Calon Melayu payah menang di Kuala Kubu Bharu?

Calon Melayu payah menang di Kuala Kubu Bharu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Datuk P. Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) mengekalkan rentak kemenangan di Hulu Selangor dengan majoriti lebih tinggi 3,414 undi. Beliau menewaskan calon PKR, Khalid Jaafar dan dua lagi calon Bebas. 

Di sebalik kejayaan itu, rekod tanpa kalah BN di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lebur apabila BN kehilangan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu selepas tewas kepada calon DAP, Lee Kee Hiong. Sejak itu selama tiga penggal kerusi Kuala Kubu Bharu didominasi Kee Hiong sehinggalah pada 20 Mac lalu beliau meninggal dunia akibat kanser. Lantaran itu menyaksikan satu pilihan raya kecil (PRK) dalam waktu terdekat. 

Pemerhati menjangkakan dalam PRK ini, DUN Kuala Kubu Bharu akan disaingi calon Melayu. Diandaikan oleh sebab jumlah pengundi Melayu itu mengatasi kaum-kaum lain, mengapa tidak dicuba kali ini? Betulkah percaturan itu? Tepat atau tidak, berhasil atau sebaliknya, politik Malaysia hari semakin dinamik dari hari ke hari. 

Namun, bukanlah mudah untuk memecah kubu kuat PH, atau lebih tepat lagi DAP di Kuala Kubu Bharu. Dengan undi Melayu berpecah di Kuala Kubu Bharu berikutan sokongan pelbagai terhadap PH, BN dan Perikatan Nasional (PN), sekali gus membolehkan sokongan pengundi Cina kepada calon PH lebih padu. 

‘PEKAT’ MELAYU

Kuala Kubu Bharu suatu ketika kawasan ‘pekat’ Melayu. Sekitar 1800, Kuala Kubu menyaksikan kehebatan dan keupayaan kejuruteraan orang Melayu sebelum revolusi industri yang dibawa orang Inggeris. 

Mereka membina sebuah empangan besar, yang bukan sahaja berfungsi sebagai reservoir untuk penternakan ikan dan sumber air, malah fungsi utamanya kaedah perlombongan untuk mengumpulkan bijih timah di dasar sungai. 

Sejak abad ke-18 lagi Kuala Kubu yang masa itu dikenali Ulu Selangor menjadi kawasan penting kerana aktiviti perlombongan bijih timah yang mungkin telah bermula semenjak dari zaman gangsa lagi. Orang Melayu tempatan, orang Rawa dan Mendailing datang berhijrah ke daerah itu untuk mencari rezeki dengan aktiviti perlombongan secara tradisional.

Dengan bantuan Orang Asli, mereka berjaya membina empangan kukuh yang panjangnya 1.6 kilometer dan lebarnya 90-100 meter dengan hanya menggunakan kayu dan tanah. Apabila empangan penuh, air yang melimpah disalurkan menjadi air terjun yang deras arusnya. Maka tanah-tanah yang mengandungi bijih tercampak ke dalam arus deras ini.

Lumpur dan tanah akan hanyut manakala ketulketul bijih timah yang berat akan mendap ke dasar sungai untuk digali kemudiannya. Begitulah teknologi orang Melayu pada zaman itu, menjadikan bijih timah sebagai eksport utama yang keluar melalui Kuala Selangor. Saudagar-saudagar Bugis menjadi peraih dan pengeksport utama bijih timah ini. 

Beberapa tahun selepas Inggeris menjadi penjajah Selangor, Kuala Kubu mendapat perhatian mereka kerana kekayaan hasilnya. Oleh sebab itu, Cecil Ranking dihantar sebagai pemungut hasil dan majistret daerah Hulu Selangor. Cecil Ranking melihat potensi besar Kuala Kubu, lantas tanpa berlengah lagi mengesyorkan pihak Inggeris supaya membina bandar baharu yang lebih tersusun di Kuala Kubu untuk memaksimumkan potensi ekonominya. 

Bagaimanapun, sebelum sempat melihat Kuala Kubu menjadi sebuah bandar, empangan yang sudah berusia 100 tahun itu pecah melimpah dan Cecil Ranking mati lemas bersama dengannya. Antara 1900 sehingga 1931 berlaku beberapa banjir besar yang menimbuskan sebahagian bandar Kuala Kubu dengan timbunan lumpur dan pasir. 

