ISNIN lalu berlangsung satu sidang media bersama antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau ke Jerman.
Antara perkara utama yang dibangkitkan oleh Olaf ialah mengenai pendirian Jerman ke atas Israel. Scholz dengan panjang lebar berkata: “Saya baharu sahaja menyatakannya dan ingin mengulanginya lagi, kedudukan Jerman adalah jelas. Israel mempunyai setiap hak untuk mempertahankan diri daripada serangan pengganas Hamas. Dan kami sentiasa menyatakannya dengan jelas dalam beberapa hari, minggu dan bulan yang lalu dan ia tetap sama. Israel juga boleh bergantung pada ini.
“Sekali lagi, apa yang telah saya katakan sebelum ini, Jerman mempunyai hubungan baik dan istimewa dengan Israel. Ini sangat penting bagi kami dan itulah sebabnya Israel boleh bergantung kepada kami. Kami mempunyai pendirian yang jelas tentang apa yang diperlukan sekarang. Ini termasuk pembebasan tebusan.
“Ini termasuk bantuan kemanusiaan. Termasuk perspektif penyelesaian dua negara dan bagi kami ini juga penting. Kami sangat menyokong penubuhan negara Israel dan sepanjang garis ini politik di Jerman akan terus berkembang.”
Kenyataan Olaf mengenai sokongan Jerman ke atas Israel ini bagaimanapun segera dijawab secara spontan oleh Anwar yang berkata: “Anda tidak boleh mencari penyelesaian dengan menjadi berat sebelah, dengan hanya mempertimbangkan satu isu tertentu dan menghapuskan 60 tahun kezaliman. Penyelesaian bukan hanya melepaskan tebusan.
“Bagaimana dengan penempatan? Bagaimana dengan tingkah laku pendatang yang berlaku setiap hari? Bagaimana dengan pengusiran mereka, tanah mereka, hak mereka, martabat mereka, lelaki mereka, wanita mereka, kanak-kanak mereka? Adakah ini tidak menjadi kebimbangan? Di mana kita melemparkan kemanusiaan kita? Mengapa hipokrisi ini?
“Mengapa sikap yang berpilih dan bercanggah terhadap satu bangsa dan satu lagi? Adakah kerana mereka berkulit warna atau kerana mereka mempunyai agama yang berbeza? Tetapi saya tentu tidak boleh menerima hakikat bahawa apabila anda membincangkan isu kita hanya membincangkan satu insiden tertentu dan satu mangsa, melupakan ribuan mangsa daripada Nakba 1947-1948.”
Sejak beberapa hari lalu tular video pendek yang memaparkan sanggahan Anwar terhadap pendirian Jerman mengenai Israel dengan pelbagai tajuk seperti Perdana Menteri Malaysia berhadapan dengan Canselor Jerman berkenaan dengan Palestin dan sebagainya.
Menariknya, ramai sekali pemerhati politik dan pengamal media antarabangsa tanpa mengira kaum dan agama teruja dengan keberanian Anwar bersuara dengan begitu lantang dan petah sekali di hadapan sebuah negara maju yang kuat menyokong Israel.
Video yang dikongsi oleh Arnaud Bertrand, dengan kapsyen berbunyi: “Ini merupakan tontonan wajib yang sangat memuaskan. Teguran luar biasa terhadap Scholtz oleh Perdana Menteri Malaysia, sambil berdiri tepat di sebelahnya.” Ia mendapat 2.4 juta tontonan.
Video yang dikongsi oleh Bruno Maçães, dengan kapsyen berbunyi: “Pertikaian mengejutkan di Berlin antara Scholz dan Anwar Ibrahim. Kita hidup di dunia baharu. Jerman tidak mendapat mesej itu. Perbezaan dalam kebolehan berucap di depan awam juga menonjol.” Video ini mendapat 1.7 juta tontonan.
Video yang dikongsi oleh Mehdi Hasan, dengan kapsyen berbunyi: “Kita telah sampai pada titik di mana Perdana Menteri Malaysia dan bukan pemimpin Eropah atau Barat, kini bercakap bagi majoriti penduduk dunia.” Ia mendapat 1.3 juta tontonan.
Video yang dikongsi oleh MediasetS1, dengan kapsyen: “Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, tidak lagi tahan mendengar karut-marut dari Scholz, meluahkan ‘jeritan dari hati’.” Ia pula mendapat 828,800 tontonan.
Antara komentar menarik lain yang diberi mengenai ucapan Anwar ini ialah oleh Andy Wheatley yang berkata: “Ini merupakan bantahan yang bijak terhadap retorik satu pihak yang sering berlaku dalam tragedi Palestin dan Israel.”
Selainnya ialah satu lagi komentar oleh James Richard Walker yang berbunyi: “Kritikan cemerlang terhadap pandangan ‘pilih kasih’ Kerajaan Jerman mengenai konflik Israel-Palestin, daripada Perdana Menteri Malaysia.”
Kesemua pemberi pandangan ini adalah individu yang berpengaruh dalam lingkungan persekitaran kerja dan hidup mereka yang mana pandangan amat positif mereka ke atas Anwar pastinya akan dikongsi oleh para pengikut mereka dan baik sekali untuk Malaysia.
KERJASAMA RAPAT
Lebih penting lagi, Anwar hanya menunjukkan ketegasan tetapi tidak menampakkan sebarang tanda permusuhan dengan negara Jerman malah sejak 2000 sehingga sekarang Jerman adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU).
Dalam ucapan terbaru bertajuk Eropah dan Selatan Global: Penyatuan Semula Visi dan Nilai di Korber Stiftung, Berlin, Anwar mengajak negara-negara Eropah bekerjasama lebih rapat dengan negara-negara selatan seperti Malaysia.
Anwar menyatakan dalam ucapan ini: “Eropah dan Selatan Global memerlukan strategi yang bersatu padu untuk membentuk semula multilateralisme untuk kepentingan bersama. Kita perlu mencari jalan ke hadapan untuk menangani defisit demokrasi dalam forum multilateral tradisional. Kita perlu berbincang satu sama lain, bukan pada satu sama lain.”
Pada akhirnya, Anwar juga menyebut daripada dirantai oleh pemikiran yang tertutup dan kecenderungan kepada prasangka, beliau percaya bahawa pemimpin, di Selatan Global dan Eropah, mempunyai tanggungjawab moral untuk memupuk perbincangan yang sihat dan bertenaga tentang apa yang benar-benar penting bagi mereka sebagai manusia.
Meneliti semua ini, rakyat Malaysia perlu berbangga dengan pengiktirafan masyarakat antarabangsa ke atas keberanian dan kepetahan serta kemampanan pentadbiran dan polisi luar negara yang diguna pakai oleh Anwar.
Kita mengharapkan agar dengan desakan berterusan Anwar dan pemimpin dunia lain maka kezaliman Israel akan lebih cepat berakhir.-UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.










