Perteguh perpaduan nasional

Perteguh perpaduan nasional

SETIAP kaum seharusnya hidup secara harmoni, aman dan damai dengan membuang segala sikap ekstremis dan prejudis. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kalimah Allah pada stoking yang dijual di sebuah pasar raya mengingatkan kita untuk menghindar diri dari membuat atau mencetuskan perkara-perkara sensitif yang boleh mengeruh atau merosakkan hubungan kaum di negara ini.

Isu ini juga menunjukkan bahawa usaha untuk memperkukuh agenda perpaduan nasional masih kekal sebagai satu cabaran yang sepatutnya sudah tidak berbangkit lagi setelah lebih 60 tahun merdeka.

Isu-isu sensitif yang sering tenggelam timbul menunjukkan bahawa masih ada rakyat atau kelompok tertentu yang tidak mampu menjiwai agenda penting ini. Kepelbagaian kaum dan kepercayaan dianggap seolah-olah peluang untuk bermain api yang boleh meranapkan binaan negara-bangsa Malaysia yang bersatu, harmoni aman dan damai.

Kita mahukan pemimpin dan rakyat yang sentiasa bersikap matang dengan melihat hubungan kaum di luar kerangka atau kepompong perkauman atau keagamaan. Usah perlekehkan atau menghina kepercayaan mahupun anutan agama orang lain. Ini penting bagi menjamin kestabilan negara, perpaduan dan keharmonian rakyat.

Isu-isu yang terlalu sensitif jangan dipermainkan kerana bukan sahaja boleh menggugat ketenteraman hidup bermasyarakat, bahkan mengancam keselamatan negara.

Sepatutnya, kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang wujud di negara ini harus dijadikan kekuatan ke arah membina masyarakat yang saling bertoleransi, bekerjasama dan penuh persefahaman supaya hasrat mewujudkan negara-bangsa yang bersatu padu tercapai.

Setiap kaum seharusnya hidup secara harmoni, aman dan damai dengan membuang segala sikap ekstremis dan prejudis. Untuk itu, semua pihak bertanggungjawab menjaga pantang larang atau batas-batas hubungan kaum dengan menghindari isu-isu sensitif.

Jika orang bukan Islam faham bahawa kalimah Allah itu yang sangat tinggi dan mulia dalam akidah atau kepercayaan umat Islam, sudah tentu mereka akan menghormatinya dengan cara tidak memperlekeh dan menghinanya. Usah minta orang Islam sahaja yang mesti menghormati kepercayaan penganut agama lain, sedangkan di satu pihak pula sering melakukan provokasi dengan menyentuh isu-isu sensitif terhadap umat Melayu-Islam di negara ini.

Kita jangan terikut-ikut dengan perangai masyarakat bukan Islam di beberapa negara luar yang suka melakukan provokasi terhadap umat Islam. Di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah lain sering berlaku pergeseran agama dan kaum yang kononnya atas amalan demokrasi tulen dan pejuang hak asasi manusia.

Janganlah jadikan ikutan sikap perkauman dan anti Islam di negara-negara luar. Jika mereka bebas menghina agama Islam atas nama kebebasan maka tidaksepatutnya kita mengikutinya atas nama kebebasan juga.

Ingat bahawa kita hidup dalam negara yang memiliki tuannya, iaitu Melayu-Islam yang telah lama bertoleransi dan menerima kehadiran kaum lain di negara ini. Kita telah bersama-sama menyetujui kontrak sosial ketika negara mencapai kemerdekaan untuk membina negara bangsa yang bersatu padu, aman dan damai. Ini adalah fakta sejarah negara. Bukankah sejarah sosial Malaysia merakamkan bahawa era kemasukan kaum Cina dan India secara besar-besaran pada abad ke-19 adalah kesan dari polisi penjajah British ketika itu?

Kemasukan besar-besaran itu telah mengubah komposisi penduduk negara ini. Sebelum itu, masyarakat di negara ini terdiri daripada Melayu dan Orang Asli, juga sedikit imigran dari luar yang datang berdagang sejak kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Pada pertengahan abad ke-18, berlaku gelombang kemasukan beberapa etnik dari Indonesia, khususnya dari Sumatera dan Jawa ke Tanah Melayu. Namun, perpindahan mereka itu adalah dari rantau yang sama, dikenali sebagai alam Melayu atau Nusantara.

Masyarakat dari Indonesia itu lebih serasi dengan masyarakat Melayu kerana sosiobudaya dan ‘world view’ hidup mereka adalah dari alam yang sama dan mereka umpama seikat bagai sirih, serumpun bagai serai. Ia jauh berbeza dari orang Cina dan India yang datang dari tanah besar masing-masing dengan budaya dan pandangan dunia yang cukup berbeza.

Selepas kemerdekaan negara pada 1957, dasar pemberiaan taraf kewarganegaraan kepada kaum imigran secara jus soli membawa kepada kewujudan masyarakat majmuk yang rencam sifatnya serta menimbulkan beberapa implikasi sosioekonomi dan sosiopolitik tanah air.

Justeru, cabaran utama yang dihadapi ialah cabaran membina dan mengekalkan perpaduan kaum secara padu dan kukuh.

Banyak perkara yang orang Melayu korbankan untuk menerima kaum Cina dan India sebagai warganegara di negara ini. Oleh itu janganlah bersifat seperti mayang menolak seludang.

Persoalan mengenai perpaduan nasional menjadi begitu penting, terutamanya selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ia adalah peristiwa hitam tanah air yang memberi isyarat jelas bahawa tanpa perpaduan yang kukuh masyarakat akan mudah berkonflik dan berpecah belah jika isu-isu sensitif dipermainkan.

Saya kira kerajaan yang berpegang kepada slogan Malaysia Madani mesti pertingkatkan usaha memperteguh kejuruteraan sosial yang bermatlamatkan memperkukuh perpaduan nasional.

Slogan seperti kerajaan ini kerajaan kami, jadi ikut suka kamilah tidak sepatutnya ada bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Kata-kata sebegini tidak mengambarkan sifat demokratik kerajaan. Sepatutnya yang mesti dipegang ialah kerajaan ini kerajaan rakyat, kesejahteraan rakyat diutamakan.

DASAR
Perpaduan mesti diperkasakan dengan memperkukuhkan lagi beberapa dasar nasional seperti pendidikan, bahasa kebangsaan, perpaduan dan ekonomi. Pelbagai dasar nasional itu mestilah mendukung falsafah menjadikan masyarakat hidup bersatu, harmoni, sejahtera, maju, progresif serta memiliki semangat patriotisme yang tinggi.

Kaum bukan Melayu yang sudah merasa selesa dan kuat kedudukannya di negara ini janganlah bersifat sombong. Kita bimbang jika ada sifat etnosentrik yang tinggi dalam kalangan kaum Cina seperti yang disebut oleh Profesor Teo Kok Seong bahawa kaum Cina di negara ini memiliki sifat sombong yang tinggi dengan memandang rendah kepada tuan (orang Melayu) di negara ini maka ia akan menjadi halangan besar kepada masalah perpaduan negara.

Perlembagaan dan Rukun Negara mesti dijadikan pendoman dan panduan dalam kehidupan bermasyarakat.

Semua pihak, termasuk pemimpin yang berpegang kepada slogan Malaysia Madani harus mengakui bahawa kepelbagaian kaum, budaya tidak sepatutnya menjadikannya modal untuk bertelagah dan berkonflik sehingga menjejaskan keharmonian, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.-UTUSAN

Penulis adalah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×