PENSYARAH adalah manusia dan bukannya mesin. Itulah antara kenyataan Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Dr. Ahmad Ismail yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 8 Januari 2024.
Masyarakat sering mempunyai pandangan terhadap beban tugas pensyarah hanya mengajar, menanda kertas jawapan pelajar dan mudah kerana mempunyai jadual kerja fleksibel.
Hakikatnya, skop kerja pensyarah itu sangat luas ruang lingkupnya. Sehingga ada masanya pensyarah terpaksa melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa. Umpamanya mengajar dan membuat kajian, mengajar, menulis dan menghadiri mesyuarat dalam satu hari.
Meskipun kebanyakan universiti melaksanakan waktu bertugas fleksibel, pensyarah tidak semestinya masuk ke pejabat jam lapan pagi tetapi pensyarah masih terikat dengan amanah tugas pensyarah (ATP) minimum 39 jam seminggu.
Realitinya, pensyarah sebenarnya bekerja melebihi 39 jam seminggu kerana tuntutan kerja selain pengajaran dan pembelajaran mendesak akademia bekerja melebihi lapan jam sehari. Kerja hakiki pensyarah adalah pengajaran dan pembelajaran.
Namun mengikut peredaran dan pembangunan sektor pendidikan, tugas pensyarah telah diperkembangkan dengan memberikan arahan tugas baharu seperti penyeliaan pelajar, kajian dan penerbitan, perundingan dan kepakaran, inovasi dan keusahawanan, penglibatan masyarakat, perkhidmatan dan pentadbiran.
Bayangkan dalam masa 24 jam sehari dan 365 hari setahun, para akademia perlu memenuhi semua tuntutan kerja.
Setiap skop kerja pula mempunyai peringkat fakulti, universiti, nasional dan antarabangsa. Bagi kelompok pensyarah yang bukan berada dalam kategori universiti penyelidikan, mereka harus mengajar 16 ke 24 jam seminggu mengikut amanah tugas syarahan (ATS) yang diberikan.
Penyeliaan pelajar meski dalam jadual diletakkan dua jam seminggu tapi seorang atau satu kumpulan pelajar sebenarnya mengambil masa melebihi sejam.
Bayangkan sekiranya pensyarah diberikan amanah untuk menyelia tiga orang pelajar sarjana muda. Itu belum termasuk lagi menyelia pelajar lepasan ijazah seperti program sarjana dan PhD.
Lazimnya, pensyarah terpaksa memperuntukkan waktu malam dan hujung minggu untuk tugas penyeliaan. Kajian dan penerbitan pula dibahagikan kepada penerbitan akademik, karya kreatif, modul, kerja pengeditan, buku teks universiti, terjemahan dan kerja penerbitan yang lain.
Tekanan semakin getir apabila kredit yang tinggi hanya ditumpukan kepada penerbitan jurnal berimpak tinggi. Pensyarah yang bukan berlatar belakang keusahawanan juga dikehendaki memenuhi kriteria keusahawanan.
Kerja-kerja pentadbiran seperti menjadi ahli jawatan kuasa (AJK) juga terletak di bawah bidang tugas pensyarah. Sehingga kita dapat melihat di universiti hampir semua jawatan kuasa melibatkan pensyarah.
Contohnya AJK 5s, AJK kualiti dan AJK audit dalaman. Kita juga melihat fenomena pensyarah memegang tugas rencam seperti membuat kerja perkeranian mendesak pensyarah mengorbankan masa keluarga dihujung minggu.
Ini menyebabkan pensyarah mengalami keletihan kerja dan menggugat kualiti serta produktiviti kerja. Penilaian prestasi pensyarah di Malaysia berlandaskan output seperti unit pengajaran, jumlah penerbitan dalam jurnal utama, penjanaan pendapatan penyelidikan dan kepuasan pelajar.
Markah diberikan berdasarkan skor pengajaran dan pembelajaran, skor geran penyelidikan, skor penyelidikan dan penerbitan, skor pentadbiran dan skor perkhidmatan profesional, skor anugerah akademik dan skor ke atas skop kerja yang dibincangkan sebelum ini. Meskipun diletakkan kriteria minimum, tetapi tetap wujud persaingan antara ahli akademia.
Apabila pensyarah berkenaan cenderung kepada kajian, kualiti pengajaran mungkin terganggu.
Sekiranya pensyarah memfokuskan kerja pentadbiran ada kemungkinan tugas membuat kajian dan penerbitan tidak akan berada di tahap cemerlang. Kriteria penilaian prestasi pensyarah harus disemak semula.
Bukan kita tidak inginkan pensyarah serba boleh tetapi kita harus menetapkan kriteria yang objektif dan praktikal mengikut kemampuan tubuh badan manusia, masa dan kehendak sosial manusia.
Pertama, utamakan skop kerja dan penilaian prestasi kepada kerja hakiki pensyarah iaitu pengajaran dan pembelajaran.
Kedua, kriteria penilaian harus mementingkan output dan impak. Umpamanya skop kerja penulisan dan penerbitan akan memberikan faedah kepada siapa selain daripada akademia, mahasiswa dan warga universiti?
Adakah pihak industri dan orang awam juga mendapat manfaat dari penulisan di jurnal berbanding di akhbar? Adakah realistik meletakkan jurnal berimpak tinggi semata-mata untuk mendapatkan ranking peringkat nasional dan global sehingga ada pensyarah memasukkan nama ahli akademia hanya kerana mereka berjawatan tinggi, berlakunya aktiviti buli dan pupusnya integriti?
Adakah berbaloi untuk menilai keusahawanan bagi pensyarah yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan? Apakah tugas pensyarah untuk menjadi seorang usahawan?
Adakah tugas pensyarah untuk membantu universiti mencari dana? Berapa banyakkah perniagaan yang diusahakan oleh pihak universiti dapat menghasilkan keuntungan? Adakah relevan melibatkan pensyarah dalam tugas pentadbiran dengan menjadi AJK sehingga kurang masa untuk kerja hakiki?
Malahan jemputan menjadi penceramah sering ditolak kerana beban kerja. Wajar untuk pihak universiti dan kementerian menilai kembali logiknya pensyarah terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran.
Pihak yang terlibat harus mengkaji semula sebab utama tugas pensyarah diwujudkan? Apakah kerja utama pensyarah? Bercita-cita tinggi itu baik tetapi janganlah sampai ia keluar dari konsep pengurusan sumber manusia, skop kerja selayaknya diberikan berdasarkan nama jawatan, bidang tugas dan kelayakan akademik.
Faktor demografi seperti umur dan jantina juga harus diambil kira dalam kriteria penilaian kerana pensyarah yang berumur menghadapi cabaran memenuhi kesemua kriteria terutama bila kurangnya budaya kerja berpasukan.
Kriteria penilaian prestasi harus tertumpu kepada kesarjanaan pensyarah, keilmuan dan pembentukan insan. Kriteria pengajaran dan pembelajaran, kajian, penulisan dan penerbitan, penyeliaan dan inovasi boleh dikekalkan tetapi kriteria lain haruslah disemak semula. Penetapan kriteria sebaiknya mengambil kira keseimbangan dan kualiti hidup.
Gaji, faedah dan kemudahan pensyarah semestinya setimpal dengan beban tugas pensyarah. Peluang berkhidmat di universiti dan sektor lain boleh menjadi kriteria dalam mengukur pengalaman dan kompetensi pensyarah.
Sekiranya isu beban kerja dan penilaian pensyarah diabaikan mutu pendidikan akan pincang. Marilah kita berlapang dada memberi nafas baharu kepada skop kerja pensyarah secara lebih adil dan munasabah agar produktiviti pensyarah berada di tahap yang luar biasa. – UTUSAN
JENNIFAH NORDIN ialah pensyarah kanan UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.










