ISTILAH bahasa jiwa bangsa dilihat tidak begitu praktikal susulan peredaran zaman yang lebih mengagungkan bahasa antarabangsa.
Dikala masyarakat kita berbangga dengan bahasa Inggeris, mereka semakin lupa tentang bahasa ibunda yang melambangkan identiti bangsa mereka.
Kini, sedikit demi sedikit bahasa ibunda atau bahasa etnik semakin diancam kepupusan. Jika tiada usaha diambil bagi memelihara bahasa etnik, tidak mustahil bahasa itu akan hilang ditelan zaman.
Itu sebabnya sehingga sekarang pertandingan Ratu Cantik Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan masih meletakkan syarat untuk peserta menjawab soalan dalam bahasa Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Kepupusan bahasa melahirkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Sabah yang mahu melihat bahasa kaum etnik itu terus dipelihara dan diguna pakai dalam kehidupan seharian, terutama dalam kalangan anak muda.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick antara salah seorang pemimpin tempatan yang mahu penggunaan bahasa etnik seperti bahasa Kadazandusun (BKD) terus dipraktikkan oleh masyarakat agar bahasa itu tidak pupus.
“Saya seorang yang konsisten mendukung agar rakyat di negara ini mampu menguasi tiga bahasa iaitu bahasa kebangsaan, bahasa ibunda atau etnik dan bahasa antarabangsa.
“Pada saya, bahasa etnik seperti Kadazandusun bukan sekadar pilihan sebaliknya, ia harus menjadi kewajipan yang harus diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Bermula dari rumah hingga ke peringkat institusi pendidikan masing-masing mempunyai peranan dalam memastikan anak-anak muda terus menggunakan bahasa etnik seperti BKD.
Tanpa dukungan institusi pendidikan, tidak mungkin bahasa etnik boleh dipertahankan. Jika dilihat pada masa ini, masih banyak bahasa etnik yang belum dimasukkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, sekiranya situasi sebegini berterusan, dikhuatiri bahasa itu diancam kepupusan. Jadi, langkah terbaik memastikan kelangsungan bahasa adalah dengan memasukkannya dalam sistem pendidikan.
“Sebagai seorang anggota Jemaah Menteri Persekutuan, saya melihat pembangunan bahasa etnik itu sebagai satu keperluan mustahak.
“Kerajaan Madani akan terus mempertahankan pengajian bahasa etnik sedia ada bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.
“Bahasa Kadazandusun sendiri telah diperkenalkan di sekolah-sekolah rendah di Sabah sejak 1990-an dan sekarang apabila BKD diangkat sebagai subjek major di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), ia jelas membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menjamin kelangsungan BKD,” katanya.
DUKUNGAN
Malah katanya, masih ada persatuan-persatuan yang memerlukan dukungan kerajaan bagi menjadikan bahasa etnik sebagai silibus alternatif di sekolah-sekolah dan perjuangan ini berterusan sehingga sekarang.
Di samping itu, kerajaan juga harus menyediakan dana bagi membantu persatuan-persatuan etnik di negara ini membuka tadika atau memperkenal bahasa etnik agar boleh diajar di tadika atau prasekolah.
Persatuan-persatuan harus mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pembelajaran secara digital termasuk membuat kamus yang boleh diakses secara digital untuk dijadikan rujukan oleh masyarakat.
“Pada tahun lepas, saya turut menyalurkan peruntukan daripada kementerian bagi membantu beberapa persatuan etnik di Sabah untuk memulakan tadika atau memperkenalkan pembelajaran bahasa etnik di tadika.
“Selagi saya berada dalam Kabinet Persekutuan, saya akan gunakan apa sahaja cara untuk membantu persatuan-persatuan etnik untuk memperkasa warisan bahasa mereka,” katanya.
Menurut Ewon, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak menggunakan istilah baharu yang tidak pernah didengar sebelum ini. Itu menandakan masih banyak istilah dalam bahasa Melayu yang belum dikenali dan dikuasai.
Jika bahasa Melayu itu sendiri banyak istilah yang jarang didengar apatah lagi bahasa ibunda, sudah tentu banyak istilah yang perlu dikembangkan.
Maka, usaha mempertahankan bahasa etnik perlu diteruskan agar dalam tempoh 60 tahun akan datang, Malaysia masih boleh dikenali sebagai negara pelbagai kaum yang berjaya memelihara adat warisan, budaya dan bahasanya.-UTUSAN










