain, tetapi ia juga memberikan sokongan serta dorongan kepada kakitangan awam yang berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara terpelihara dengan baik.

Lawatan mengejut ini menunjukkan komitmen beliau terhadap penambahbaikan terus-menerus dalam sistem pentadbiran negara. Dengan meluangkan masa dan usaha untuk melihat secara langsung situasi di lapangan, beliau menunjukkan sikap yang telus dan berwawasan.

Tindakan ini juga menunjukkan bahawa selaku Perdana Menteri beliau tidak akan teragak-agak dalam mengambil tindakan yang diperlukan untuk memastikan kualiti dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Kehadiran Anwar di lokasi-lokasi penting ini juga memberikan peluang kepada kakitangan awam untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin mereka, membolehkan mereka berkongsi pandangan, cabaran dan cadangan untuk meningkatkan lagi prestasi dan kesan positif dalam pelaksanaan tugas harian mereka.

Dengan pendekatan yang telus dan berdaya maju seperti ini, Anwar membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang berdedikasi, peka terhadap keperluan rakyat dan bersedia untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk membawa negara ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan yang berkekalan.

Langkah-langkah inovatif dan progresif seperti ini pastinya akan memberikan manfaat jangka panjang kepada negara serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Malah, lawatan mengejut ini bukan hanya melibatkan agensi-agensi kerajaan tetapi juga melibatkan institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Ehyaul Falah dan Sekolah Kebangsaan Seri Makmur di Sekinchan, Selangor, pada 19 Julai 2023 serta Sekolah Kebangsaan Desa Tasik di Bandar Tasik Selatan, 17 Ogos pada tahun sama.

Lawatan mengejut ke institusi pendidikan ini mencerminkan komitmen beliau terhadap perkembangan pendidikan negara. Melalui lawatan ini, Anwar tidak hanya menunjukkan keprihatinan beliau terhadap kualiti pendidikan yang disediakan kepada generasi masa depan, tetapi juga memberikan dorongan kepada komuniti pendidikan serta memberikan pengiktirafan kepada usaha guru-guru dan pentadbir sekolah dalam menjalankan tugas mereka.

Dengan berada di lapangan, beliau dapat melihat secara langsung keadaan sekolah-sekolah tersebut, termasuk keperluan asas seperti kemudahan infrastruktur, peralatan pengajaran dan keadaan persekitaran pembelajaran. Ini membolehkan beliau mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sekolah-sekolah ini serta membolehkan beliau untuk membuat keputusan dan langkah-langkah yang lebih berkesan dalam menyokong dan memperbaiki sistem pendidikan negara.

Semoga lawatan mengejut ini akan terus berkekalan dan dicontohi oleh ahli-ahli Jemaah Menteri dan ketua-ketua organisasi kerajaan yang lain sekali gus menjadikan setiap penjawat sentiasa lebih bersedia untuk penambahbaikkan penyampaian perkhidmatan mereka.-UTUSAN

DR. Zainudin Omar adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN