Sokongan transisi individu autisme ke alam dewasa

Sokongan transisi individu autisme ke alam dewasa

SEORANG kanak-kanak autisme dilatih dengan kemahiran kehidupan seharian agar beliau mampu berdikari bila menginjak ke alam dewasa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRANSISI individu dengan autisme ke alam dewasa merupakan satu cabaran yang memerlukan sokongan dan perhatian daripada semua pihak. Selain daripada kerajaan dan badan NGO, sokongan daripada keluarga, rakan dan komuniti adalah sangat penting.
Autisme adalah gangguan perkembangan saraf otak yang mempengaruhi kebolehan seseorang individu untuk berkomunikasi, berinteraksi sosial dan mempunyai tingkah laku yang baik dan terkawal.

Jangka hayat individu dengan autisme adalah sama dengan orang biasa. Jadi, kesedaran mengenai autisme amat penting agar masyarakat dapat memahami individu dengan autisme dan bekerjasama dalam menyokong transisi mereka ke alam dewasa.
Setiap individu dengan autisme adalah unik. Walaupun mempunyai jantina dan umur yang sama, tidak ada dua orang dengan autisme yang serupa cirinya kerana spektrum mereka sememangnya berbeza.

Oleh itu, pendekatan berpusatkan individu amat digalakkan dalam menyokong perkembangan kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku mereka. Program intervensi awal memainkan peranan penting dalam menggalak perkembangan kemahiran ini. Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak dengan autisme digalakkan mendapatkan intervensi awal secepat mungkin. Selain itu, ibu bapa di Malaysia juga harus peka sekiranya anak-anak mereka mempunyai ciri-ciri autisme, mereka perlulah berjumpa dengan doktor pakar untuk mendapatkan pengesahan diagnosis yang membolehkan program intervensi awal dapat dijalankan secepat mungkin.

Program intervensi awal amat penting dalam menyediakan kemahiran-kemahiran asas ini kepada individu dengan autisme untuk ke alam persekolahan. Program intervensi awal boleh didapati di hospital-hospital kerajaan, klinik-klinik kesihatan, badan NGO seperti National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan pusat-pusat intervensi swasta.

Dalam konteks pendidikan pula, individu dengan autisme sering menghadapi cabaran dalam persekitaran pembelajaran tradisional. Oleh itu, pendekatan pendidikan inklusif yang menggabungkan kaedah pengajaran khusus dan sokongan secara individu lebih efektif digunakan kepada individu dengan autisme.

Ini termasuk penggunaan teknologi bantuan, strategi pengajaran visual dan pengurusan tingkah laku positif untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka. Antara intervensi yang melibatkan teknologi bantuan untuk individu dengan autisme adalah pemodelan video, robotik dan realiti visual.

Kerajaan Malaysia amat peka dengan hak individu dengan autisme untuk mendapatkan pendidikan formal dengan menyediakan sekolah-sekolah pendidikan khas dan inklusif kepada golongan ini di seluruh negara.

Menginjak ke alam dewasa, latihan kemahiran kehidupan seharian adalah kritikal dalam mempersiapkan individu dengan autisme untuk berdikari. Ini termasuk kemahiran pengurusan diri dan kemahiran komunikasi sosial. Latihan kemahiran ini harus dirancang untuk meningkatkan keupayaan dalam mengurus kehidupan seharian, termasuk pengurusan kewangan, kesihatan dan pembelajaran mereka.

Selain daripada ahli terapi profesional, ibu bapa berperanan penting dalam meningkatkan kemahiran kehidupan seharian anak-anak dengan autisme di rumah. Terapi yang diajar oleh ahli terapi profesional perlulah diterapkan dan diteruskan di rumah agar individu dengan autisme dapat mempelajari dan mengekalkan kemahiran tersebut dengan lebih cepat.

Individu autisme mampu untuk bekerja sekiranya mereka dilatih seawal mungkin dan secara berterusan. Kemampuan individu dengan autisme untuk bekerja bergantung kepada kebolehan kognitif, menguruskan diri, berinteraksi dan tingkah laku adaptif.

Program latihan vokasional sesuai untuk individu dengan autisme yang mempunyai simptom yang sederhana dan teruk sekiranya dilatih dengan baik. Dalam memastikan mereka mampu bekerja, sokongan pekerjaan perlu diberikan oleh ahli profesional seperti ahli terapi cara kerja dan juga majikan.

Banyak individu dengan autisme mempunyai kebolehan dan minat yang boleh dimanfaatkan di tempat kerja. Namun, mereka sering menghadapi halangan dalam mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan kerana kurangnya sokongan daripada pelbagai pihak. Oleh itu, program latihan vokasional dan kerjasama dengan majikan untuk mencipta peluang pekerjaan yang sesuai kepada individu dengan autisme adalah penting. Ini termasuk penyediaan latihan kerja, penyesuaian tempat kerja dan sokongan berterusan di tempat kerja.

Masyarakat tidak sewajarnya mempunyai stigma dan perlu bersikap lebih menerima kepada individu dengan autisme. Masyarakat perlu dididik mengenai autisme dan bagaimana untuk menyokong individu dengan kondisi ini.

Ini termasuk kempen kesedaran, pendidikan awam dan kerjasama dengan organisasi yang mewakili individu dengan autisme seperti NASOM. Selain itu, program mentor dan sokongan rakan sebaya sangat berharga dalam membantu individu dengan autisme mengembangkan kemahiran sosial dan interaksi mereka dalam masyarakat madani di Malaysia.

Program pemindahan ilmu kepada ibu bapa, penjaga dan masyarakat penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme di Malaysia.

Bagi menyokong transisi individu dengan autisme ke alam dewasa memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pendidikan inklusif, latihan kemahiran kehidupan seharian, sokongan pekerjaan, sokongan sosial dan emosi serta advokasi dan kesedaran masyarakat.
Dengan pendekatan yang tepat, individu dengan autisme boleh menjalani kehidupan yang produktif dan lebih berkualiti sebagai anggota masyarakat majmuk di Malaysia. – UTUSAN

DR. Ahmad Zamir Che Daud ialah pensyarah di Pusat Pengajian Pemulihan Carakerja, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN