Seorang rider (penghantar makanan) Amar Firdaus memberi tahu saya: “Sebagai rider, sehari anggaran saya bekerja selama 12 hingga 15 jam untuk mencukupi pendapatan anggaran RM100 hingga 130 sehari.
“Rider akan mula bangun atau mula bekerja bermula pukul 8 pagi.. waktu bekerja bermula pukul 8 pagi kerana ramai pelanggan menggunakan platform p-hailing untuk membuat pesanan sarapan.”
Kebanyakan rider akan tamat bekerja pada pukul 10 malam , tapi ada juga terpaksa bekerja lebih masa jika pendapatan yang diperoleh belum mencukupi.
“Kami terpaksa membelanjakan RM10 hingga RM 15 sehari untuk kos minyak . Motosikal pula perlu diselenggara setiap minggu .
“Jika pendapatan diperoleh di bawah RM100 sehari, kami perlu bekerja seminggu tanpa cuti disebabkan jika kami bercuti kami tiada apa-apa pendapatan.
Jika sakit, terpaksa cuti dan tiada pendapatan.
Amar Firdaus berkongsi lagi, jika kesihatan baik, dia dapat menyimpan hasil pendapatan tetapi sebaliknya sekiranya jatuh sakit kerana tidak dapat bekerja memang tiada pendapatan
Demikian perkongsian seorang pekerja penghantar makanan yang menyedihkan dan jelas memerlukan pembelaan.
Namun nasib komuniti pekerja ekonomi gig masih belum terbela malah, kelihatan seolah olah tergantung sehingga kini.
Kerajaan ada mengumumkan penubuhan suruhanjaya ekonomi gig tetapi seperti biasa, pekerja sektor tersebut perlu bersabar bagi mengetahui nasib mereka.
Ini kerana Perdana Menteri baru sahaja mengumumkan mengenai penubuhannnya tentu mengambil masa untuk mencari jalan penyelesaian .
Komuniti gig ini berharap nasib mereka terbela. Sama seperti sektor pekerjaan lain yang termaktub dalam Akta Kerja 1955.
Apa yang dinikmati pekerja yang dilindungi dalam akta tersebut juga diharap dinikmati pekerja ekonomi gig.
Ada pertikaian berhubung isu ini. Sekiranya mereka diletakkan di bawah Akta Kerja 1955, mereka perlu mematuhi terma terma di bawah akta tersebut, sama seperti pekerja biasa atau pekerja dalam kontrak, yang ada majikan. Ini tentulah berbeza kerana kedudukan mereka sebagai pekerja bebas tanpa kontrak.
Sektor ekonomi gig melibatkan banyak kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan tidak mustahil akan menyentuh juga Kementerian Digital.
Justeru bukan mudah mengendalikan sektor ini. Soal penetapan harga jarak perjalanan melibatkan Kementerian Pengangkutan, harga barangan yang ditempah melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup manakala nasib pekerja melibatkan Kementerian Sumber Manusia.
Justeru cabaran mendepani isu ini dan apa yang dituntut oleh pekerja akan melibatkan kementerian kementerian berkenaan. Dalam pada itu Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia Jose Rizal berkata, pihaknya berharap isu mereka mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Ramai salah anggap mengenai perkhidmatan e-hailing. Ia bukan sekadar menghantar penumpang sahaja tetapi melalui aplikasi-aplikasi e-hailing ni pengguna boleh guna untuk pesan makanan, penghantaran bungkusan, bayar bil, beli tiket penerbangan dan sebagainya.
“Sebab itu kami merasakan aplikasi yang dikenali sebagai super app itu perlu dikawal selia dengan lebih teratur dan komprensif,” ujarnya.
Dalam pada itu Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Madeline Berma berkata, pekerja gig lazimnya bekerja secara bebas, sementara atau kontraktor yang terlibat dalam aktiviti tidak formal dan berasaskan permintaan. Mereka tidak ada waktu kerja tetap.
Maka, pekerja gig tidak layak mendapat faedah pekerja kerana status pekerjaan mereka yang bersifat tidak tetap.
Bagaimanapun beliau bersetuju penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig yang bertujuan melindungi hak pekerja. “Perlu ada skim perlindungan sosial (insurans) yang meliputi pekerja gig serta skim kebajikan perlu diwujudkan apabila berlaku berlaku kematian dan kecacatan.
