MUKADIMAH
ISU penagihan dadah dalam negara dilihat semakin membimbangkan dengan kadar penagihan dadah terus mencatatkan peningkatan saban tahun.
Sebagai rekod, untuk tahun lalu, seramai 128,911 (sehingga September) berbanding 137,176 yang ditahan pada tahun sebelum ini.
Pun begitu, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), SUTEKNO AHMAD BELON berkata, usaha merawat pulih mereka yang tersalah langkah ini akan terus diperkasa dengan sasaran utama kadar penagih kekal pulih sehingga 80 peratus menjelang 2025.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID kata beliau, usaha ini bagi memastikan mereka yang dirawat pulih oleh AADK mampu menjalankan kefungsian hidup khususnya ketika berada dalam komuniti.
UTUSAN MALAYSIA: Apakah hala tuju AADK untuk tempoh dua tahun akan datang dan bagaimana dengan pencapaian sepanjang 2023?
SUTEKNO: AADK menetapkan dua petunjuk prestasi utama (KPI) bagi mengukur kejayaan Pelan Strategik AADK iaitu pertama menurunkan Kadar Penagih Dadah (tidak melebihi 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk) dan kedua meningkatkan Kadar Kepulihan Klien sehingga 80 peratus menjelang 2025.
Sasaran bagi Kadar Penagihan Dadah di Malaysia pada 2023 ialah sebanyak 430 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Walau bagaimanapun, sehingga September 2023, sebanyak 386 orang direkodkan bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan.
Ini bermakna, AADK masih berada pada landasan yang tepat berdasarkan pencapaian KPI tersebut.
Jika diimbas pada 2022, sebanyak 420 orang bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan berbanding sasaran ialah sebanyak 440 orang.
Pun begitu, AADK menetapkan sasaran Dadah Terkawal menjelang 2025 sebanyak 400 orang bagi setiap 100,000 penduduk dan kita perlu menyahut cabaran untuk mencapai KPI tersebut.
Bagi KPI kedua pula iaitu meningkatkan Kadar Kepulihan Klien. AADK menyahut cabaran Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri yang mencabar AADK untuk mencapai 75 peratus bagi kadar kepulihan klien pada tahun ini berbanding hanya 72 peratus yang ditetapkan pada awalnya.
Pada 2023, AADK merawat pulih seramai 50,623 orang klien menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
Daripada jumlah tersebut, bagi tempoh Januari hingga November 2023, seramai 15,425 klien dinilai dan didapati seramai 13,022 klien atau 83 peratus mencapai tahap kepulihan berbanding 2022. AADK merawat pulih seramai 44,754 penagih dan daripada jumlah itu, seramai 19,440 klien dinilai dan hasil penilaian mendapati seramai 14,008 atau 71 peratus klien mencapai tahap kepulihan.
Ini bermakna, AADK berjaya menyahut cabaran menteri dengan mengatasi kadar sasaran awal bagi KPI ini iaitu sebanyak 75 peratus. Pencapaian ini dinilai menerusi kaedah Cure and Care Recovery Index (CCRI) dan berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.
Dengan kejayaan ini, saya percaya AADK mampu meneruskan kefungsian dan terus berperanan sebagai wahana menyebarluaskan khidmat rawatan dan pemulihan dadah dan memperkukuh recovery capital melalui program Sokongan Pengekalan Kepulihan serta mengindustrikan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) agar lebih banyak akses untuk rawatan, perubatan dan pemulihan dadah di seluruh negara.
Difahamkan AADK mengesan sebanyak 155 kawasan panas iaitu kawasan berisiko tinggi (KBT) di seluruh negara. Setakat ini, berapa kawasan sudah ditukar status daripada KBT kepada kawasan berisiko rendah (KBR)?
Pada tahun lalu, AADK berjaya mengurangkan separuh (KBT) daripada jumlah keseluruhan yang dikesan iaitu sebanyak 155 KBT di seluruh negara bagi tempoh 2021-2025.
Sehingga November 2023, sebanyak 77 KBT atau 99 peratus mencapai status hijau dan bertukar status kepada KBR berbanding 39 KBT pada tahun 2022 manakala 16 daripada 77 KBT yang berada dalam status KBR telah diserahkan kepada komuniti untuk tujuan pengekalan KBR.
Melihat kepada momentum kejayaan ini, AADK yakin dan meletakan sasaran untuk menukar status KBT di 117 kawasan melibatkan 39 KBT semasa manakala 78 lagi KBT pengekalan bagi memastikan semua kawasan ‘panas’ kekal sebagai status KBR pada tahun ini.
Selain perkhidmatan teras, apakah perkhidmatan alternatif yang disediakan AADK dalam meneruskan usaha merawat pulih mereka yang terjebak dengan penagihan dadah?
AADK mengorak langkah memperkemas perkhidmatan rawat pulih melalui platform bergerak iaitu Mobile Recovery Treatment (MRT AADK) yang dilancarkan pada Mei 2022.
Menerusi perkhidmatan ini, AADK meletakkan sasaran seramai 3,800 orang klien berupaya menerima akses ini sepanjang 2023.
Sehingga Disember 2023, MRT AADK melepasi sasaran dengan jumlah klien seramai 8,814 dengan peningkatan sebanyak 57 peratus capaian perkhidmatan MRT di seluruh negara berbanding 3,444 klien pada 2022. Perkhidmatan MRT telah menarik minat klien atas dasar kepercayaan klien sendiri, pakej baharu yang diperkenalkan serta mudah diakses.
MRT AADK juga bukan sahaja dimanfaat oleh klien yang berada di daerah dan institusi tetapi merangkumi Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui kolaborasi rakan strategik. Kerjasama ini mendapat penghargaan Jabatan Penjara Malaysia melalui sijil penghargaan kepada AADK.
Pakar psikiatri Hospital Permai Johor Bahru melalui surat kepada AADK turut memuji dan memperakui kepakaran pasukan MRT AADK memberi khidmat rawatan, perubatan dan pemulihan substance use disorder merangkumi kes klien co-occuring mental health.
Apakah fokus yang ditetapkan AADK untuk tahun ini?
10 strategik telah digariskan sejak tahun lalu dan ia masih kekal untuk dilaksanakan pada tahun ini.
Pun begitu, AADK memutuskan lapan way forward untuk melengkapkan pencapaian matlamat yang lebih jelas dan tersusun.
Antaranya dengan menyebarluaskan program pencegahan dan program post continuum care antaranya melalui Alternative Service Delivery (ASD) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan melihat peluang untuk menggunakan kesukarelawan (berbayar) dalam pelaksanaan ASD, mengindustrikan PPDP dan mengurangkan program besar-besaran peringkat nasional sekali gus menyalurkan peruntukan berkenaan ke peringkat daerah.
Selain itu, kami juga perlu memastikan ketersediaan terhadap mental readiness dalam pelaksanaan Pindaan Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dijangka akan dibentang tahun ini dengan menubuhkan Teaching PUSPEN di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Benta dan membangunkan tanah-tanah hak milik AADK yang luas dan terbiar untuk projek tanaman ladang koko dan ladang pisang sebagai usaha latihan kemahiran vokasional kepada klien yang menjalani program rawatan dan pemulihan dalam institusi (RPDI) di dalam PUSPEN.
Selain itu juga, permohonan projek pembinaan pejabat dan fasiliti AADK dalam Rolling Plan 5 2024 atas tanah hak milik AADK akan diteruskan serta mengkaji perubahan cara kerja untuk jangka masa panjang agar agensi ini kekal sebagai agensi peneraju dalam membanteras dadah.-UTUSAN










