SELEPAS tamatnya Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), boleh dikatakan golongan bumiputera kurang mempunyai pemilikan ekuiti dalam syarikat bermodal tinggi.
Sebenarnya ekonomi bumiputera mampu meningkatkan daya nilai hasil tetapi disebabkan faktor-faktor tertentu yang menyebabkan keadaan sebaliknya berlaku. Kita perlu melihat kepada realiti dan kelebihan yang ada pada golongan bumiputera dengan tidak hanya berpandu kepada data semata-mata.
Keupayaan untuk membangunkan ekonomi golongan ini terbuka luas, cuma kaedah yang digunakan kerajaan hari ini kurang sesuai mengikut perubahan masa.
Golongan bumiputera mempunyai kelebihan dari segi manusia dan pendapatan. Cuma pendapatan mereka tidaklah sebesar dengan golongan bukan bumiputera. Namum masih boleh ditingkatkan dengan pusingan ekonomi kitaran. Inisiatif kerajaan tidak boleh difokuskan kepada satu arah tetapi perlu melibatkan hal dalam menguruskan masyarakat bumiputera sendiri.
Kerajaan perlu melihat pandangan baharu dalam memberdayakan ekonomi pemilikan ekuiti oleh golongan ini.
Pertama, jika diamati sebahagian besar golongan bumiputera adalah golongan M40 dan B40 yang mempunyai pendidikan sederhana. Keupayaan golongan tidak boleh dilihat dari segi konteks hari ini iaitu menyediakan peluang pekerjaan dan pendidikan yang berkualiti sahaja.
Kerajaan memerlukan satu tatakelola yang telus dan mempunyai kemampanan jangka waktu panjang. Ini amat penting dalam menyediakan satu generasi yang mempunyai minda keusahawanan dan inovasi modal insan. Matlamat ini perlu dilihat dengan memfokuskan kepada anak-anak golongan M40 dan B40.
Pembangunan pendidikan anak-anak golongan ini perlu dimartabatkan dengan bantuan syarikat-syarikat kerajaan. Usaha ini boleh dijayakan dengan dua perspektif iaitu ikatan biasiswa dan penyediaan latihan pendidikan.
Untuk menjayakan kedua-dua perspektif ini, anak-anak golongan ini yang cemerlang dalam pendidikan perlu diberikan peluang untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang tertentu ke luar negara yang mampu memberikan modal insan yang tinggi iaitu mempunyai keupayaan latihan pendidikan dalam bidang teknologi dan ilmu baharu selari dengan zaman revolusi industri 5.0.
Untuk menjayakan realiti ini, syarikat-syarikat kerajaan boleh menaja dengan ikatan biasiswa bagi lanjutan pendidikan dengan syarat berkhidmat kembali kepada tanah air selepas tamat pengajian.
Apabila anak-anak ini tamat belajar dan kembali berkhidmat di tanah air, mereka boleh memberikan timbal balas pemindahan ilmu dan teknologi yang dipelajari kepada anak-anak tempatan. Dengan cara ini, pemindahan ilmu dan teknologi secara tidak langsung berlaku dalam waktu yang singkat tanpa melibatkan syarikat asing negara.
Pada waktu yang sama, kerajaan perlu memberikan satu galakan peluang geran kepada golongan anak-anak ini untuk meneroka dalam bidang keusahawanan inovasi bagi membantu pembangunan negara. Lama-kelamaan golongan ini akan menjana pendapatan apabila berjaya mencipta nilai inovasi keusahawanan yang baharu dalam bidang tertentu.
Kedua, untuk jangka masa pendek, kerajaan perlu memberikan galakan peluang kepada golongan bumiputera terutama M40 dan T20 untuk melabur dalam syarikat kerajaan yang mempunyai potensi pembangunan keusahawanan.
Potensi pembangunan keusahawanan yang dimaksudkan ialah syarikat kerajaan perlu mengumpulkan syarikat-syarikat bumiputera dalam satu payung bagi menjanakan dana pelaburan dan meningkatkan hasil inovasi keusahawanan.
Dana pelaburan dalam situasi ini datang daripada pelaburan domestik dan bukannya dengan bantuan kerajaan mahupun pelaburan luar. Dana pelaburan domestik boleh diperoleh daripada golongan M40 dan T20 penduduk negara ini. Ini boleh dicapai dengan platform syarikat kerajaan yang secara telus tatakelola memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk melabur dalam payung yang disediakan.
Dana pelaburan ini perlu diberi insentif dan dilihat sebagai satu pusingan kitaran ekonomi. Ini bermakna masyarakat bukan sahaja menjadi pembeli dan pengguna tetapi juga melabur dalam syarikat bumiputera tersebut.
Selama ini, banyak syarikat bumiputera menghadapi masalah untuk mengembangkan syarikat mereka disebabkan kekurangan sumber dan dana pelaburan. Disebabkan itu, cadangan syarikat kerajaan memainkan peranan penting dalam mengumpulkan syarikat-syarikat bumiputera dalam satu payung platform amat penting supaya memudahkan syarikat bumiputera mendapatkan dana pelaburan tempatan.
Hasil pulangan kepada pelabur tempatan mestilah mengikut tatakelola yang betul dan tidak terlibat dengan penipuan. Situasi keadaan sebegini bukan sahaja dapat membina keyakinan kepada pelabur-pelabur tempatan daripada golongan M40 dan T20 tetapi pada masa sama membantu menjana pengembangan syarikat-syarikat bumiputera tempatan.
PLATFORM
Walaupun begitu, pada masa kini kita masih kekurangan sumber dan platform dalam memayung syarikat-syarikat yang mempunyai potensi pembangunan. Sebahagian syarikat-syarikat bumiputera amat bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan dana dan lain-lain bantuan untuk pengembangan syarikat mereka.
Kaedah pelaburan tempatan ini perlu dibezakan dengan koperasi. Apa yang penting adalah melibatkan masyarakat dalam pembangunan keusahawanan inovasi syarikat bumiputera dalam satu tempoh masa yang ditetapkan penanda aras. Libat urus masyarakat dari segi soal dana pelaburan tempatan sebenarnya membuka ruang bagi golongan M40 dan T20 untuk meningkatkan nilai pendapatan boleh guna mereka. Seterusnya menyumbangkan kepada pembangunan ekonomi negara secara tidak langsung.
Secara kesimpulannya kedua-dua kaedah ini iaitu pembangunan anak-anak golongan bumiputera dan libat urus masyarakat dalam dana pelaburan memperkukuhkan kedudukan golongan majoriti rakyat Malaysia dengan kendiri sedia ada.
Kerajaan hanya membantu dari segi dasar dan tatakelola yang telus untuk satu jangka masa yang panjang bagi menjayakan aspirasi peningkatan sosioekonomi kaum bumiputera di negara ini.-UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.










