Orang kaya pun berhutang, inikan yang miskin? - Utusan Malaysia

Orang kaya pun berhutang, inikan yang miskin?

Membuat persiapan Aidilfitri janganlah sampai perlu meminjam ah long atau mana-mana pihak pinjaman berlesen. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA melihat iklan pinjaman wang pantas sempena Ramadan dan Aidilfitri lalu lalang di media sosial. Semakin hari semakin banyak pula dan semakin mendapat sambutan. Ramai yang komen bertanyakan itu ini.

Ada yang boleh lulus walaupun peminjam bergaji RM300? Dan boleh pinjam serendah RM500? Biar betul? Fikir saya, sesuatu yang berharga seperti wang tak akan dapat dan berakhir dengan senang. Mesti ada hal-hal tersembunyi. Tak akanlah pihak yang memberi pinjaman bermurah hati sangat.

Selalunya begitulah, masa cuba menjebak peminjam, macam-macam perkara yang menyeronokkan diuar-uarkan. Bila sudah meminjam dan membuat pembayaran, masa itulah banyak syarat dan terma tersembunyi. Cakap-cakap yang manis, bertukar ugutan.

Ada bertanya yang disenarai hitam bank boleh meminjam tak? Berapa nilai wang paling tinggi boleh dipinjam? Berapa pantas boleh dapat? Pejabat di mana? Yang hairannya tak pula yang bertanya berapa kadar bunga dikenakan? Macam mana mahu bayar? Ini pinjaman ah long kah?

Agaknya, mungkin dapatkan dulu duit, hal-hal yang tak seronok itu fikir lah kemudian.

Soalnya, adakah yang meminjam ini betul-betul terdesak? Atau ada yang saja-saja tidak dapat mengawal diri bila melihat tawaran pihak peminjam wang dan mulalah memikirkan benda apa yang hendak dibeli dengan pinjaman tersebut.

Walhal, kalau dia tidak berhutang pun tidak mengapa. Tidak ada apa-apa yang terjejas. Makan, pakai, duit pergi kerja semua cukup walaupun taklah mewah mana, tetapi cukup.

Akhbar ini melaporkan kelmarin, trend meminjam daripada ah long atau pemberi wang tidak berlesen didapati meningkat 50 hingga 60 peratus setiap kali tiba musim Hari Raya Aidilfitri. Selalunya di luar musim perayaan, 30 hingga 40 peratus.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif memberitahu, antara faktor peningkatan adalah kerana keinginan menukar kereta baharu, perabot, langsir, meja makan dan peralatan elektrik walaupun tidak berkemampuan.

Turut meningkat jumlah pinjaman peribadi oleh penjawat awam yang mencatat penambahan 10,000 permohonan setiap kali menjelang 1 Syawal.

Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdullah Fattah pula berkata, jumlah permohonan potongan gaji diterima Angkasa untuk mengutip pembayaran balik daripada penjawat awam yang terlibat bertambah antara 5,000 hingga 10,000.

Ikut logik akal, tak akanlah kerana hendak membeli perabot atau langsir untuk beraya sampai sanggup membuat pinjaman tak kiralah dengan ah long atau syarikat memberi pinjaman duit berlesen.

Tetapi itulah, ramai rupanya orang kita yang masih bersikap dan berfikiran sebegitu. Membuat pinjaman untuk hal-hal yang tidak perlu dan sanggup dikejar ah long bila tidak mampu membayar hanya kerana mahu rumah nampak cantik atau bergaya di Aidilfitri.

Agaknya sampai bila sikap yang tidak bijak dan merugikan ini akan berterusan dalam kalangan segelintir orang kita? Sanggup berhutang untuk perkara-perkara yang bukan keperluan dan rela menjerumuskan diri dalam hal-hal yang menyusahkan diri di kemudian hari.

Sedangkan kita semua maklum kos sara hidup semakin tinggi, harga barang keperluan dan perkhidmatan semakin naik. Ramai yang merungut. Tetapi merungut saja menyalahkan kerajaan dan pak menteri yang sering dikecam hanya pandai bercakap, tidak akan mengubah apa-apa.

Mereka tetap begitu, terus bercakap dan kita pada masa sama janganlah menjebak diri menambah hutang pada hal-hal yang bukan kecemasan.

Kegagalan mengurus kewangan sendiri atau keluarga akhirnya akan memberikan kemudaratan yang bukan sedikit dalam kehidupan. Yang menanggung susahnya adalah diri sendiri bukannya orang lain. Lebih-lebih lagi apabila diisytihar muflis.

Betul, orang kaya pun berhutang, inikan orang miskin, kata seorang kawan. Iyalah, yang banyak duit itu, mampu bayar hutang dan buka hutang baru. Yang tidak berkemampuan, hutang lama pun tak tutup-tutup. Buka lagi hutang baru. Hutang keliling pinggang dan tahap kewangan sentiasa dalam kritikal, inikah kehidupan yang kita mahukan?

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×