LARUT: UMNO belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung 14 tawaran yang dikemukakan Perikatan Nasional (PN) bagi melengkapi manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pendirian parti itu bergantung kepada kandungan tawaran berkenaan, khususnya sama ada ia selari dengan perjuangan UMNO dan mampu dilaksanakan secara praktikal.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak sebarang tawaran yang munasabah dan realistik, namun keputusan muktamad berhubung perkara itu perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Saya belum melihat manifesto PN itu. Kalau manifesto itu selari dengan perjuangan kita, saya tidak nampak mengapa ia tidak boleh diterima.
“Bagaimanapun, kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di Felda Ijok, di sini hari ini.
Ahmad berkata, UMNO tidak mahu menerima tawaran yang sukar dilaksanakan atau bersifat janji bulan dan bintang semata-mata kerana perkara itu akhirnya boleh menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Manifesto kita ialah perkara yang boleh dibuat dan praktikal. Kita tidak mahu berjanji bulan dan bintang yang akhirnya tidak dapat ditunaikan.
“Jika manifesto itu logik dan boleh dilaksanakan, pada saya secara peribadi tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh diterima,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya tawaran berkenaan melibatkan perkara yang tidak pernah dijanjikan oleh UMNO, termasuk penghapusan tol atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ia memerlukan penelitian lanjut.
“Kalau contohnya menghapuskan tol atau PTPTN, kita tidak pernah menjanjikan perkara itu. Kalau tiba-tiba perkara itu dimasukkan, sudah tentu ia menjadi sukar,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, gabungan itu mengemukakan 14 tawaran tambahan berteraskan enam bidang utama iaitu pentadbiran, belia dan keluarga, ekonomi, kebajikan, pendidikan serta pekerjaan. – UTUSAN










