Masih adakah perjuangan?

Masih adakah perjuangan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT gelimangan masalah kerajaan, politik dan haru-biru kehidupan hari ini, apakah pemimpin politik Melayu di dalam dan di luar kerajaan masih punya perjuangan? Jika masih ada, perjuangan apa bentuknya dan ke mana hala tuju bangsa dan negara selepas ini?

Perkataan perjuangan elok bunyinya dan sangat evokatif dalam erti kata bertindak, berusaha mencapai intisari gerakan bersama dan seterusnya beroleh yang terbaik untuk rakyat. Namun di manakah perjuangan orang Melayu pada hari ini dalam erti kata sebenar? Atau masih adakah perjuangan tradisional bangsa Melayu itu lagi? Walaupun sukar untuk dijawab, isu ini tetapi membara kerana sebahagian besar pemimpin MelayuBumiputera hari ini tidak lagi menampakkan intisari perjuangan yang dahulunya terasas kepada slogan-slogan tertentu seperti Merdeka, Hidup Melayu, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, Bersatu Beramanah Bermaruah, Membangun Bersama Islam dan sebagainya.

Barisan pemimpin ini kini tampak lebih mengikuti arus politik majmuk sesuai dengan trend tidak menggalakkan perjuangan berasas agama, bangsa serta hal-hal terkait Raja. Persoalan terbesar kini ialah orang Melayu dan Bumiputera yang mewakili 67 peratus populasi negara, sedang dalam keadaan dihimpit anasir politik dan ekonomi. Kuasa ekonomi masih tiada dalam tangan mereka.

Kuasa politik mereka pula sedang mengalir menghilang dicairi gimik Malaysian Malaysia yang cuba menghalang anak watan bercakap fasal bangsa, agama dan hal-hal mengenai raja. Dalam suasana begini dirasai ketiadaan perjuangan yang dimaksudkan itu. Pemimpin mudah mengalih pendirian, prinsip dan janji-janji.

Dalam senario sedemikian, perjuangan dalam bidangbidang pendidikan, ekonomi, agama, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak diraja, pengekalan warisan, keutuhan adat dan budaya serta lain-lain perkara asas semakin menghilang. Lima Ahli Parlimen Bersatu begitu mudah mengalih perjuangan apabila isu peruntukan kawasan dinafikan oleh Perdana Menteri bagi mereka. Di sini dilihat betapa rapuhnya perjuangan.

MARUAH DIRI

Dalam konteks ini, pemimpin terserlah menjual maruah diri dan partinya kerana hendak bergayut kepada politik kuasa dan laba semasa. Dalam hanya satu tahun erti sumpah jawatan Wallahi, Wabillahi, Watallahi habis disedut angin senja. Kumpulan dahulu yang dianggap musuh terus dipeluk bergerak bersama dalam caturan politik majmuk Malaysian Malaysia.

Kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini adalah lahiran jasa baik Yang Di-Pertuan Agong yang 14 bulan lalu inginkan satu pentadbiran unggul, saling bekerjasama dan membawa kebahagian kepada rakyat. Sayang Pas dan Bersatu menolak Kerajaan perpaduan ini dengan terus menjadi pembangkang sekalipun beroleh 74 kerusi Parlimen.

Akan dapat dilihat betapa lemahnya konsep dan amalan demokrasi berParlimen dan berDewan Undangan Negeri. Ia sudah tidak lagi dijadikan institusi merubah nasib rakyat, tetapi digunakan sebagai penegap pihak eksekutif untuk berkuasa.

Institusi itu sudah dijadikan semacam alat kelentong pemegang suara majoriti. Ini disebabkan proses demokrasi di Parlimen tidak lagi berfungsi menyelamatkan rakyat dari kehidupan sukar. Antara sumpah jawatan dan perbuatan sudah tiada tali arus lagi.

Terlalu banyak ucapan bersifat kelentong bersandiwara dan memupuk ego. Wakil rakyat tidak berani lagi bersuara dan bertindak ikut isi hati demi rakyat yang diwakili. Mereka didorong paksaan parti serta gayangbayang ketua eksekutif. Perjuangan Melayu Bumiputera dakwat asalnya menjadi kian kabur waima Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan setiap hari terpampang nyata.

