TIDAK pernah siapa menduga, UMNO atau Barisan Nasional (BN) tewas semua 18 kerusi di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus hilang penguasaan kerajaan negeri buat pertama kali dalam sejarah.
Seburuk-buruk prestasi UMNO sebelum ini khususnya pada pilihan raya umum 2018, tidak pernah tergugat penguasaan kerajaan negeri namun gelombang Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 berjaya merobohkan tembok kukuh parti tersebut di Perlis selama ini.
Selepas lebih setahun, UMNO negeri ini dilihat sudah mula melupakan memori hitam tersebut dan menerima kenyataan seterusnya mula bangkit dengan semangat baharu yang lebih segar dalam merampas semula negeri ini dalam pilihan raya umum akan datang.
UMNO Perlis yang dibarisi kepemimpinan baharu termasuk di peringkat bahagian tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya sudah move on bagi meneruskan usaha serta gerak kerja berterusan untuk kembali memikat hati rakyat khususnya golongan muda yang sebelum ini undi mereka memihak kepada PN.
Malah dengan barisan kepemimpinan baharu yang lebih segar diketuai Datuk Rozabil Abd. Rahman dengan dibantu Timbalannya, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya telah mencorak hala tuju baharu UMNO dalam usaha kembali merampas Perlis dalam PRU16.
Di peringkat bahagian, gerak kerja mendekati rakyat terus aktif dilaksanakan dengan setiap minggu ada sahaja program dilaksanakan dengan Kangar dan Arau antara paling aktif. Setiap program yang dilaksanakan UMNO dilihat lebih dirasai rakyat selain kerja-kerja kebajikan yang tidak pernah ditinggalkan meskipun bukan lagi sebagai kerajaan.
Selain itu, di peringkat negeri ini, UMNO juga dilihat berupaya menjalinkan kerjasama yang baik selain terus mengukuhkan hubungan dengan rakan-rakan komponen kerajaan Perpaduan dari Pakatan Harapan (PH).
Meskipun kerjasama tersebut masih baharu, namun pemimpin dua parti tersebut nampak tidak janggal malah dalam soal pemilihan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) juga berlangsung dalam keadaan harmoni.
Melihat kepada perkembangan semasa, UMNO khususnya masih mempunyai peluang bangkit dalam PRU16. Di Kangar, UMNO mempunyai peluang besar merampas kembali Parlimen Kangar serta beberapa kerusi DUN di kawasan itu antaranya Bintong, Sena selain Kuala Perlis.

Ketika ini, ramai yang sudah mula menilai antara prestasi Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar dalam mendekati rakyat serta prestasi Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan.
Di atas kertas dalam PRU15 sebelum ini, tidak ada sebab pengundi Kangar menolak Fathul Bari berdasarkan gerak kerjanya selama ini, namun gelombang PN di peringkat pusat turut sama membadai Perlis sehingga sosok seperti Fathul Bari juga tumbang dalam pilihan raya.
Di Arau, cabaran tampak sukar namun tidak mustahil khususnya di Parlimen Arau. Namun di peringkat DUN kawasan seperti Pauh, Tambun Tulang dan Simpang Empat, UMNO masih mempunyai peluang jika bekerja lebih keras. Padang Besar agak sukar diramai ketika ini.
Bagi Rozabil, beliau menyerahkan kepada rakyat membuat perbandingan prestasi wakil rakyat PN dan kerajaan negeri dengan fokus UMNO akan meneruskan kebajikan buat rakyat.
“Sememangnya banyak rungutan daripada masyarakat diterima yang menyatakan ketidakpuasan hati dengan wakil rakyat PN dan kerajaan negeri. Akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati tersebut jika dibandingkan sebelum PRU15. Harapan saya ialah rakyat dapat membuat perbandingan malah kita kepimpinan baharu di Perlis juga sememangnya meneruskan kebajikan buat rakyat di negeri ini,” katanya.
Dalam konteks kerjasama dengan PH, kata Rozabil, parti itu sedang bekerjasama rapat bagi memastikan undi dua gabungan itu dapat dikekalkan pada pilihan raya akan datang.
Katanya, langkah seterusnya pula adalah untuk bersama-sama menarik sokongan daripada pengundi baharu selepas ini.
Fathul Bari pula optimis, UMNO mampu merampas kembali Perlis dalam PRU16 berdasarkan gerak berterusan bersama rakyat di negeri ini.
Katanya, gerak kerja berterusan yang dilaksanakan itu cukup penting bagi mengisi ruang-ruang yang kerajaan negeri tidak laksanakan.
“Saya tidak mahu menjadi pengkritik tegar kerajaan negeri walaupun kita tahu di mana lompong-lompongnya terutama berkaitan isu rakyat yang sepatutnya diberi perhatian khusus.
“Mungkin program-program itu ada tapi difahamkan tidak dirasai sepenuhnya oleh rakyat dan masyarakat. Jadi kami isi lompongan-lompongan itu. Mudah-mudahan dengan gerak kerja yang kita atur susun selain pendekatan cara baru yang kita buat, akan memgembalikan sokongan rakyat kepada kita,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