“Undang-undang buruh perlu ditambah baik, atau yang sedia ada digubal untuk melindungi pekerja formal yang ada kontrak, waktu kerja tetap.maka pekerja gig perlu undang-undang baharu.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Undang -Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Dr Mohd Shahril Nizam Md. Radzi, beliau berharap penubuhan suruhanjaya gig menandakan ada sinar di hujung terowong seperti yang diharapkan oleh mereka yang terbabit dalam industri berkenaan.
“Suruhanjaya ini patut juga melihat industri gig selain p-haling dan e-hailing termasuklah antaranya pekerja industri kreatif dan mana-mana pekerja tidak bermajikan,” ujarnya. Ahli suruhanjaya pula patut terdiri daripada pelbagai sektor dan disiplin atau industri dan peranannya perlu merentas kementerian bagi melihat potensi ekonomi gig.
Justeru suruhanjaya patut berfungsi sebagai badan kawal selia ( regulator) industri gig.
Menurut Shahril lagi, beliau tidak bersetuju sekiranya pekerja ekonomi gig dimasukkan dalam Akta Kerja 1955 kerana ia akan melibatkan beban kepada majikan. Lebih baik kata beliau diwujudkan kategori ketiga pekerja yang dikenali sebagai kontraktor bergantung (dependant contractor) dan di bawah akta khusus baharu dan bukan Akta Kerja 1955 .
Selain itu kerajaan boleh terus untuk
kekalkan status pekerja gig sebagai kontraktor bebas( independant contractor) tapi dikawal selia akta baharu seperti Akta Terma Kontrak Tidak Adil (ATKTA) untuk kawal kontrak perniagaan kepada perniagaan (B2B). ATKTA ini telah lama diwujudkan di negara Eropah seperti United Kingdom dalam memastikan kontrak yang adil antara dua pihak. Adalah amat penting untk menjaga kepentingan kedua dua pihak berkontrak bagi mengelakkan manipulasi atau penindasan kepada satu pihak yang lain. Ini amat perlu dalam memastikan keharmonian industri gig terus terjamin bagi membantu perkembanganya.
Bagi Rizal, beliau mahu kerajaan supaya berani membuat keputusan dan tidak ada penangguhan lagi.
Kerajaan kena ingat sektor ini juga mempunyai kuasa penentu kerajaan kerana mereka terdiri daripada golongan muda.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) umur belia adalah antara 15 dan 40 yang jumlahnay sebanyak 15.2 juta atau 45.1 peratus. Mereka boleh jadi kuasa penentu dalam membuat keputusan siapa yang akan dipilih jadi kerajaan
Baru baru ini dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menjelaskan, pihaknya melantik perunding bagi menjalankan kajian apa fokus yang akan dijadikan terma rujukan termasuklah antaranya perlindungan insurans , kemudahan kesihatan, kemalangan masa bekerja dan faedah persaraan
Perunding tersebut diberi masa enam bulan bermula 1 April lalu bagi menjalankan kajian dan tiga bulan diberi tempoh bagi menyiapkan laporan interim.
Berdasarkan jawapan tersebut, kerajaan sudah memberi bayangan akan membela nasib pekerja gig yang jumlahnya mencecah 1,2 juta orang kini iaitu 17 peratus daripada semua yang terlibat dalam sektor pekerjaan.
Sehingga kini pun kerajaan telah membantu kumpulan tersebut menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan perbelanjaan RM1.99 juta. Apa pun isunya nanti ,masa depan pekerja sektor gig ini perlu mendapat perhatian kerajaan. Mereka perlu badan kawal selia untuk mengawal dan memantau operasi serta mendengar permasalahan mereka, manakala pengguna juga berdepan risiko perkhidmatan yang tidak memuaskan, maka di mana mereka mengadu.
Sektor ini menurut Mohd Shahril melibatkan ramai golongan muda yang aktif, sihat dan mempunyai idlealisme tersendiri. Dengan jumlah lebih sejuta pekerja dan akan terus meningkat, golongan muda yang menyertai sektor ini sebenarnya satu kuasa yang boleh menentukan nasib kerajaan.
Mereka aktif bergerak , berkomunikasi secara maya antara sesama mereka. Jika nasib mereka tiada yang peduli, golongan ini tidak mempunyai pilihan selain menyokong mana mana pihak prihatin . Golongan ini juga sebenarnya satu kuasa atau jurukempen tidak rasmi yang berkesan. Terowong yang mereka lalui saban hari pula memerlukan cahaya. –UTUSAN