Akhirnya pusat pentadbiran dipindahkan semula dari Rasa ke Kuala Kubu yang baharu. Itu secebis sejarah Kuala Kubu Bharu. 

KUBU DAP 

Untuk PRK nanti, mampukah calon Melayu memecah tembok undi diraih oleh calon bukan Melayu sejak tiga penggal ini? Terletak dalam Hulu Selangor yang 2,700 kilometer persegi lebih besar saiznya dari Melaka, kehidupan di Kuala Kubu Bharu sama seperti tempat lain dengan penduduk mengharungi kos hidup yang kian meningkat.

Di Hulu Selangor, bidang pertanian, penternakan serta agro pertanian menjadi isu. Perkara kedua, peluang pekerjaan. Ada 5,000 kilang, yang terbesar kilang Perodua. Dari segi isu perumahan, ramai tidak ada rumah sendiri. Rumah berharga RM70,000 atau RM80,000 sudah tiada lagi.

Isu-isu lama seperti pembangunan Lembah Beringin, 15 kilometer dari Kuala Kubu Bharu, yang suram terbengkalai akibat berpindahnya ‘projek’ ke Putrajaya pada era BN nampaknya sudah dilupakan. Cukup marah orang sana dengan bekas menteri besar waktu itu kerana mengimpikan menjadi ‘jutawan segera’. 

Kisah lama, isu sendu itu bagaimanapun hari ini tidak mendatangkan kesan kepada BN, mahupun PH. Cuma kejayaan pembinaan Rawang By Pass menuju Kuala Kubu Bharu sedikit sebanyak mengembalikan sokongan kepada BN, sebelum ia tumbang dalam PRU14 pada 2018. Undi Melayu di Kuala Kubu Bharu realitinya bukan setakat pecah dalam kalangan penyokong PH, BN mahupun PN tetapi juga ‘berlegar-legar’ antara orang Minang, Jawa, Mendailing dan Banjar. 

Kuala Kubu Bharu macam orang Tanjong Karang juga. Bersempadan sahaja Kuala Selangor dengan Hulu Selangor. Orang Melayunya berparti tetapi ada sentimennya. Sebab itu orang lain yang menjadi ADUN sejak dulu. Minang dengan Minangnya, Jawa dengan Jawanya, Mendailing dengan Mendailingnya. Banjar dengan Banjarnya. Ada yang berkahwin Jawa dengan Minang. Orang Minang biarpun tidak sertai mana-mana parti pun, mereka survive

Ada yang menjadi Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam. Ada pula menjadi ahli politik macam arwah Mokhtar Dahalan. Jawa dan Mendailing ramai mereka di Batang Kali. Apabila sudah ikut etnik, pegangan politik tidak penting bagi mereka. 

Boleh dikatakan orang Melayu di Kuala Kubu Bharu tidak sama macam Batang Kali dan Hulu Bernam yang membentuk Parlimen Hulu Selangor. Sukunya banyak meliputi Rawa, Bugis dan Kampar. Masing-masing ada ragam tersendiri. 

Jika calon Melayu boleh bersatu atas nama Islam, barangkali dalam PRK kali ini boleh menang. Di pihak PH, jika ada isu bersentimenkan agama dimainkan, kemungkinan calon parti itu sukar mengulangi kemenangan kali keempat di situ. 

Buat PH, untuk menjamin status quo di Kuala Kubu Bharu, parti itu memerlukan calon yang memiliki kekuatan dan pengaruh sama seperti mendiang Kee Hiong yang juga orang kuat Lim Kit Siang. Kee Hiong adalah setiausaha politik dan pegawai khas kepada veteran DAP itu.

Tempoh hari dalam PRN Selangor 12 Ogos 2023, Kee Hiong menewaskan calon PN dari Gerakan, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi. 

Dia turut meraih banyak undi dari BN. Mendiang kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi. Jika PN masih berhasrat meletakkan calon Gerakan, belum masuk gelanggang pun diketahui akan ‘bungkus’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN