BARU-BARU ini, penyair terkenal bernama Vairamuthu dari Tamil Nadu, India menerima anugerah Peruntamil daripada timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan. Rakan-rakan penulis Tamil tempatan tertanya-tanya, tidak adakah pengarang Malaysia layak diberi anugerah itu?
Saya segera teringat kenyataan Presiden Persatuan Penulis Tamil Malaysia, P. Rajendran pada majlis penutup Festival Sastera Tamil di Universiti Malaya pada 5 April 2015.
“Walau apapun yang kami lakukan di sini (Malaysia), kami masih perlu bergantung dan merujuk kepada perkembangan di Tamil Nadu. Saya merayu supaya anda terus memberikan peluang dan tunjuk ajar kepada kami,” katanya seperti dihurai dalam buku Dewi Pertiwi (2024).
Apa yang berlaku, seolah-olah sastera dan penulisan Tamil di Malaysia kembali kepada era sebelum merdeka yang mana ia dipengaruhi penulis dan karya dari Tamil Nadu.
Tulisan ini bertujuan menunjukkan bahawa penulis dan karya Tamil tempatan juga tidak kurang hebat. Bagi tujuan itu, saya akan memperkatakan secara ringkas perkembangan penulisan novel Tamil oleh pengarang tempatan.
Hasil kajian tokoh seperti M. Krishanan, V. Sababathy, S. Murugu, R.Dhandayudham dan M. Ramaiah dijadikan rujukan bagi memastikan kesahihan fakta.
Di negara India, novel Tamil pertama ialah Prathaba Mudaliar Charithram yang ditulis Mayuram Vedanayagam Pillai pada 1857 dan terbit dalam bentuk buku pada 1876.
Novel Tamil kedua pula, Kamalampal Charithram oleh Rajam Iyer disiar secara bersiri di majalah Viveka Cintamani (1893-1895) sebelum terbit dalam bentuk buku pada 1896.
Di Malaya juga, novel Tamil pertama ditulis secara bersiri. Karya berjudul Rattinamaalai Alathu Kaanamal Pona Kumaravati oleh S.L Mathava Rao disiarkan di akhbar Nyana Suriyan pada 1912. Malangnya, penyiaran novel itu terhenti apabila hak milik akhbar bertukar tangan.
Novel Karunakaran Alathu Kadhalin Matchi (1917) oleh K. Vengadaratnam diterima sebagai novel Tamil sulung di Malaya (Malaysia). Novel awal lain ialah Ariamalar (1921) karya Mangalanayagam Thambiya dan Saambasiva Nanamirtham (1927) oleh A. Nagalingam.
Akhbar Tamil Nesan terbit pada September 1924. Sebuah novel disiarkan secara bersiri pada 1933. Kemudian, apabila akhbar Tamil Murasu terbit pada 1936, lima novel berjaya disiarkan secara bersiri dalam masa empat tahun.
Kebanyakan novel Tamil yang terbit dalam bentuk buku pada 1930-an ditulis dan diterbitkan orang Tamil Sri Lanka (Ceylonese Tamil). Gaya penulisan, plot dan latar tempat pula ketara menggunakan negara India dan Sri Lanka. Tema penyiasatan, reformasi sosial, kahwin paksa dan perjuangan hak wanita antara tema pilihan.
Antara novel selepas Perang Dunia Kedua ialah Maratha Mullai (1949) oleh C.R. Narasimma Raj, Neer Sullal (1953) karya bersama M. Ramaiah dan M.S. Mayadevan, serta Malliga (1957) oleh M. Arivanandan.
Perlu diakui kelas panduan menulis cerpen anjuran akhbar Tamil Nesan dari November 1950 hingga April 1951, serta ruangan khas disediakan akhbar Tamil Murasu bagi penulis baharu turut menyumbang kepada lebih ramai penulis karya Tamil bermutu.
Semangat patriotik dan kesetiaan kepada tanah air semakin ketara dalam kalangan penulis Tamil selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Penyiaran novel secara bersiri di akhbar juga kembali popular. Misalnya, akhbar Sangamani menyiarkan novel berjudul Thuyara Paathai.
Akhbar Malaimakal pula menyiarkan novel Malaratha Malar dan Kaanal Neer secara bersiri.
Kisah komuniti Tamil yang menderita di ladang getah menjadi tema umum yang amat dominan dalam kalangan penulis.
Tahun 1960-an menyaksikan kemunculan beberapa penulis muda yang terus menyumbang secara konsisten dalam penulisan novel Tamil. Antaranya Pandian, N. Rajagopal, M. Ramaiah, A. Chandrasekaran, P.K. Malaimaran, M.Kumaran, R. Perumal, M. Anbuchelvan dan M.S. Gurusami.
Penulis muda pada 1970-an pula antaranya S.A. Anbananthan, V.K. Chandrasegaran, Karaikilar, S. Manivanan, M.A. Ilanchelvan dan A. Khandan. Karaikilar menulis Puuci (1972) manakala A. Khandan menulis Tondan (1979).
Dalam situasi ini, P.K. Malaimaran menulis Ilam Devi (1971) yang dianggap novel sejarah pertama oleh penulis Tamil tempatan. Malangnya, ia mengangkat kisah sejarah di negara India.
Persatuan Penulis Tamil Malaysia menganjurkan pertandingan menulis novel pada 1973 dan 1979. Novel Latchiya Payanam tulisan I. Illavalagu menang hadiah pertama pada 1973 manakala juara pada 1979 ialah novel Siragukal Muriyum Manitha Kanavugal. Kedua-duanya mengangkat tema komuniti penoreh getah Tamil yang ditindas.
Awal 1980-an menyaksikan usaha akhbar Vaanampadi menerbitkan novel baharu setiap bulan. Sebelas novel berjaya diterbitkan tetapi usaha murni itu terhenti pada Mac 1981 akibat masalah dalaman.
Ada dua novel sejarah berkaitan Kesultanan Melayu Melaka. Pertama, Aatum Manjal Unjal karya P. Chandraganthan. Kedua, Tee Malar oleh Kamalah Suppiah yang menang pertandingan pada 1986 dan terbit pada 1987.
MATANG
Tahun 1990-an menyaksikan era kematangan dalam kalangan penulis Tamil tempatan yang aktif berkarya sejak 1960-an, 1970-an dan 1980-an. Rata-rata calon ijazah sarjana dan kedoktoran di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya yang mengkaji perkembangan cerpen dan novel Tamil tempatan mengakui karya para penulis semakin matang.
Antara novel penting tahun 1990-an ialah Suvadhukal, Alagin Arathanai dan Vilalum Neerum oleh M. Ramaiah, Koodukal Koonankalanal oleh Paavai, Irandavathu Paurnami karya Saraswathi Arikrishnan dan Siam Marana Rayil oleh R. Shanmugam.
Saya mengikuti perkembangan sastera Tamil tempatan sejak 1993 iaitu sewaktu belajar di Universiti Malaya dan berpeluang bergaul rapat dengan ramai penulis veteran dan muda. Sejak 2010, lahir lebih ramai penulis yang mampu menyajikan kepelbagaian dalam cerpen dan novel bahasa Tamil.
Penulis seperti Kamalah Suppiah masih aktif berkarya walaupun kedua-dua matanya buta sejak 2008 akibat penyakit glaukoma. Ramai juga penulis veteran yang terus gigih berkarya walaupun tidak ada pengiktirafan dan pulangan lumayan.
Malangnya, kera di hutan disusukan sementara anak sendiri di rumah kebuluran. Demikianlah situasi sastera Tamil di Malaysia dewasa ini.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










