Korupsi, munafik penghalang kesejahteraan masyarakat

Korupsi, munafik penghalang kesejahteraan masyarakat

RASUAH bukan sahaja mengakibatkan kemajuan masyarakat merudum tetapi kemunduran ini juga akan berlaku secara putaran. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP Jumaat Pusat Islamisasi (CENTRIS) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan sesi diskusi buku-buku yang ditulis oleh Allahyarham Emeritus Profesor Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan. Antara buku yang dibaca dan dibincangkan ialah buku Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika. Buku ini diterbitkan di dalam dua versi iaitu versi bahasa Inggeris dan juga bahasa Melayu.

Sesi ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk kepada orang awam yang boleh menyertainya secara dalam talian atau hadir ke Perpustakaan M. Kamal Hassan di UIAM.

Ketika membincangkan bahagian pendahuluan buku tersebut, antara yang menarik perhatian kami adalah berkenaan apa yang dikatakan beliau sebagai proses downward spiral atau kemunduran berpusar yang dialami masyarakat akibat gejala rasuah.

Jika diamati, beliau dengan teliti dan mendalam menyatakan bahawa rasuah bukan sahaja akan mengakibatkan berlakunya proses merudum kepada kemajuan masyarakat, akan tetapi kemunduran ini juga akan berlaku secara putaran.

Ini memburukkan lagi keadaan kerana masyarakat yang mengalami putaran seperti ini akan menjadi seperti orang yang mabuk dan keliru sekali gus menyukarkan kita untuk mencapai matlamat yang ingin dituju.

Kami juga tertarik dengan apa yang dikatakan beliau sebagai ekonomi hitam yang kerap menjadi payung kepada aktiviti-aktiviti politik di negara ini. Lebih menggemparkan, kami dapati beliau membongkar bagaimana terdapat ahli politik yang menyamar di atas nama pembelaan kaum, perjuangan bangsa dan sebagainya, akan tetapi sebenarnya mereka terlibat dalam rasuah. Bahkan menurut beliau inilah punca sebenar kepada terjadinya ketegangan kaum di negara ini.

Selain itu, beliau turut melabelkan mereka ini sebagai bersifat narsistik. Ini kerana mereka hanya mementingkan diri sendiri dan sentiasa berlagak seperti merekalah yang sebenarnya menjadi mangsa keadaan. Walhal merekalah yang menjadi punca kepada masalah yang ditanggung masyarakat. Inilah sifat munafik yang bersarang di hati mereka.

Sebagai refleksi, pemikir Islam terkenal, Ibnu Khaldun melalui karyanya Mukaddimah, pernah menyatakan bahawa sesebuah tamadun yang maju akan memiliki umran yang hebat. Sesetengah sarjana berpendapat umran ini membawa maksud budaya, yang mana masyarakat yang maju pasti didorong oleh budaya hidup yang bagus.

Kedua-dua elemen ini tidak dapat dipisahkan. Oleh yang demikian, dapat difahami di sini bahawa masakan kita akan maju jika kita tidak memiliki umran yang bagus, dan umran ini hanya dapat dihidupkan tanpa budaya korupsi yang pasti hanya akan meruntuhkan sesebuah tamadun.

Bahkan umran ini menekankan tentang kerjasama erat yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu. Menurut Ibnu Khaldun, pembahagian kerja di dalam masyarakat adalah penting yang mana setiap individu akan melakukan kerja yang spesifik. Sebagai contoh seorang petani akan menanam gandum manakala seorang peraih akan memproses gandum menjadi roti dan akhirnya seorang peniaga akan menjual roti tersebut.

Ini akan mempercepatkan lagi proses pembangunan ekonomi sesebuah tamadun, dan ini semua tidak akan dapat dilaksanakan jika kita bersikap mementingkan diri sendiri serta berpura-pura dan tidak jujur dalam pekerjaan.

Jika diamati, terdapat ramai lagi pemikir-pemikir falsafah politik, baik dari dunia Islam mahupun barat, yang menekankan tentang pentingnya untuk sesebuah masyarakat membina budaya yang baik demi kesejahteraan hidup seluruhnya.

Pemikir Islam era klasik dari Asia Tengah, Al-Farabi, contohnya, menyatakan bahawa dalam sesebuah virtuous city atau bandar berkebajikan, kesemua rakyat akan berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing dalam memajukan masyarakat tersebut. Ini kerana setiap individu memiliki kepakaran yang unik yang sentiasa perlu digilap, dan ia tidak dimiliki oleh individu lain.

Oleh itu, hanya dengan kerjasama kita akan dapat menggembleng kepakaran-kepakaran ini dan membangunkan masyarakat. Bagaimana kita dapat bersatu jika kita terpalit dengan amalan rasuah dan bersikap sambil lewa atau tidak serius dalam pekerjaan? Sudah tentu kita tidak berdaya melakukannya.

Pemikir Greek purba, Aristotle juga menekankan tentang pentingya untuk setiap individu dalam masyarakat memajukan diri dalam kepakaran yang dimiliki demi mencapai apa yang dikatakan sebagai ‘telos’ atau objektif setiap makhluk.

Kemudiannya, setiap individu akan berganding bahu dengan individu yang lain dan bersama mereka akan membina masyarakat yang bahagia dan saksama. Sekali lagi semua ini pasti tidak dapat dicapai jika kita terbeban dengan masalah rasuah. Masakan kita dapat memajukan kepakaran diri sendiri jika terlibat dengan rasuah? Sudah tentu tidak.

SEDERHANA
Sepertimana Al-Ghazali yang menekankan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dalam kehidupan, Aristotle turut menyebut perkara yang sama. Beliau menyatakan perlunya setiap individu untuk hidup berdasarkan apa yang dikatakan sebagai golden mean atau keseimbangan emas. Ia bermaksud tidak melakukan apa-apa tindakan yang termasuk di dalam dua titik ekstrem. Contohnya jika kita terlalu mengejar kekayaan tanpa mengira halal atau haram, ini dikira sebagai ekstrem dan sudah pasti ia tidak baik untuk kita. Sebaliknya, jika kita langsung tidak bekerja, ia juga tidak bagus.

Hanya melalui keseimbangan, yakni bekerja bersungguh-sungguh dengan jujur serta berasa cukup dengan seadanya, barulah kita dapat nikmati kehidupan yang sejahtera dan ini sudah pasti akan dapat mengelakkan kita dari terjebak dengan rasuah.

Diharap wacana ini dapat diteruskan lagi agar kita sedar betapa penting untuk fahami dan melakukan refleksi terhadap masalah ini. Ini kerana seperti yang diamati Almarhum, jika kita tidak dapat mengatasinya, seluruh negara tidak akan mampu untuk maju kehadapan seperti yang diharapkan beliau ketika hayatnya.-UTUSAN

DR. Zahid Zamri ialah Ketua Jabatan, Kajian dan Penerbitan, Pejabat Islamisasi, Integrasi dan Relevantisasi, Pusat Islamisasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN