TERBAHARU, sepuluh hidangan disenaraikan sebagai makanan warisan, termasuklah bak kut teh yang penuh dengan kontroversi. Senarai terkini ini adalah tambahan kepada lebih 200 makanan dan minuman tempatan lain yang diwartakan semenjak dua dekad lalu.
Sehubungan kemasukan makanan Cina itu, ia bukan sahaja sangat memeranjat, juga pasti mengundang polemik sekali lagi untuk dilucutkan statusnya itu.
Dalam hal ini, bak kut teh dipercayai diangkat berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 untuk ikut wujud pada Perisytiharan Objek Warisan 2024 dalam Warta Kerajaan yang diumumkan oleh Jabatan Peguam Negara.
Hidangan itu dipercayai diangkat mengikut Bahagian 67 iaitu Pengisytiharan Warisan Kebangsaan pada Akta itu yang terdiri dari 126 Bahagian. Ia dipercayai antaranya disandarkan Bahagian 67(a), (b) (d), (f) dan (i), iaitu hubungannya dengan sejarah negara, ciptaannya yang asli, asas kebudayaan, prinsip kepelbagaian dan lain-lain yang ada kaitan dengannya.
Pemilihan bak kut teh itu mungkin tidak pun mengguna pakai Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang dilancarkan pada 2021 dan juga pelbagai pertimbangan lain untuk ikut dirujuki dalam membuat keputusan tentangnya yang kini ada versi halal.
Jika DAKEN ikut dirujuki, ia yang mengakui mengambil kira Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971, nama bak kut teh yang boleh mengelirukan antara versi tidak halalnya dengan yang halal, tidak mungkin diangkat.
Ini kerana DKK tidak sesekali membenarkan kemungkinan itu, berasaskan tiga matlamatnya iaitu teras kebudayaan negara ini haruslah budaya rakyat asal, yakni etnik Melayu, hanya unsur budaya lain yang sesuai dan wajar dengan budaya Melayu boleh diterima dan Islam sebagai unsur penting.
Walaupun mengakui mengambil kira DKK yang dikenali dengan tiga maklamat tegas itu, DAKEN bukanlah dasar budaya dalam erti kata sebenarnya. Ini dapat dilihat pada tiga matlamatnya untuk memupuk perpaduan kaum, memelihara keperibadian kebangsaan dan meningkat kualiti kehidupan dengan mengimbanginya dengan perkembangan sosioekonomi.
Dengan ini, DAKEN lebih berupa dasar sosial kerana mahu berbicara tentang perpaduan, identiti dan kehidupan yang sewajarnya adalah konsep dan entiti kemasyarakatan.
Prototaipnya, iaitu bentuk asalnya sebagai sup tulang babi, walaupun kini norma haram itu dihalalkan dengan menggunakan ayam, makanan laut dan seumpamanya, bak kut teh masih tetap mengelirukan.
Ini kerana ia tidak pun disebut versi halalnya secara nyata. Tindakan tidak menyebutnya dipercayai dibuat atas dasar perkataan bak daripada bahasa Cina Hokkien itu bererti daging secara amnya. Justeru, ia boleh ikut diguna pakai untuk daging lembu, kambing dan haiwan lain yang mahu digunakan untuk bak kut teh halal itu.
Walaupun begitu, bak dalam bahasa Cina Hokkien juga mempunyai makna khusus, iaitu daging babi sahaja. Dalam keadaan begini, kekeliruan pasti akan timbul kerana bak kut teh juga boleh merujuk kepada versi asalnya yang tidak halal.
Persoalannya ialah nama asalnya yang pasti menimbulkan kekeliruan kerana masih mengekalkan makna tidak halal itu. Selain bak kut teh, ci ceong fan yang ikut dipromosikan kepada khalayak bukan Cina dengan terus mengguna pakai nama asalnya yang bererti nasi usus babi, sempena bentuk makanan itu, waima halal, juga mengelirukan. Ini kerana dua makanan ini masih tidak halal dari segi namanya.
Sepatutnya bak kut teh tidak boleh diangkat lagi, memandangkan kontroversi tentangnya masih belum selesai. Ia hanya reda untuk seketika dan akan terus menjadi sengit, lebih-lebih lagi setelah sudah dijadikan makanan warisan negara.
Alasan bahawa ia hanya satu daripada sepuluh yang diangkat sebagai makanan warisan pada kali ini bukan sahaja tidak bernas, ia memperlihat pihak yang mengangkatnya itu langsung tidak memahami keadaan yang sebenarnya.
Natijahnya di sini ialah mengapakah perkara sesensitif ini kepada etnik Melayu selaku penduduk asal selain kelompok majoriti lagi dominan di negara ini, tidak difahami, malah tidak mahu langsung diendahkan oleh etnik bukan Melayu, khususnya Cina.
Tidak dapat dinafikan ia sengaja terus dilakukan atas dasar sama rata yang mahu dituntut itu atas nama kepelbagaian yang sebenarnya diselindungi oleh multikulturalisme.
Untuk keharmonian di sebuah negara yang tuan miliknya adalah etnik Melayu, adalah sangat adil untuk kita terus mengguna pakai DKK itu, yang bukan sahaja amat jelas haluannya untuk identiti nasional untuk negara ini.
Begitu juga dengan identiti budaya untuk rakyat yang harus berteraskan budaya Melayu.
Sebenarnya DAKEN 2021 hanya mengguna pakai nama DKK 1971 dalam penggubalannya untuk tujuan kesinambungan dan keabsahan sebagai dasar budaya kita. Ia langsung tidak mengangkat ketegasan DKK pada tiga matlamatnya itu.
Sebaliknya ia mengangkat prinsip kerangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh yang sangat umum sifatnya. Dengan demikian, ia didapati tidak mampu melestari, mengembang dan memerkasakan warisan budaya Melayu secara jitu dalam sebuah negara Melayu.
Bahagian 67 Akta Warisan Kebangsaan yang memberi kuasa kepada menteri untuk menimbangkan sesuatu itu sebagai warisan kebangsaan, sebenarnya masih tidak muktamad sepenuhnya dalam kes ini. Ia boleh dibantah secara bertulis kepada menteri untuk pembatalan dalam masa tiga bulan daripada tarikh penyiaran bak kut teh itu.
Sehubungan ini, menteri hendaklah mendengar nasihat Majlis Warisan Kebangsaan untuk membatalkannya sebagai keputusan yang betul-betul muktamad dan bukan sebaliknya untuk terus mengekalkannya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










