Pertahan dunia akademia dari buli buta

Pertahan dunia akademia dari buli buta

MEMBULI secara terancang menzalimi pelbagai aspek dan prinsip akademia berunsur kerangka penjajahan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBULIAN atau pun penderaan yang sering didengari selalunya berkisar di pekarangan sekolah melibatkan budak lasak dan nakal dalam belasan tahun. Ia sudah menjadi masalah sehingga dikatakan dapat mencacatkan proses pendidikan. Pelbagai langkah disarankan, namun tewas.

Buli juga pernah terkait dengan para professional lain, apabila yang muda dan baru masuk kerja atau latihan didera oleh yang lebih kanan dan berpengalaman. Sehingga ada laporan membunuh diri. Atau tertekan perasaan lantas menjejas perkhidmatan dan urusan yang ditawarkan.

Sama ada ini sudah terhapus masih kurang pasti memandangkan berbagai tekanan yang kini mendesak perkhidmatan professional kerana berbagai kemelut sosio-ekonomi semasa. Perlakuan burnout serta ancaman kesihatan mental tidak lagi dianggap baharu, tetapi menjadi kelaziman dalam banyak hal yang dahulu dikira janggal dan terpencil.

Dalam dunia akademia seantero, kejanggalan dirai sebagai inovasi atau keunikan positif. Satu-saiz-untuk-semua (1SUS) bukanlah landasan untuk ke hadapan di mana idea baru, bernas dan berani (3B) mengatasi kemalasan berfikir sehingga kaku, keliru dan kantoi (3K).

Yakni, idea bertunjangkan 3B mengatasi budaya takut anjuran 1SUS. Yang engkar nanti dihukum tanpa usul periksa menjadikan akademia tanah perkuburan idea paling subur angkara 3K.

Sebab itu jugalah dunia akademik wajar berpaksikan 3B bagi mengungkapkan lagi dua B – bebas tetapi bertanggungjawab. Berbeza dengan 3K yang membawa kepada dua lagi K, kurap dan korup!

Tuntutan ini jelas kepada para cendekiawan yang tulen dan beramanah kental, bukan yang hidup mencari makan menurut 5K. Socrates mungkin merupakan teladan utama dalam hal ini apabila terpaksa meminum racun Hemlock, tatkala beliau mempertahankan prinsip pegangannya.

Beliau boleh dikatakan antara mangsa pembulian akademik terawal. Membayangkan taktik berpaut 1SUS penanda kemuflisan idea demi membolot kuasa.

Seteru Socrates terlupa yang jasad boleh dibunuh tetapi tidak bagi idea yang bakal terus hidup berkumandangan sehingga hari ini. Sebaliknya, mampu merobohkan empayar yang menzalimi beliau. Seorang wira ilmu, bukan dayus!

Terbaharu dapat ini dikesan pada banyak universiti berkelas dunia kononnya. Ia merupakan satu kejutan kerana sehingga dini hari semua memujanya penuh taksub.

Perawi 5K yang sering memegang tampuk kuasa gemar menganjurkan pandangan tersebut melalui resipi berfikiran cetek. Maka terbukalah pekung Universiti Harvard yang selama ini disorokkan atas dasar 1SUS acuan mereka sendiri.

VERITAS

Anehnya, slogannya Veritas (Latin bermaksud kebenaran) tiba-tiba menjelma sebagai kemunafikan akademia yang tidak pernah dipertikaikan langsung sepanjang hampir 400 tahun penubuhannya. Tersingkap selepas Oktober 7 lalu dengan tercetusnya ‘pembunuhan beramai-ramai’ oleh Israel di Gaza hampir empat bulan lamanya.

Tidak semena-mena presiden Universiti Harvard disasar meletakkan jawatan atas dakwaan tidak cukup melindungi kepentingan Israel dikampusnya. Desakan ini didalangi puak politik konservatif Amerika Syarikat ala 5K.

Namun gagal kerana sokongan bernas dan berani lembaga universiti ketika itu bersetuju mempertahankan kedudukan presidennya, lantikan terbaharu mulai Januari tahun 2024.

Masih ia tidak berakhir juga kerana seteru hasad tidak berpuas hati, lantas menukar langkah membawa tohmahan plagiat atau meniru pula. Dikatakan semasa beliau belajar di Harvard berdekad-dekad lalu.

Memaksanya mengeruk peristiwa lampau bagi melincirkan hujah muflis mereka untuk menang tidak kira bagaimana jua pun. Cara menghalalkan matlamat!

Oleh sebab bukti masih belum cukup kukuh, doyok-doyok 5K membuat ancaman lain termasuk sekatan kewangan bagi melumpuhkan fungsi dan pentadbiran seterunya. Wang menjadi senjata mengganti ketandusan idea, tidak beda dengan politik wang untuk membeli pengaruh.

Maka presiden berkenaan dipaksa juga meletakkan jawatan menzahirkan satu jangka terpendek dalam sejarah universiti. Apalagi sebagai presiden wanita kedua dan yang berkulit hitam pertama sebagai presiden Universiti Harvard. Sekali gus keputusan lembaga universiti menyokong sebelum ini terbatal atas nama kumpulan berniat politik kotor.

Ini terus membuka ruang mencaci dan mengambil kesempatan membuli lagi. Kali ini, dasar semak dan imbang melalui prinsip kepelbagaian, kesamarataan serta keterangkuman atau DEI (diversity, equity, inclusion) dicurigai dan dicemuh selepas berdekad diamali dalam menentukan ketenteraman dan kesaksamaan antara anggota masyarakat di kampus Harvard.

Malah mereka menuntut sebaliknya, yakni menganggap DEI berbentuk perkauman yang merugikan kaum kulit putih termasuk keturunan berasal dari Israel.

Mereka mahukan calon yang sebulu melalui taktik membuli bagi mencapai maksud jahat itu. Lantas, pejuang hak asasi berkulit hitam mengutuk langkah penyelewengan DEI yang membelakangkan tujuan asal serta niat murni dipersetujui begitu lama.

Apa pun pembulian dipacu terus, kali ini mempengaruhi para perniagaan jenama terbesar untuk mengubah dasar terhadap DEI selari dengan pandangan perkauman politik mereka.

Dilaporkan kini ramai telah bertukar haluan termasuk Elon Musk yang dikatakan akan membekal sistem rangkaian Starlink untuk Malaysia, selain ura-ura membawa masuk kereta Tesla untuk pasaran tempatan.

Soalannya adakah Malaysia kelak turut terseret dalam polemik perkauman DEI? Atau secara halus termakan dengan hujah sempit pro-Israel mahu tidak mahu angkara membuli selari dengan taktik 1SUS yang sudah pun ditolak oleh mantan Menteri Pendidikan Tinggi.

Khususnya dalam merungkaikan prestasi universiti dengan penarafan yang telah pun disanggah dalam satu laporan rasmi Universiti PBB lewat bulan lalu.

Sembilan sebab sekurang-kurangnya dikemukakan sebagai satu proses kritikan keras yang jika diabaikan akan menyuburkan lagi kesan 5K dalam melebarkan lagi pembulian dunia akademia sejagat.

Jika Harvard bercogan Veritas turut menggadai kebenaran ekoran dibuli bulat-bulat, bagaimana pula dengan universiti nyamuk yang hidupnya bergantung atas darah pihak lain, sama ada cara terbuka atau curi-curi melalui paksaan itu dan ini.

Membuli secara terancang menzalimi berbagai aspek dan prinsip akademia berunsur kerangka penjajahan.

Apatah lagi bersandarkan keputusan para hakim teramai di Mahkamah Pengadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari 26 menekankan membudayakan amalan 5B menangkis kejumudan 1SUS bagi menyerlahkan lagi aura serta iltizam akademia tulen: bukan umpama lalang.

Kuasa idea tetap mengatasi kewibawaan kontang. Yakni tiada ruang membuli bagi kelompok kemaruk kuasa secara paksaan baik berkelas dunia sekalipun. – UTUSAN

Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN