Lantang bersuara belum tentu hebat

Lantang bersuara belum tentu hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI manakah maruah bangsa kita jika adab dan adat sudah mula dipandang sepi? Ke manakah perginya rasa hormat dan sifat malu yang sepatutnya tersemat kemas dalam diri jika kita bercakap lepas sesedap hati, demi memuaskan diri sendiri?

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa. Budaya Melayu amat mementingkan ketinggian dan kehalusan budi pekerti. Bahasa dan bangsa itu tidak dijual beli. Itulah yang menjadi petunjuk asal usul keturunan diri.

Bangsa kita bangsa beradab dan beradat. Seelok mana pun rupa paras seseorang, namun jika buruk budi pekertinya, maka akan hina jugalah dirinya pada pandangan masyarakat. Justeru, kita dipesan agar mengelakkan perangai yang buruk, risaukan kalau-kalau nantinya ia menjadi tabiat.

Hilang adab, jatuhlah martabat. Ataupun, adakah kini nilai hidup masyarakat sudah terlalu jauh berubah sehinggakan yang dipandang tinggi hanyalah kedudukan dan pangkat?

Pesan orang tua, jangan bercermin di air keruh. Namun, kadang kala oleh kerana terpukau dek indahnya kerdipan lampu neon yang berwarna-warni di malam hari, air yang keruh itu yang disangkakan jernih.

Masalah adab tidak boleh dipandang ringan kerana ia sebahagian daripada prinsip dan identiti negara yang berpaksikan Islam, iaitu agama bagi negara seperti yang tertulis dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pentingnya adab dalam membentuk keperibadian bangsa dipertegaskan lagi melalui prinsip Rukun Negara, di mana kesopanan dan kesusilaan digariskan sebagai prinsip kelima Rukun Negara.

Maka seluruh rakyat yang mengaku setia kepada negara mesti menjaga adab dan budi pekerti. Kita tidak mahu suara-suara sumbang segelintir pihak yang tidak menghormati prinsip negara menjadi ikutan anak muda yang sedang tercari-cari identiti diri.

Apa yang kita ada, janganlah dirobek-robekkan demi satu harapan yang belum pasti baik buruknya. Sesuatu yang sudah jelas tidak elok untuk kita, janganlah cuba dilunakkan pula, kerana ia akan mencacatkan budaya bangsa.

Adat yang kawi, syarak yang lazim. Itulah prinsip hidup orang Melayu, di mana agama didahulukan dan adat Melayu diselarikan dengan hukum-hakam agama Islam.

Keperibadian Melayu berlandaskan keperibadian Islam. Ia meliputi keseluruhan aspek kehidupan. Agama dijunjung, adat dikelek. Adat memakai, syarak mengata.

Berilah contoh yang baik kepada generasi muda agar tahu menjaga adab dan tidak menjadi manusia yang tidak berbudi pekerti. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.

Bagi yang begitu walak kepada pemimpin, para pemimpin ibarat guru yang amat dihormati dan ditaati. Baik atau buruknya adab pemimpin, itulah contoh yang akan mereka turuti.

Justeru, para pemimpin politik yang menjadi idola penyokong mereka mempunyai pengaruh yang besar dan apa yang dilakukan akan menjadi teladan. Kasar bahasa mereka, itulah yang akan dijadikan ikutan.

Setiap patah kata-kata pemimpin dipercayai dengan sepenuh hati. Ia menjadi azimat dan dipanjang-panjangkan tanpa terdetik sedikit pun rasa sangsi di hati nurani. Semuanya diterima bulat-bulat dan tidak lagi perlu dikaji.

Ungkapan panas pasti membakar perasaan. Bergemalah sorakan dan bergemuruhlah tepukan. Lantas ia dipanjang-panjangkan tanpa perlu membuat pertimbangan.

Saban hari pelbagai kenyataan politik bertebaran di sana sini. Seolah-olah Pilihan Raya Umum (PRU) sudah menghampiri. Ucapan dibuat berapi-api, adab sopan ditolak ke tepi. Kadang kala semua perkara mahu dipolitikkan. Alasan mereka, kita semua ada hak dan kebebasan. Bebas berkata apa sahaja tanpa batasan.

Ramai yang tidak mengenal sejarah negara. Pelbagai versi cerita telah direka-reka sehingga ada yang berani menderhaka kepada Raja. Bercakap biarlah cermat, itu tandanya orang yang tertib dan teliti. Bercakap sesuka hati kelak boleh membakar diri sendiri.

Dalam memperkatakan hak kita, perlu juga kita menghormati hak pihak lain dan tidak bersikap beraja di mata, bersultan di hati. Pesan guru saya, jangan sekali-kali diruntuhkan rumah pusaka ini. Inilah satu-satunya tempat kita berteduh dan berlindung daripada panas dan hujan.

Marahkan pijat kelambu dibakar, tidur terdedah. Akhirnya, kita juga yang menggigit jari, menang sorak, kampung tergadai.

Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Kerakusan perebutan kuasa boleh memporak-perandakan dan menghancurkan negara kita. Akhirnya rakyat yang tidak berdosa akan menjadi mangsa.

Jangan dirosakkan lagi perpaduan rakyat dengan api perkauman. Jangan kerana tamakkan kuasa, rakyat diapi-apikan supaya bersengketa.

 

 

TUANKU Raja-Raja Melayulah menjadi sandaran harapan rakyat dalam suasana pergelutan politik yang tiada henti.

 

HORMAT
Kita sudah terlalu berpecah, malah dalam parti-parti yang sama pun semuanya berpuak-puak. Bagi rakyat yang cintakan kedamaian, kami tidak mahu perpaduan negara terus menerus diperjudikan.

Hormatilah undang-undang negara. Cabar-mencabar tidak akan memberi apa-apa faedah dan kebaikan kepada rakyat.

Kehebatan pemimpin bukanlah diukur daripada kelantangan suara mereka membuat tuntutan ataupun kehangatan isu sensasi yang mereka bongkarkan. Pemimpin dipilih untuk menjaga rakyat dan bukannya sekadar mencari salah pihak lawan.

Malangnya, itulah kenyataannya sekarang. Sehinggakan institusi diraja pun cuba diheret dalam perbalahan.

Kita kesal mendengar suara-suara sumbang ungkit-mengungkit perkara yang sudah jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan atau yang sengaja membuat tafsiran sendiri sebagai menyokong kenyataan sendiri.

Kedudukan institusi diraja lebih tinggi daripada politik. Dalam suasana pergelutan politik yang tiada hentinya, Tuanku Raja-Raja Melayulah menjadi sandaran harapan rakyat.

Rakyat tidak mahu krisis politik 2020 berulang kembali. Sudah terlalu banyak cabaran kita tempuhi sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14 lalu.

Semoga Ramadan yang bakal menjelang tiba akan menghentikan persengketaan dan membawa keberkatan kepada kita semua.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×