Kronologi sejarah penubuhan pusat latihan awam bermula dengan tertubuhnya Pusat Latihan Kakitangan pada 1959 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Pada 1972, Institut Tadbiran Awam Negara atau lebih dikenali ramai dengan jenama INTAN telah dibina di Jalan Elmu, Kuala Lumpur dan seterusnya di Kampus Utama di Bukit Kiara dan juga di wilayah-wilayah seluruh Malaysia.
Sepanjang penubuhannya, INTAN telah menjadi sebuah institusi premier dalam memberikan latihan dan kemahiran khususnya kepada penjawat awam di Malaysia.
Pelbagai fokus bidang utama program diperkenalkan seperti dasar awam, kepimpinan, inovasi, etika, pengurusan ekonomi, komunikasi bahasa dan lain-lain antara yang menjadi kursus utama pilihan penjawat awam seluruh Malaysia dalam mempertingkatkan ilmu dan kemahiran kerja masing-masing.
Salah satu kemahiran penting kepada penjawat awam adalah kemahiran kepimpinan yang telah menjadi kursus signature saban tahun yang mana kemahiran ini penting dalam memperkasakan ilmu serta kemahiran mereka sebagai nadi utama dalam perkhidmatan awam di Malaysia.
Usaha-usaha untuk mempertingkatkan kemahiran kepimpinan kebanyakan difokuskan kepada kumpulan pengurusan dan profesional manakala kursus atau program berkaitan kemahiran kepimpinan di peringkat pelaksana masih terhad.
Peranan kumpulan pelaksana dalam sistem perkhidmatan awam begitu signifikan dan golongan ini merupakan tulang belakang sistem perkhidmatan awam serta memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan perkhidmatan kepada rakyat.
Pemerkasaan kemahiran kepimpinan dalam kalangan kumpulan pelaksana merupakan langkah yang penting dalam memastikan prestasi dan kecekapan perkhidmatan awam terus dipertingkatkan.
Peningkatan kemahiran ini dalam kalangan kumpulan pelaksana, bukan sahaja memberi impak yang positif kepada kesedaran aspek kepimpinan malah dapat dipraktikkan supaya mereka dapat menjalankan tugas harian dengan lebih sistematik selain memacu transformasi positif dalam organisasi mereka.
Pemerkasaan kemahiran kepimpinan dalam kalangan kumpulan pelaksana telah menjadi fokus utama bagi INTAN dalam usahanya memperkukuh semangat kepimpinan yang tinggi dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.
Bagi merealisasikan hasrat untuk memperkasakan kemahiran kepimpinan dalam kalangan kumpulan pelaksana, INTAN telah memperkenalkan beberapa kursus-kursus kepimpinan antaranya Kursus Kepimpinan Transformatif dan Pengurusan Organisasi (TLOM 1.0), Kursus Radas Penyelesaian Masalah (Problem Solving Tools) dan Kursus Penyeliaan Berkesan.
Kursus-kursus ini direka bentuk bagi menyediakan latihan dan pembangunan yang relevan khusus kepada kumpulan pelaksana di sektor awam. Latihan tersebut telah memberi tumpuan kepada aspek kepimpinan seperti pengurusan organisasi, kemahiran penyelesaian masalah, komunikasi berkesan, pengurusan masa, motivasi, integriti kepimpinan dan kepemimpinan berpasukan.
Melalui kursus dan program ini ia dapat memperkukuhkan aspek-aspek kepimpinan peserta seterusnya melahirkan kumpulan pelaksana yang dapat memainkan peranan mereka lebih berkeyakinan dan cekap.
Program pembangunan kepimpinan juga perlu disesuaikan dengan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh kumpulan pelaksana dalam perkhidmatan awam, termasuk cabaran dalam proses digitalisasi.
Ini membolehkan kumpulan pelaksana menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dengan lebih lancar selain memastikan agenda pentadbiran kerajaan dapat dijayakan bagi mendukung matlamat keberhasilan produktiviti yang tinggi.
Kepantasan dunia teknologi terkini seperti pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebenarnya perlu dihayati oleh kumpulan pelaksana supaya mereka turut didedahkan dengan arus perubahan yang semakin berganda-ganda pantas berbanding era kemajuan terdahulu.
Pemerkasaan kemahiran kepimpinan dalam kalangan kumpulan pelaksana juga perlu melibatkan penjenamaan semula peranan mereka dalam organisasi. Mereka perlu difahamkan bahawa setiap individu mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin dan kepemimpinan bukanlah semata-mata berkaitan dengan pangkat atau jawatan.
Perkara ini mampu dicapai melalui pembangunan budaya organisasi yang memberi penekanan kepada kepemimpinan berpasukan, di mana setiap individu diberi peluang untuk memberi sumbangan dan mempengaruhi keputusan berdasarkan keupayaan memberi dan menerima konsep kepimpinan transformatif tersebut supaya seiring dan relevan merentasi zaman.
Di samping itu, INTAN juga telah memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menggilap bakat-bakat kepimpinan dalam kalangan kumpulan pelaksana di agensi dan kementerian melalui kursus-kursus dianjurkan yang bertujuan membangunkan potensi dan kompetensi sebenar selain penjenamaan semula peranan kumpulan ini dengan membuka lebih banyak peluang kepada individu yang mempunyai potensi kepimpinan untuk dikembangkan.
Usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka peluang kepada kumpulan pelaksana untuk menyambung pelajaran sehingga peringkat ijazah sarjana muda bersama biasiswa dan kemudahan cuti belajar adalah sangat bermanfaat kepada kumpulan ini bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Pemerkasaan kemahiran kepimpinan dalam kalangan kumpulan pelaksana merupakan satu aspek yang penting dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing perkhidmatan awam.
Melalui pengukuhan kepimpinan di peringkat ini, ia akan membawa impak positif kepada keseluruhan sistem perkhidmatan awam dan memastikan rakyat dapat menerima perkhidmatan yang lebih baik dan efisien.
Pemerkasaan kemahiran kepimpinan dalam kalangan kumpulan pelaksana merupakan satu langkah strategik yang penting dalam usaha memodenkan dan mempertingkatkan perkhidmatan awam ke tahap yang cemerlang.
INTAN telah mengorak langkah dengan menyediakan program-program pembangunan kepimpinan yang senantiasa relevan, terkini dan efektif, serta memainkan peranan dalam mengubah budaya organisasi untuk menghargai peranan penting yang dimainkan oleh kumpulan pelaksana dalam memastikan kejayaan dan hasrat dalam perkhidmatan awam tercapai.
Usaha kita ini dapat membayangkan satu masa nanti di mana setiap individu dalam perkhidmatan awam, tanpa mengira pangkat, dapat menjadi pemimpin yang berkesan dalam memacu transformasi positif dalam perkhidmatan awam serta memacu kecemerlangan ke arah kewujudan sebuah masyarakat Madani yang disegani dan dihormati. – UTUSAN
MOHD. SYAHRIZAD MOHD. SAPANDI ialah perunding latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)










