Ambil pengajaran dari isu Kampung Baru Cina

Ambil pengajaran dari isu Kampung Baru Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EPISOD berkaitan Kampung Baru Cina dikatakan sudah ‘tutup’ oleh si polan yang memulakannya. Namun begitu, ia tidak mudah dilupakan begitu sahaja kerana banyak pengajaran terkandung dalamnya. Walaupun pada tempoh agak pendek kesannya agak mendalam.

Temu bual Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong baru-baru ini memberi halwa tambahan sebagai seorang cendekiawan Malaysia keturunan Cina. Bukan macam si polan dan ramai lagi yang sebaliknya menebal dalam politik identiti mereka.

Felow Majlis Profesor Negara itu menegaskan, kerajaan boleh bercadang untuk menjadikan perkampungan Cina Baba Nyonya di Melaka kerana di situ ada campuran pengaruh dan budaya Melayu dan begitu juga dengan perkampungan chetti India di Melaka.

Kok Seong mengatakan, kalau pun perkampungan Portugis diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), ia ada dipengaruhi budaya Melayu. Sebab itu di situ ada makanan dinamakan devil curry.

Sebaliknya kata beliau lagi, takkan kita hendak buka aib, (Kampung Baru) sebahagian daripada babak memperlihatkan kaum Cina bersubahat dengan musuh negara.

Oleh itu, hal ini wajar diperingatkan kembali agar perkara tersebut tidak berulang-ulang lagi.

Dalam apa bentuk pun, apa lagi melibatkan seorang menteri yang agak cetek pertimbangannya, terbatas kepada selera politik serta nafsu kumpulan atau kelompok yang sama. Diberitakan sudah ada beberapa hal seakan-akan ini diulangi.

Bagaikan melancarkan roket ke bulan, hanya sasaran sebenarnya tidak jelas. Bak menangguk di air keruh atau menguji keberadaan semasa, sesuai dengan strategi pak belang menyorokkan kuku. Tiba-tiba menerkam untuk membaham siapa sahaja demi keuntungan sendiri walaupun ramai akan terjebak mahu tidak mahu.

Pada masa itu, tidak ada gunanya diperingatkan supaya jangan mempolitikkan isu itu dan ini.

Memang jelas berbaur politik sejak awalnya. Sudah terlanjur sama ada sengaja atau tidak.

Sehinggakan antara para anggota yang berikrar ‘perpaduan’ terus bertegang urat leher berbalah untuk tontonan khalayak. Tidak segan silu lagi.

Paling memalukan adalah kedangkalan hujah diusap-usap untuk menegakkan benang yang basah, lantas mendorong ramai tampil mempersoalkan keikhlasannya. Diakhiri dengan kesangsian niat dan intipati politik yang diamalkan selama ini. Di mana larasnya?

Hairan mengapa tidak dirundingkan sesama sendiri terlebih dahulu sebelum membuka mulut kepada umum? Mengapa niat dan tujuan tidak diperjelaskan secara terperinci agar syak wasangka tidak langsung terlintas dihati atau benak? Mengapa tergopoh-gapah seakan-akan mencari populariti mengatasi semua.

Maka ramai ternganga-nganga? Berakhir dengan tutup buku – maksud tidak tercapai, kemelut pula yang muncul. Namun, adakah di sini noktahnya? Tidak pasti kerana sentiasa berulang-ulang, selagi nafsu tidak terbendung.

 

TIDAK sepatutnya rakyat negara ini memiliki dua haluan berbeza, justeru noktahkan segera apa jua isu yang boleh menyebabkan ketegangan kaum. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

TITAH SULTAN
Dalam hal ini, peringatan Sultan Selangor kepada ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan mempolitikkan setiap isu melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal persengketaan politik yang tidak berkesudahan amat wajar dipanjangkan juga kepada isu perkauman. Ini memandangkan aspek agama dan kaum sering kembar dua di negara berbilang bangsa ini.

Setiap satu boleh menjadi peka kepada pengamal agama sama ada secara dijangka atau tidak, sekali gus melibatkan tuduh-menuduh antara satu sama lain yang akan menyulitkan lagi penyelesaian secara bersepadu. Malah semua sedia maklum bahawa isu-isu agama acap dipersendakan, malah menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini.

“Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam”, titah Baginda dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-71 baru-baru ini.
Ini khasnya berkaitan dengan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Lantas, terdapat pelbagai ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut. Tidak kurang juga yang membawa polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada rakyat umumnya. Dalam konteks ini isu Kampung Baru Cina tiada bezanya.

Seperkara lagi yang penting adalah teguran Baginda dalam perkembangan berkaitan, yakni amalan melantik menteri agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama tidak dijadikan sebagai bahan politik.

“Tumpuan sepenuhnya dapat diberikan oleh menteri agama dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam. Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama dalam melantik seorang menteri agama”, titah Baginda.

Pemberat kelayakan akademik berasaskan ijazah yang sejajar bersama pengalaman serta kematangan adalah satu aspek yang wajar diambil berat, melewati isu-isu agama. Jadi, sekiranya dirujuk kepada sumber maklumat umum, Wikipedia, tentang watak utama yang bertanggungjawab, akan menyedari kebijaksanaan titah Sultan.

Di bawah catatan Controversies and Issues, Wikipedia menyenaraikan lima hal buruk bersangkutan semenjak 2011 lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan panggilan berbaur perkauman merujuk kepada persona Menteri Besar.

Sampailah pada 2022 melibatkan negara jiran tetangga pula. Setiap kali berjaya dimaafkan atau mempersalahkan yang lain. Ini belum lagi mengambil beberapa adegan terkini akibat keengganan mengambil iktibar dari apa yang jelas berlaku.

Memandangkan masih ada yang belum faham, maka sudah tiba masanya untuk merenung peristiwa yang berlaku untuk menoktahkannya. Pada hal pernah ahli Parlimen diberi teguran keras atas kata-kata yang dikira tidak sesuai. Mengapa ada dua haluan?-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN