TERDAPAT hampir lima juta murid di dalam sistem pendidikan. Mereka belajar di lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Setiap murid ini mempunyai kepelbagaian kebolehan dan potensi yang berbeza antara satu dengan lain.
Peranan sistem pendidikan bukanlah sekadar untuk membantu murid mencapai matlamat akademik melalui mata pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah tetapi juga berperanan membina dan mengembangkan keupayaan bakat setiap individu murid.
Profesor Dr. Howard Gardner yang terkenal dengan teori kepelbagaian kecerdasan pernah membincangkan peranan pendidikan untuk membina kepelbagaian keupayaan murid di dalam bukunya Multiple Intelligences dengan menjelaskan setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya salah satu daripada lapan bentuk kecerdasan yang telah dikenal pasti. Misalnya, ada mempunyai kecerdasan dalam logik , grafik, fizikal, lisan, bahasa, muzik, interpersonal dan juga interpersonal.
Secara lumrahnya, setiap individu memang ada kecenderungan berkaitan kecerdasan ini. Tinggal lagi pada peringkat awal, kecerdasan ini mestilah dicungkil dan digilap untuk menjadi bakat.
Selain ibu bapa, sistem pendidikan dalam sesebuah negara juga mestilah mempunyai cara dan mekanisme yang berkesan untuk mengenal pasti setiap kecerdasan murid, mencungkil potensi mereka dan akhirnya membina bakat dari kecerdasan yang dikenal pasti tersebut.
Malah lebih menarik menurut Sir Ken Robinson, seorang tokoh pendidikan yang menulis buku bertajuk Creative Schools: Revolutionizing Education From The Ground Up menjelaskan dalam persekitaran masyarakat hari ini, gabungan antara perkembangan bakat individu dan kreativiti mesti menjadi teras kepada kerangka kurikulum pendidikan.
Profesor Dr. Margaret Archer di dalam bukunya berjudul Social Origins of Educational System pernah menulis bagaimana sistem pendidikan formal yang berkembang sejak lebih 200 tahun dahulu di Eropah, iaitu sejak era revolusi perindustrian tidak begitu menekankan soal pendidikan bakat dan kreativiti individu.
Sebaliknya, sistem pendidikan ketika itu berfungsi sebagai alat melatih dan mengeluarkan sumber manusia semata-mata untuk bekerja di bidang pertanian, perdagangan dan perkilangan sebagai pekerja.
Sistem pendidikan formal yang mengukuh di era revolusi perindustrian adalah bersifat rigid, menghafal, berasaskan akademik dan menumpukan sepenuhnya tujuan pendidikan kepada peperiksaan sebagai alat memilih siapakah individu yang paling layak berada di strata pekerjaan mengikut kelayakan akademik. Sesiapa yang lulus peperiksaan akademik akan diberikan status pekerjaan yang lebih tinggi berbanding yang kumpulan individu yang kurang berjaya dalam peperiksaan akademik.
Bagaimanapun, selepas dunia melalui proses perkembangan teknologi yang pesat khususnya selepas Perang Dunia Kedua dan kemudian bermulanya era teknologi maklumat, globalisasi dan digitalisasi, konsep dan proses pendidikan juga semakin berubah.
Di seluruh dunia, khususnya di negara maju, aliran pendidikan tidak lagi hanya berteraskan kepada pendidikan aliran akademik sebaliknya dikembangkan kepada aliran TVET dan terkini pendidikan bakat.
Perkembangan ilmu kajian pendidikan di seluruh dunia telah membawa kepada usaha untuk menjadikan pendidikan bakat sebagai satu aliran pendidikan baharu, sesuai dengan keperluan masyarakat semasa.
Sekolah aliran pembangunan bakat seperti sekolah sukan, sekolah seni, sekolah fesyen dan sekolah kulinari mula berkembang di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Sistem pendidikan negara tidak lagi hanya ‘terperangkap’ dalam kerangka lama semata-mata untuk menjayakan pendidikan akademik semata-mata. Sebaliknya, harus membuka lebih banyak peluang kepada sekolah aliran pendidikan bakat untuk dijayakan.
Kita telah bermula dengan pendidikan aliran TVET. Pada masa hadapan, negara memerlukan lebih banyak sekolah sukan, sekolah seni, sekolah fesyen dan berbagai sekolah aliran bakat untuk menampung lebih ramai murid-murid yang berjaya dicungkil potensi dan bakat mereka oleh guru di peringkat sekolah rendah.
Kita tentunya ingin menghasilkan lebih ramai Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Pandelela Rinong, Datuk Shalin Zulkifli, Datuk Aflin Shauki, Dato Rosyam Noor, Dato Chef Wan, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan sebagainya. Kita juga tentu ingin melahirkan lebih ramai pereka fesyen seperti Datuk Rizalman, Melinda Looi, Datuk Jimmy Choo, Zang Toi dan Farah Khan.
Malah sistem pendidikan negara yang berkualiti dan ingin mengembangkan bakat murid agar di masa depan lebih ramai yang berbakat dapat dihasilkan seperti lahirnya 15 Sasterawan Negara seperti Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Datuk (Dr.) Usman Awang dan yang lain.
Program Pendidikan Bakat mestilah dimulakan seawal sekolah rendah. Bermula dari kegiatan kokurikulum dan aktiviti pembelajaran di dalam kelas, murid-murid yang mempunyai kecenderungan dan potensi akan dikenal pasti oleh guru.
Murid-murid berbakat besar ini seharusnya ditawarkan untuk dimasukkan ke sekolah sukan dan sekolah seni manakala murid-murid lain yang belum menonjol bakat mereka perlu terus dicungkil dan digilap kerana setiap seorang daripada mereka pasti ada kecerdasan dan bakat yang tersendiri.
Menjayakan aliran pendidikan bakat di dalam sistem pendidikan negara bukan sahaja akan memberi peluang untuk setiap murid mengembangkan potensi masing-masing seperti yang dihasratkan oleh falsafah Pendidikan Kebangsaan, malah lebih menarik lagi usaha ini juga akan mengelakkan berlakunya keciciran pendidikan akibat selama ini kita hanya tumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.










