PERKHIDMATAN awam adalah entiti yang menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan terutamanya dalam memastikan semua dasar, polisi dan inisiatif dilaksanakan sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik kepada segenap lapisan anggota masyarakat.
Justeru, kerajaan dilihat sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa perkhidmatan awam terutamanya dalam konteks menjaga kebajikan dan meningkatkan prestasi perkhidmatan penjawat awam selain meningkatkan aspek tata kelola dan integriti secara keseluruhannya.
Ini penting kerana peningkatan kebajikan dilihat mampu melonjak semangat dan motivasi kerja penjawat awam di samping memperkasa prestasi kerja dan pencapaian agensi masing-masing dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
Antara inisiatif jangka panjang yang sedang dirangka ialah pelaksanaan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan struktur gaji penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini.
Antara insentif awal yang telah dilaksanakan ialah Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak yang telah disalurkan mulai 23 Februari lalu.
Pelbagai inisiatif dalam bentuk dasar dan program juga diperkenalkan untuk melonjakkan mutu dan prestasi kerja penjawat awam khususnya dalam konteks memperkasa tata kelola dan integriti kerana isu seperti rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan masih menjadi duri dalam daging kepada perkhidmatan awam di negara ini.
Walaupun hanya segelintir individu yang terlibat dalam salah laku namun umpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, nama baik dan imej perkhidmatan awam terjejas.
Justeru kita menyambut baik beberapa inisiatif yang telah diperkenalkan seperti konsep “THE G.R.E.A.T SIVIL SERVICE” yang diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Akronim G.R.E.A.T membawa maksud good governance (tadbir urus baik), responsible (bertanggungjawab), empathy (ihsan), accountable (kebertanggungjawaban) dan tenacity of purpose (fokus pada matlamat) yang diyakini dapat mengembalikan perkhidmatan awam kembali kepada asas nilai individu dan organisasi. Penghayatan dan pengaplikasian konsep G.R.E.A.T dalam kalangan penjawat awam di setiap peringkat bukan saja dilihat mampu memperkasa tadbir urus dan integriti perkhidmatan awam, malah boleh menjayakan hasrat membangun Malaysia Madani.
Misalnya, amalan tadbir urus yang baik dan mampan dari peringkat atas hingga ke bawah boleh membersihkan saki baki amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang ada dalam perkhidmatan awam.
Selain itu, pengukuran penilaian prestasi penjawat awam juga sangat dititikberatkan supaya setiap penjawat awam dan agensi dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan betul seperti ditetapkan, yakni mencapai matlamat dan sasaran yang telah dipersetujui.
Dalam hal ini kita menyambut baik langkah proaktif KSN dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP) bermula tahun ini bagi menilai prestasi semua penjawat awam. Kaedah penilaian baharu ini adalah untuk memastikan kita dapat membuat penilaian terhadap keupayaan dan kesungguhan pegawai dalam melaksana tanggungjawab diberikan.
Melalui sistem DEEP, kaedah penilaian bermula dengan mata 100 peratus dan demerit dikenakan jika penjawat awam berkenaan gagal mencapai objektif atau tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.
Penulis percaya sistem DEEP ini diperkenalkan bukan bertujuan untuk mengambil tindakan atau menghukum mana-mana pihak tetapi lebih menjurus kepada memenuhi keperluan mewujudkan satu sistem penilaian yang lebih relevan, tepat, adil dan telus supaya kita mampu menilai impak pencapaian kepada perkhidmatan awam.
Ironinya sudah tiba masa untuk sistem penilaian dalam perkhidmatan awam berubah kepada kaedah penilaian yang lebih objektif, jelas dan mudah diukur berbanding kaedah subjektif atau dibuat secara ‘pukul rata’ ketika proses membuat penilaian prestasi pegawai pada setiap hujung tahun.
Maka antara kelebihan sistem baharu ini ialah setiap penjawat awam akan berusaha keras untuk meningkatkan prestasi serta produktiviti agensi masing-masing sekali gus mengelak dari melakukan sebarang kesalahan supaya tidak dikenakan tindakan demerit atau dipotong markahnya.
Pada masa sama, semua penjawat awam juga wajar menyahut saranan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dengan cara memegang, menghayati dan mengamalkan nilai H.E.M.A.T, yang merujuk kepada kewaspadaan dalam tindakan serta ketelitian dalam pelaksanaan segala tugas yang diamanahkan, sebagai panduan dalam menyampaikan perkhidmatan bermutu kepada rakyat.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, H.E.M.A.T membawa dua maksud iaitu sikap penjawat awam dalam membelanjakan dana awam secara berjimat-cermat dan tidak boros. Manakala dari segi sifat pula, H.E.M.A.T ialah cara penjawat awam menjalankan tugas dengan pengamatan dan penelitian secara mendalam.
H.E.M.A.T merupakan akronim kepada Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran, yang menuntut penjawat awam untuk sentiasa berani berhijrah menerusi kepekaan dengan tuntutan perubahan semasa, menjalankan tugas dengan rapi, cekap dalam pelaksanaan tugas dan mengamalkan komunikasi secara efisien.
Justeru, setiap penjawat awam perlu berpegang teguh kepada nilai H.E.M.A.T supaya apa sahaja program atau projek yang dilaksanakan mampu memberi pulangan kepada nilai wang yang dibelanjakan sekali gus menyumbang kepada proses pemulihan dan pembangunan negara selain memperkasa kesejahteraan hidup rakyat.
Situasi ekonomi global yang kurang memberangsangkan serta kekangan kewangan negara meletakkan kerajaan dalam keadaan yang cukup tercabar untuk mencari keseimbangan antara pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam konteks mengurangkan kos sara hidup.
Justeru, penjawat awam mempunyai peranan besar dalam mengawal perbelanjaan dengan mengekang segala jenis pembaziran, pemborosan dan ketirisan. Untuk itu, kita memerlukan penjawat awam yang bukan sahaja cekap, efisien dan amanah tetapi perlu berjiwa rakyat dan memiliki semangat nasionalisme yang tinggi supaya dapat memahami dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara.
Diharap inisiatif yang diperkenalkan akan membantu melonjakkan kebajikan dan prestasi perkhidmatan awam secara keseluruhannya supaya setiap penjawat awam dapat memberikan sumbangan bermakna dalam membantu mencapai agenda nasional iaitu membangun Malaysia Madani. – UTUSAN
NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) Universiti Putra Malaysia (UPM).










