Antara ‘semak perut’ dan rambang mata

Antara ‘semak perut’ dan rambang mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INI kuih ke apa? Macam pemadam pensil si Adam je. Kecil macam ini RM4! Nampak dalam gambar besar. Sekali bila beli, empat ketul tu tak sampai pun sebesar tapak tangan,” kata seorang kawan yang menunjukkan gambar kuih tersebut dalam grup WhatsApp.

Dia membeli kuih talam yang cantik dan berwarna-warni itu melalui aplikasi p-hailing. Letih dan malas untuk berpusu-pusu ke bazar Ramadan. Jadi, dia pesan saja.

“Kalau malas masak, pergi beli sendirilah. Atau pergi bazar. Harunglah orang ramai dan cuaca panas tu,” kata seorang lagi rakan.

Saya pula menyampuk: “Hang masaklah. Jangan banyak komplen. Hari-hari dok tayang macam-macam resipi di FB. Bila tahun nak buatnya?”

Memang membeli melalui p-hailing harga makanan tak sama dengan yang dibeli sendiri. Dengan caj pihak pengendali dan penghantaran, adakalanya kita kena bayar lebih RM10 untuk satu makanan.

Tetapi makanan di bazar Ramadan pun bukan murah sangat sekarang. Setiap tahun harga makanan naik, tidak ada yang turun.

Tinjauan oleh akhbar ini, di hari pertama puasa harga makanan naik 10 hingga 20 peratus di bazar. Begitu juga dengan minuman. Bazar Rahmah pun harga tak berapa nak Rahmah.

Malah harga makanan yang sama, berubah harga menjadi lebih mahal pula semasa Ramadan.

Peniaga memberi alasan terpaksa naikkan harga kerana bahan-bahan mentah naik harga. Siapa mahu rugi meniaga? Tak akan mahu dapat penat saja?

Pun begitu, dalam banyak rungutan kualiti makanan tak setahap harga, kuih kejung, cepat basi, karipap isi angin, saiz kecil dan ‘asalkan buat’, bazar Ramadan tetap penuh setiap kali Ramadan.

Dalam kata ‘semak perut’ dengan harga mahal, bazar Ramadan tetap sesak walaupun cuaca panas berdenting.

Walhal, kita ini punya pilihan untuk membeli atau tidak. Jangan sebab rambang mata kerana perut yang berbunyi, semua nampak sedap sedangkan duit tidak berapa nak ada.

Ada orang perbelanjaan makan di bulan Ramadan ini melebihi bulan-bulan lain. Walhal bulan lain ada sarapan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam. Tetapi di bulan Ramadan dengan sekali makan saja, kosnya mengalahkan tiga atau empat kali makan dalam sehari.

Dan bulan puasa yang sepatutnya menjadikan perut kita sihat diisi pula dengan makanan-makanan yang manis termasuk terikut-ikut dengan makanan viral seperti makan kurma dengan butter yang boleh menambah lagi kolestrol.

Ramai mengakui terkesan dengan kenaikan harga makanan, barangan dan perkhidmatan, lebih-lebih lagi baru ‘berhabis’ dengan persediaan anak-anak ke sekolah minggu ini. Tidak lama lagi pula mahu menyambut Aidilfitri.

Tengoklah dalam kata duit tak ada, gaji kecil, harga barangan mahal, ada yang sanggup beratur panjang-panjang selepas subuh untuk beli baju Melayu atau baju kurung viral nanti.

Hakikatnya, Ramadan adalah bulan memperbanyakkan ibadah dan mengejar pahala. Peluang besar sebulan dalam setahun inilah yang sepatutnya diisi.

Bukan bulan untuk bersidai di pusat beli-belah dan berhabis duit. Ini tidak, puasa baru berapa hari ramai yang dah buat ‘countdown’ raya dalam media sosial. Macam budak-budak. – UTUSAN

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN