ISU penjualan stokin yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka telah menyebabkan kemarahan umat Islam di negara kita dan menimbulkan perbincangan yang hangat dalam kalangan masyarakat. Isu ini telah menyedarkan syarikat tempatan tentang kepentingan meningkatkan jaminan kualiti bagi meningkatkan kualiti dan mengelakkan produk mereka dari menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara kita.
Dalam era globalisasi yang pesat membangun ini, syarikat tempatan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara serta menyediakan produk atau perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat majmuk yang berbilang bangsa.
Walaupun syarikat tempatan mampu menghasilkan produk yang berkualiti, terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan jaminan kualiti, terutamanya terdapat kemungkinan produk yang dijual berisiko untuk menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk seperti negara kita.
Sensitiviti masyarakat majmuk merangkumi pelbagai faktor, termasuk sensitiviti agama, budaya dan etnik. Produk yang tidak memenuhi standard kualiti atau menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk boleh menyebabkan kemarahan, kehilangan kepercayaan dan kemungkinan tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.
Pendidikan dan kesedaran
Langkah pertama adalah menyediakan pendidikan dan kesedaran kepada pekerja syarikat mengenai kepentingan memahami sensitiviti masyarakat majmuk.
Latihan ini boleh merangkumi aspek-aspek seperti kepelbagaian budaya, prinsip-prinsip agama dan risiko-risiko kesihatan yang berkaitan dengan produk. Dengan pemahaman yang lebih mendalam, pekerja akan lebih berhati-hati dalam setiap langkah pengeluaran dan pengedaran produk.
Misalnya, penggunaan bahan yang tidak selamat atau penggunaan simbol-simbol yang sensitif untuk sesuatu kumpulan etnik boleh mencetuskan kontroversi. Dengan memahami kepelbagaian ini, syarikat mampu mengeluarkan produk mereka dengan lebih selamat dan meminimumkan risiko yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk.
Pemeriksaan kualiti berterusan
Pemeriksaan kualiti yang berterusan di setiap peringkat pengeluaran, dari bahan mentah hingga kepada produk yang siap untuk diedarkan.
Dengan mengamalkan pemeriksaan kualiti yang ketat, syarikat dapat mengelakkan kecacatan yang mungkin mencetuskan kemarahan atau kebencian dalam masyarakat majmuk.
Penggunaan bahan mentah berkualiti
Syarikat juga perlu memeriksa dan mengesahkan sumber barangan yang dibeli untuk memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan produk.
Mengelakkan penggunaan bahan yang boleh menyebabkan sensitiviti kepada masyarakat dan bahan tidak selamat untuk menjaga reputasi syarikat dan keselamatan pengguna. Proses pemantauan adalah penting dalam memastikan standard kualiti dipenuhi setiap masa.
Ujian dan penilaian produk
Proses ujian dan penilaian perlu dilaksanakan untuk memastikan produk memenuhi piawaian yang ditetapkan serta meminimumkan risiko kepada pengguna. Penekanan diberikan kepada aspek sensitif seperti nilai agama untuk memastikan produk tidak menyinggung kepercayaan masyarakat. Dengan melakukan ujian menyeluruh, syarikat dapat mengelakkan masalah dan menjaga reputasi produk mereka di pasaran.
Prosedur Operasi Standard (SOP) syarikat
Syarikat perlu mempertimbangkan pelbagai aspek yang berkaitan dengan sensitiviti masyarakat majmuk. Antara aspek yang penting termasuklah sensitiviti agama, budaya, etnik, serta nilai dan norma masyarakat.
Sebagai contoh, dalam industri makanan, penting bagi syarikat memastikan bahawa proses penyediaan dan bahan mentah adalah halal untuk memenuhi keperluan masyarakat muslim.
Begitu juga dalam pengiklanan atau promosi produk, syarikat perlu berhati-hati untuk tidak melanggar nilai-nilai atau kepercayaan masyarakat tertentu. Dengan mempertimbangkan aspek-aspek ini dalam SOP, syarikat dapat memastikan operasi mereka berjalan dengan lancar dan menghormati sensitiviti dan keperluan pelbagai segmen masyarakat.
Kepatuhan peraturan dan standard kualiti
Syarikat perlu memastikan bahawa mereka sentiasa mematuhi peraturan dan standard kualiti yang ditetapkan oleh badan pengawal industri atau pihak berkuasa berkaitan.
Dengan mematuhi peraturan dan standard yang relevan, syarikat dapat memastikan produk mereka tidak hanya berkualiti tinggi tetapi juga memenuhi keperluan sensitiviti masyarakat.
Inovasi reka bentuk produk
Inovasi dalam reka bentuk produk memainkan peranan penting dalam memastikan penerimaan produk tanpa menyinggung sensitiviti masyarakat. Ia melibatkan penggunaan simbol-simbol universal, penyesuaian reka bentuk mengikut nilai budaya tempatan dan pengurangan penggunaan bahan yang mungkin menimbulkan risiko sensitiviti kaum tertentu.
Penyesuaian reka bentuk membolehkan produk menjadi lebih sesuai dengan keperluan pelbagai lapisan masyarakat. Dengan mengambil kira nilai-nilai budaya tempatan serta sensitiviti masyarakat, syarikat dapat memastikan produk mereka diterima dengan baik dan meminimumkan kemungkinan kontroversi atau ketidakpuasan dalam kalangan pengguna.
Audit kualiti terhadap vendor
Audit kualiti terhadap vendor memainkan peranan penting dalam menilai kebolehpercayaan vendor. Audit ini membolehkan syarikat menilai prestasi vendor dalam memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.
Dengan audit yang teliti, syarikat dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan vendor, serta mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan hubungan kerja sama.
Vendor yang berkualiti tinggi dapat membekalkan produk atau perkhidmatan yang memenuhi jangkaan, sementara audit membantu memastikan pematuhan piawaian dan standard kualiti. Ini membawa kepada hubungan kerja yang lebih kukuh dan kepuasan pelanggan yang lebih tinggi.
Penambahbaikan syarikat
Syarikat perlu melaksanakan penambahbaikan di tempat kerja untuk mengelakkan masalah berkaitan produk.
Langkah-langkah seperti meningkatkan latihan pekerja terhadap kualiti dan keselamatan produk, mempertingkatkan pemeriksaan kualiti di setiap peringkat pengeluaran, serta mewujudkan SOP yang ketat boleh membantu mengurangkan risiko kecacatan produk.
Meningkatkan jaminan kualiti adalah kunci untuk meningkatkan kualiti produk dan mengelakkan produk daripada menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk.
Dengan pendidikan yang baik, pemeriksaan kualiti yang berterusan, penggunaan bahan mentah berkualiti, ujian produk yang menyeluruh, komunikasi terbuka dengan pengguna dan pematuhan terhadap peraturan dan standard kualiti, syarikat tempatan dapat memastikan bahawa produk mereka tidak hanya berkualiti, tetapi juga selamat dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat majmuk.
Dengan demikian, ia tidak hanya memberi manfaat kepada syarikat dalam jangka pendek, tetapi juga membina kepercayaan dan kepuasan pengguna dalam jangka panjang. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.










