Samy Vellu, tokoh India yang akan sentiasa dikenang

Samy Vellu, tokoh India yang akan sentiasa dikenang

SAMY Vellu (dua dari kiri) meninggalkan legasi yang tidak ternilai terutama dalam mengubah landskap infrastruktur Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini sebahagian masyarakat India di negara ini masih lagi mengenang jasa mendiang Tun S. Samy Vellu dengan memperingati ulang tahun kelahirannya yang ke-88.

Ibu Pejabat MIC turut mengadakan majlis bagi memperingati sumbangan dan kepimpinan bekas Presiden MIC itu selama menerajui parti politik berkenaan.

“Parti politik penting untuk demokrasi. Tiada rakyat maksudnya tiada kerajaan,” itu antara kata-kata hikmah daripada mendiang yang mencetuskan kesedaran politik dalam kalangan akar umbi parti.

Mendiang mempunyai gaya dan seni tersendiri dalam kepimpinan termasuk ketika berhadapan dengan lawan. Selain dikenali sebagai jaguh membela kerajaan di Dewan Rakyat. Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput dan bekas Menteri Kerja Raya itu cukup bersedia dalam segala aspek hingga dipuji oleh tokoh pembangkang pada ketika itu, Tan Sri Lim Kit Siang.

“Kami akan berenang atau karam bersama UMNO. Komuniti India kecil, tetapi bukan komuniti yang bisu.” Itu antara jawapan mendiang dalam mempertahankan keberadaan MIC dalam Barisan Nasional (BN).

Samy Vellu adalah seorang yang bersikap terbuka dan berterus terang. Ini diakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah berkata, “Ada orang kata saya seorang maha zalim. Jika saya jenis seperti ini bagaimana pula Samy Vellu dan Tan Sri Rafidah Aziz dapat melontarkan pandangan mereka begitu lama dalam Kabinet?”

Dr. Mahathir pernah mengulas bahawa MIC di bawah kepimpinan Samy Vellu adalah paling stabil. Walaupun ada pertelingkahan di sana sini, tetapi kerana kepimpinan mendiang, MIC kekal sebagai parti komponen yang stabil dalam BN.

Begitu juga dengan sumbangan beliau kepada negara. Semangat patriotisme beliau tidak boleh dipertikaikan kerana mendiang antara yang terkehadapan dalam mempertahankan negara.

Ini terbukti melalui tindakannya semasa konfrontas dengan Indonesia yang mana mendiang memanjat tiang menurunkan bendera negara jiran itu sebagai tanda bantahan terhadap Indonesia.

Namanya juga cukup sinonim dengan Kementerian Kerja Raya dan selepas mendiang rasanya tidak ada lagi wakil dari mana-mana parti yang mewakili kaum India dalam kerajaan yang sekalibernya.

Mendiang sentiasa berfikiran positif dengan ungkapan cahaya di hujung terowong tentu ada selain hebat bertindak dalam menghadapi apa sahaja cabaran sama ada dalam parti, kerajaan mahupun membabitkan masyarakat.

Sebab itu mendiang tidak teragak-agak mengkritik kerajaan walaupun beliau sendiri berada dalam barisan Kabinet.

“Saya bukan jenis kura-kura yang takut ataupun pembisu yang kurung diri sendiri,” antara ungkapan mendiang Samy Vellu.

Tokoh DAP, Lim Guan Eng mengakui mendiang adalah mentari MIC yang lebih vokal daripada menteri MCA.

Walaupun kadang-kadang mendiang mengkritik, namun Samy Vellu sentiasa mempertahankan BN sebagai model politik yang penting untuk kestabilan negara.

Tidak kira parti komponen BN besar atau kecil semuanya memiliki peranan sama rata dalam kepimpinan peringkat tertinggi.

Samy Vellu memang merupakan seorang tokoh politik unik seperti pernah disebut Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tidak pasti sama ada dalam 1,000 tahun lagi kita akan mempunyai seorang lagi Samy Vellu.

Bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Dr. S. Subramaniam yang juga bekas Presiden MIC berkata, Samy Vellu adalah legenda dalam Kabinet.

Sepanjang kerjayanya dalam politik dan kerajaan, prestasi graduan dari Institut Arkitek Diraja Britain (RIBA) pada 1971 itu cukup membanggakan dan menjadi motivasi kepada banyak pihak.

Walaupun diberi bermacam-macam gelaran, yang ada kalanya berbunyi negatif seperti ‘Samy Tol’, tetapi sumbangannya kepada pembangunan negara termasuk menyediakan infrastruktur yang lengkap sangat besar.

Mendiang antara perancang dalam pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang siap secara berperingkat bermula 1994.

Begitu juga dengan pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang mendapat kritikan hebat dari pembangkang ketika itu. Tetapi kini jambatan yang dibuka pada 1985 itu ternyata menjadi nadi utama kepada ekonomi Pulau Pinang.

Mendiang juga menerajui Kementerian Tenaga dan Telekomunikasi dari 1989 hingga 1995 yang menyaksikan kejayaan penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia yang kesemuanya berlaku pada 1990.

Samy Vellu juga merupakan antara nama penting yang menyumbang idea mengenai Malaysia perlu memiliki satelit sendiri sehingga kita menyaksikan pelancaran Satelit Asia Timur Malaysia(MEASAT) 1 pada 1996.

Tetapi yang paling diingati sudah tentu peranannya sebagai Menteri Kerja Raya di bawah pimpinan Dr. Mahathir yang mana ia cukup signifikan dalam mengubah landskap infrastruktur Malaysia.

Sumbangan mendiang dalam pendidikan juga tidak boleh dinafikan kerana merupakan penggerak kepada penubuhan Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) yang memberi geran dan pinjaman kepada pelajar India melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan teknologi maklumat.

Selain itu, mendiang turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe di Seremban dan menjadi Canselor Asian Institute of Medicine, Science And Technology (AIMST) pada 2001 yang kemudian dinaik taraf menjadi Universiti AIMST.

Penglibatan nyata mendiang dalam politik pula bermula pada 1974 apabila dipilih bertanding di Parlimen Sungai Siput dan menang seterusnya mempertahankannya selama lapan penggal.

Ketika beliau mula mengambil alih kepimpinan MIC, parti itu sebenarnya berada dalam krisis. Mendiang dengan tegasnya berkata saya tidak mahu menjadi pemimpin kepada parti yang berpecah-belah.

Dari situ mendiang menyusun strategi menyelesaikan kemelut dalam MIC melalui kebijaksanaan dan keupayaannya menegakkan perpaduan.

Sebelum berjaya dalam politik, tokoh India ini sebenarnya adalah pejuang miskin tegar kerana beliau sendiri datang dari latar belakang keluarga yang susah.

Di usia muda mendiang membantu keluarga dengan mengambil upah menggulung daun tembakau untuk dibuat curut. Setelah ibunya meninggal dunia pada 1950 ketika beliau berusia 14 tahun, mendiang berpindah ke Kuala Lumpur dan menjadi konduktor bas di bawah GTS Bus Company.

USAHA MEMBANTU
Saya sendiri pernah membawa masalah fakir miskin untuk perhatian bekas Presiden MIC itu. Rumah seorang wanita hampir hancur dalam kebakaran di Puchong. Atas permintaan wanita itu kami terus ke kediaman mendiang tetapi suasana ketika itu agak suram kerana mendiang tewas di Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Walaupun dalam segala kerumitan itu, Sam Vellu tetap membantu wanita tersebut yang dalam kesusahan.

“Walaupun saya menghadapi beberapa kesulitan dan kerumitan tetapi usaha untuk membantu bangsa dan nusa akan tetap saya teruskan,” demikian kata mendiang.-UTUSAN

PENULIS adalah pemerhati dan penulis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×