Pemimpin tidak boleh berbohong dan bersandiwara saban hari seolah-olah semua perkara boleh dijadikan bahan lakonan. Perjuangan memupuk perpaduan politik Melayu secara bersekutu demi bangsa agama dan negara macam dulu-dulu hanya tinggal igauan kini.

Perpecahan sesama Melayu paling menonjol sekalipun Islam menegah hal itu. Perjuangan bukan lagi menyelamat bangsa tetapi menyelamat pangkat dan jawatan. Meluru sana meluru sini dengan gah kuasa siasatan anti-rasuah. Laungan anti rasuah berkumandang hari-hari tetapi orang yang bergelumang syak-wasangka rasuah turut memekik menyerukan slogan anti rasuah.

Tidak lama lagi agaknya semua bekas pemimpin Melayu-Bumiputera disumbatkan ke dalam penjara atas palitan politik anti-rasuah sementara pihak-pihak pemberi pelincir dan pelicin terbahak-bahak gelak ke bank masing-masing melihat Melayu membakar diri sendiri. Demi survival pemimpin pertengahan Melayu mesti bertindak.

Parti-parti Pas, Bersatu, UMNO, Muda, Pejuang dan Amanah mesti amalkan semula falsafah kehidupan demi bangsa dan negara. Masing-masing boleh bergilir jadi Perdana Menteri.

SERLAHKAN REFORMASI

Kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim diserukan agar jangan takut menyuarakan atau melaksanakan apa yang hak. Serlahkan Reformasi itu sekarang tetapi jangan hilirkan Melayu. Apa dan mana dia Reformasi itu? Tanda-tanda Melayu akan hilang kuasa politik sudah jelas.

Lagu Malaysian Malaysia sedang kuat berkumandang ketika ini sehingga begitu ramai warga muda Melayu yang tampak tertarik dengan pendekatan 1965 Lee Kuan Yew itu. Teguhkan pendirian – ini tanah air kita; hak utama watan majoriti mesti diutamakan.

Ramai yang tidak berasa apa-apa terhadap prospek hilangnya kuasa politik Melayu-Bumiputera selepas ini. Gara-gara hendak mengehadkan pemilihpengundi kepada 100,000 pengundi bagi setiap kawasan Parlimen, gara-gara hendak mengadakan pilihan raya bagi semua kawasan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah berupa jalan terus satu hala kepada mengecilnya perwakilan Melayu dalam kuasa politik negara kerana masyarakat Melayu majoriti di luar bandar.

Membiarkan bahasa Melayu dan budaya Melayu seperti mati segan hidup tak mahu adalah cerminan kelemahan perjuangan orang Melayu sendiri. Akhbar Utusan Zaman, Mastika, Utusan Melayu sudah mati. Jangan biarkan bahasa Melayu mati pula. Ransang balik Dewan Bahasa dan Pustaka, ngaumkan kembali harimau budaya kita.

Bab terpenting bagi Perdana Menteri ialah janjijanji yang dilaungkan mesti disusuli pelaksanaan. Bawa Pembangkang bersama dalam beberapa dialog. Beri peruntukan sama kepada semua Ahli Parlimen. Ikut janji Perdana Menteri semasa jadi ketua Pembangkang 14 bulan lalu. Amalan terdahulu yang menganaktirikan ahli Parlimen pembangkang dalam hal ini ketara salah. Buat jalan baharu, sama-sama kita ikuti. Masalahnya jika sudah mungkir janji bagaimana perlu di tindak balas oleh rakyat?

Soalan inilah yang kini banyak tidak beroleh tindak balasnya. Rakyat hanya berang sana berang sini. Hero Facebook dan TikTok tumbuh macam cendawan busut musim hujan. Namun penyelesaian masih tiada. Janji masih tidak ditepati, himpitan ekonomi semakin melarat, berjuta pendatang asing merubah polar kehidupan dan mencabar penguatkuasaan. Mereka yang patut dihukum lepas. Hanya mahu berada dalam kerajaan dengan jawatan tinggi bukan perjuangan jika tidak dikaitkan dengan matlamat membela bangsa sendiri.

Lantaran lupa perjuangan inilah menyebabkan kita soalkan siapa dan parti mana kini yang menjadi supremo dalam kerajaan? Telitilah bilangan kerusi mereka di Parlimen. Siapa sebenarnya yang berjuang kini? – UTUSAN

TAN Sri Dr. Rais Yatim ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN