BATU PAHAT: UMNO Bahagian Parit Sulong sebulat suara menyokong Barisan Nasional (BN) perlu bergerak solo untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) tanpa perlu mengadakan gabungan dengan mana-mana parti di negara ini.
Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, dinamik pengundian dan keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberikan petunjuk jelas bahawa formula kerjasama longgar dan mendatangkan pelbagai cabaran kepada sokongan asas parti.
Katanya, BN justeru itu perlu kembali kepada formula asal yang lebih meyakinkan pengundi dengan meletakkan calon di semua parlimen di Semenanjung dan Sabah.
Jelasnya, suara majoriti orang Melayu diperingkat akar umbi menuntut sebuah entiti politik yang bebas membuat keputusan tanpa terikat dengan kompromi gabungan lain demi memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti dan dominasi perjuangan BN.
“Bertanding secara solo membolehkan BN merangka manifesto sendiri, memilih calon tanpa sekatan gabungan luar serta mengembalikan tradisi kekuatan jentera parti di semua peringkat kawasan.
“Usul ini dipersetujui semua perwakilan yang hadir untuk bersidang hari ini dengan pendirian bahawa Kerajaan Perpaduan Madani bukanlah satu gabungan pakatan politik yang kekal secara ideologi sebaliknya hanyalah satu bentuk persefahaman politik sementara demi kestabilan negara pada pasca pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan UMNO Bahagian Parit Sulong di Dewan Orang Ramai Taman Sri Sulong di Batu Pahat hari ini.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Madani ditubuhkan atas dasar titah dan keperluan kestabilan nasional namun tidak wajar dijadikan alasan untuk mencairkan identiti politik, prinsip perjuangan atas autonomi BN dalam jangka masa panjang.
“Memandangkan keputusan serta dinamik politik semasa khususnya iktibar daripada keputusan PRN Johor ke 16 serta mengambil denyut nadi, suara keramat dan sokongan padu orang Melayu di peringkat akar umbi yang menuntut maruah serta kelangsungan parti dihormati,”katanya. – UTUSAN










