SUDAH tiba masanya untuk rakyat Malaysia membuka minda dan memahami dengan jelas maksud sebenar terma masyarakat berintegriti. Secara lazimnya anggota masyarakat mudah mentafsir integriti dengan perbuatan atau amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Kita sempitkan tafsiran dan pemahaman pada ruang lingkup itu sahaja sehingga lupa banyak lagi ciri dan amalan lain yang mencerminkan budaya tidak berintegriti yang ada dalam diri masing-masing.
Kejujuran dan ketulusan adalah antara tafsiran jelas maksud integriti yang mencakupi sikap dan tingkah laku individu secara menyeluruh berkaitan keperibadian dan amalan hidup seharian, yakni tidak terbatas kepada skop rasuah semata-mata.
Justeru setiap seorang daripada kita perlu faham, hayati dan berusaha untuk elak dari amalan, sikap dan tingkah laku yang tidak berintegriti jika mahu membentuk dan mewujudkan sebuah masyarakat berintegriti dan negara bermaruah.
Jika kita mampu melahirkan masyarakat yang berintegriti sudah pasti isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan juga dapat dihindarkan sepenuhnya kerana masing-masing akan mengamalkan nilai-nilai kejujuran yang tinggi dan tidak berkompromi dalam soal etika dan moral. Tuntasnya integriti akan jadi panduan dan kompas kehidupan.
Maka perlu ada usaha bersepadu dari semua komponen anggota masyarakat untuk menjadikan integriti sebagai kompas kehidupan rakyat Malaysia merentasi soal agama, kaum dan juga jenis pekerjaan sama ada bekerja sendiri, penjawat awam mahupun swasta.
Secara umumnya antara faktor yang mempengaruhi nilai integriti seseorang individu ialah kelemahan proses pendidikan dan pembelajaran yang mencakupi soal kelemahan pegangan agama dan nilai-nilai murni, proses pembentukan diri sejak lahir yang tidak memberi penekanan kepada soal etika dan moral secara menyeluruh selain kelompangan dalam penerapan budaya berintegriti pada peringkat pendidikan formal baik di sekolah mahupun institusi pendidikan tinggi.
Selain itu pengaruh amalan dan budaya masyarakat setempat yang tidak sihat, pengaruh rakan sebaya yang tiada nilai kejujuran serta pelbagai pengalaman hidup yang pahit yang memberikan tekanan turut menjadi faktor penting yang mempengaruhi nilai integriti individu.
Hakikatnya, bukan mudah untuk membiasakan yang betul dan membetulkan yang salah apatah lagi jika amalan tidak berintegriti sudah menjadi suatu yang lumrah dalam kehidupan seharian kita sekian lama. Ironinya, bukan mudah untuk mengubah sikap dan tingkah laku dalam sekelip mata.
Namun kita tidak boleh berputus asa untuk terus melipatgandakan usaha bagi menjadikan integriti sebagai panduan dan kompas kehidupan seluruh rakyat negara ini supaya dapat memulihkan nama dan imej negara sekali gus tampil sebagai masyarakat bermaruah.
Perlu ada usaha untuk menyedarkan rakyat tentang amalan-amalan tidak betul dan tidak beretika yang ditafsirkan sebagai defisit integriti supaya anggota masyarakat lebih faham dan jelas.
Ini boleh dimulakan dengan menerangkan contoh-contoh mudah yang sememangnya menjadi amalan harian sebahagian anggota masyarakat kita selama ini yang mungkin tidak sedar bahawa ia satu perbuatan yang tidak berintegriti.
Misalnya, melanggar lampu isyarat merah termasuk ketika tiada kenderaan lain, menjual barangan pada harga yang tidak munasabah dek mahu meraih untung besar dengan segera, menyorok bekalan barangan asas untuk menaikkan harga, membuang sampah atau meludah di merata tempat serta meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga mengganggu aliran trafik adalah antara perbuatan tidak berintegriti dan mementingkan diri yang dilakukan oleh sebahagian daripada kita pada setiap hari.
Sedarkan masyarakat bahawa ini adalah perbuatan yang salah, tidak jujur dan dengan jelas mencerminkan diri kita tidak berintegriti. Malah perbuatan seperti ini juga boleh mencetuskan pelbagai kesan lain termasuk mencetuskan rasa marah dalam kalangan orang lain yang menjadi mangsa keadaan.
Justeru, setiap komponen masyarakat perlu memainkan peranan dan memikul tanggungjawab untuk melaksanakan usaha bagi melahirkan warganegara yang berintegriti. Tiada gunanya kerajaan dan pihak berkuasa menyediakan pelbagai pelan perancangan serta penguatkuasaan andai tiada sokongan menyeluruh dari anggota masyarakat.
Misalnya, ibu bapa wajar memikul amanah untuk menerapkan nilai-nilai murni mencakupi soal kejujuran dan ketulusan dalam diri setiap anak sejak mereka kecil lagi. Ini boleh dilakukan melalui ajaran tidak formal di rumah dengan menjadi suri teladan yakni menunjukkan tingkah laku yang baik dan betul di hadapan anak supaya menjadi ikutan mereka kelak. Misalnya tingkah laku yang biasa dibuat seperti melanggar peraturan jalan raya atau membuang sampah dari kenderaan perlu dielakkan, sebaliknya didik anak untuk mematuhi peraturan sepanjang masa walaupun tidak dipantau oleh orang lain.
Selain itu, pastikan anak-anak diberikan didikan agama yang formal secara betul dan secukupnya kerana semua agama mengajar kita untuk membuat kebaikan dan sentiasa berlaku jujur. Peranan ibu bapa ini mampu membentuk karakter dan keperibadian yang mulia sekali gus membantu melahirkan generasi masa depan yang bermaruah dan berintegriti.
Diharap pihak kerajaan dapat tingkatkan usaha untuk mempromosikan gaya hidup yang jujur dan amanah dalam kalangan rakyat melalui pelbagai media yang ada seperti media cetak, elektronik dan platform media sosial. Ini termasuklah bertindak tegas untuk menyekat dan menapis kandungan yang tidak bermoral dan beretika dalam media sosial kerana dilihat mudah mempengaruhi generasi muda sekali gus boleh menyumbang kepada kelahiran generasi tidak berintegriti.
Anggota masyarakat juga perlu dididik dan disedarkan betapa berdiam diri dan tidak membuat laporan jika berlaku sebarang kesalahan di sekeliling kita adalah satu sikap yang tidak berintegriti. Misalnya, walaupun kita seorang yang berintegriti dan tegas menolak rasuah, namun adakah kita berani melaporkan sogokan rasuah tersebut kepada pihak berkuasa? Sebagai warganegara yang berintegriti, tindakan kita tidak boleh berhenti setakat menolak tetapi perlu membuat laporan supaya budaya menyogok ini dapat dibanteras sepenuhnya.
Melahirkan masyarakat berintegriti bukan tugas mudah kerana masih ramai yang kurang faham maksud sebenar integriti sehingga pada setiap hari terus terjebak dalam pelbagai aktiviti atau tingkah laku tidak berintegriti.
Justeru, semua pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan usaha secara bersepadu bagi membantu melahirkan masyarakat berintegriti dan bermaruah. Tuntasnya, integriti perlu dijadikan kompas kehidupan setiap warganegara yang bertanggungjawab. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM).










