TANGAN yang menghayun buai mampu mentransformasikan dunia. Itulah ungkapan yang paling tepat bagi menunjukkan kehebatan wanita di negara ini. Ibu yang menyusu kini mampu menyusun organisasinya daripada terjunam ke ambang kegelapan ke alam yang bergemerlapan.
Dulu kita sekadar mengira dan mencari bintang wanita yang bersinar di alam semesta tetapi kini kesemua bintang yang bersinar di bumi Malaysia ini terdiri hanya bintang-bintang wanita sahaja.
Paradigma wanita Malaysia kini, bukan lagi bersifat kampung atau tradisional. Mereka melangkah 360 darjah dengan merekacipta dan menggariskan definisi baharu dalam dunia kepimpinan dan pengurusan malahan dalam kesemua bidang.
Kehebatan mereka dalam merangka, merancang, menganalisis, mengaplikasi serta merumuskan hasilnya jelas berbeza. Adakah ini didorong oleh sifat keibuan semula jadi mereka? Adakah wanita abad ke-21 negara telah metamorfosis (perubahan besar) raga dan jiwa secara beransur?
Wanita semakin berani menampilkan diri dalam semua bidang. Bermula dari penubuhan Taman Didikan Kanak-Kanak (Taska) sehingga mampu bersayap di semua firma konglomerat.
Peranan dan kepimpinan mereka jelas merancakkan sektor-sektor yang merundum selepas ancaman virus Covid-19. Virus durjana ini hanya mampu melemahkan sistem keimunan dan tidak dapat membentur keyakinan dan kewibawaan wanita negara. Mereka terus merobek alam ini dengan sentuhan keibuan yang amat bermakna dan berlatarkan ketokohan yang tersohor.
DUNIA PERUNDANGAN
Peguam terkemuka negara, Datuk S. Ambiga antara figura wanita unggul dalam bidang kehakiman. Beliau sebagai pejuang hak kemanusiaan membuktikan usia bukan halangan untuk bersuara dan bukan ‘tembok besar China’ untuk menyerlah dalam bidangnya.
Nama beliau tersenarai dalam Forbes 50 Over 50 bersama Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria yang merupakan Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Tunku Mona Riza Tunku Khalid yang merealisasikan filem Redha. Ketiga-tiga mereka ini mengungguli dan mewakili nilai-nilai wanita negara yang menuju arus kecemerlangan dalam bidang masing-masing .
NADI KEWANGAN
Penglibatan wanita negara semakin terserlah apabila Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Gabenor Bank Negara yang menerajui dan menjadi perancang nadi kewangan negara.
16 tahun mengungguli pengurusan badan kewangan tertinggi negara, segala dasar kewangan yang dirancang dan dipraktikkan mampu menjamin kesejahteraan rakyat.
Beliau yang juga seorang ibu dinobatkan dengan pelbagai anugerah kewangan berprestij antaranya ialah Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia (2010) oleh Majalah Global Finance, Anugerah Gold and Silver Star of the Order of the Rising Sun (2017) daripada kerajaan Jepun. Ini merupakan pujian dan penghormatan yang dikurniakan pada wanita kewangan kita.
WANITA PENDIDIKAN PERTAMA
Kini terpancar satu bintang baharu dalam bidang pendidikan apabila Fadhlina Sidek dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Beliau adalah wanita pertama yang memegang tampuk kepimpinan pendidikan negara. Keberanian dan kelantangan dalam menyuarakan agenda pendidikan di negara amat mengagumkan.
Kepetahan beliau berhujah dengan sinis, menepis hujahan dan tohmahan yang jatuh bagaikan bedilan sekali gus menampilkan sifat kewanitaan yang mampu meredah lautan walaupun ombak bergelora.
Beliau bertindak segera akan isu-isu yang dibangkitkan, seorang peguam syarie yang profesional dalam menangani segala isu yang berbangkit. Dari isu pentaksiran bilik darjah, kepadatan bilik darjah, penyelenggaraan tandas sehinggalah isu pendidikan awal kanak-kanak dicanang dan dijuadahkan agar reformasi pendidikan membawa kemakmuran dan kesejahteraan pada generasi akan datang.
SUKAN DAN WANITA
Wanita negara kita terus mendominasi dunia sukan dalam negara dan di persada dunia. Langkah kanan yang dipelopori oleh Annie Choong, M Rajamani, Marina Chin diwarisi Ratu Squash negara, Datuk Nicol Ann David, pemenang Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.
Farah Ann Abdul Hadi (gimnas negara), Aaliyah Yoong Hanifah (ski air), Nur Dhabitah Sabri dan Pandelela Rinong (penerjun negara) serta S. Sivasangari (squash) meneruskan tradisi kegemilangan wanita negara. Ramai lagi atlet wanita yang bersinar di balik tabir.
WANITA STEM
Kepakaran dan kesarjanaan wanita juga tidak kurang hebatnya dalam bidang Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Dari bidang fizik gunaan sehingga ke angkasa lepas kita memiliki pakar wanita. Bermula dengan pakar fizik gunaan, Profesor Madya Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar berjaya mengesahkan kewujudan lohong hitam supermasif di alam cakerawala dan merupakan salah seorang pakar astronomi negara yang terulung.
Dr. V. Jeyanny Vijayanathan pula dianugerahkan Penyelidik Wanita Cemerlang oleh Venus International Foundation atas penemuaan dalam kajian tentang kesuburan tanah dan galian. Jeyanny merupakan anak watan dan wanita pertama yang mendapat pengiktirafan ini.
Sementara Profesor Madya Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim, Profesor Dr. Rebecca Wong Shin Yee, Dr. Soo Wincci dan ramai lagi wanita hebat di negara kita yang terus melakar sejarah kegemilangan negara.
Pelibatan wanita secara langsung dan tidak langsung dalam segala bidang sesuatu bidang amat dialu-alukan. Tiada lagi wanita yang duduk di rumah melawan api di dapur. Api yang ditempuhnya itu juga telah memetik minda mereka menjana pendapatan.
Setiap insan yang bergelar anak watan wanita Malaysia bebas bergerak dan berdikari demi memenuhi naluri kerjaya sambil menghidupkan kebahagian sistem kekeluargaan.
Setiap ahli keluarga diwajibkan memberi dorongan dan galakkan tidak berbelah bahagi kepada penyuluh dan penyeri yang bergelar wanita.
Jom menyemarkkan dan merancakkan peranan kaum hawa seiring dengan arus pemodenan sambil mengekalkan budaya dan tradisi masyarakat Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah Guru Akademik SK Batu 3, Kluang, Johor.










