Dulu anggota polis, kini TYT Sarawak

Dulu anggota polis, kini TYT Sarawak

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 1990, ketika Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berusia 45 tahun, beliau dipilih oleh Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kerusi Parlimen Batang Lupar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau berdepan calon Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (Permas), Wan Habib Mahmud ketika itu, parti yang cuba menyingkirkan Abdul Taib dan mahu menggantikan kerajaan Sarawak sedia ada pasca peristiwa Hotel Ming Court pada 1987.

Cabaran itu disahut oleh Wan Junaidi dan beliau menang dengan majoriti 2,665 undi. Sejak itu, kerusi Batang Lupar dimenangi beliau tiga kali berturut-turut sehingga 1999.

Walaupun Abdul Taib menukar kerusinya ke Santubong pada 2004, kerusi itu juga berjaya dipertahankan Wan Junaidi selama empat penggal berturut-turut sehingga 2018.

Kira-kira 34 tahun kemudian selepas beliau dipilih sebagai calon pilihan raya, Wan Junaidi kini merupakan Yang di-Pertua (TYT) Negeri Sarawak Kelapan apabila Abdul Taib mengundur diri selepas 10 tahun memegang jawatan tersebut sejak 2014.

Semalam, Wan Junaidi, 77, menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara.

Ia satu penghormatan terbesar buat Wan Junaidi bagi menggantikan Abdul Taib yang telah banyak meletakkan kepercayaan terhadap dirinya sepanjang karier politik beliau.

Malah, beliau akan menjadi Yang di-Pertua Negeri pertama sejak Abdul Rahman Ya’kub pada 1970 yang pernah memegang jawatan Kabinet dalam kerajaan Persekutuan.

Wan Junaidi juga pernah memegang pelbagai jawatan lain bermula dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2008, Timbalan Dalam Negeri pada 2013, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2015 dan Menteri Keusahawanan dan Koperasi pada 2020.

Namun, beliau paling menyerlah dan dikenali di seluruh negara ketika berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 2021 di bawah Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penguatkuasaan Akta Anti Lompat Parti sebelum PRU15 merupakan kejayaan terbesar beliau dalam memastikan peristiwa Langkah Sheraton tidak berlaku lagi di masa akan datang.

Ramai yang menjangkakan beliau akan bersara daripada politik kerana tidak bertanding dalam pilihan raya, namun beliau sebaliknya berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara di bawah Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Karier politiknya sahaja mungkin sudah cukup untuk melayakkan dirinya untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

WAN Junaidi Tuanku Jaafar sewaktu berkhidmat sebagai anggota polis.

ANGGOTA BERUNIFORM
Namun, ramai yang tidak tahu beliau sebenarnya pernah berkhidmat sebagai anggota polis selama 13 tahun yang berdepan dengan ancaman komunis di Sarawak kira-kira 56 tahun lalu.

Ia sesuatu yang luar biasa kerana beliau sepatutnya berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana mempunyai kepakaran membuat jalan raya ketika itu.

“Di JKR, saya diajar ilmu membina jalan, kita tak banyak jurutera di Sarawak, tapi saya hanya umur 17 ketika itu,” kata Wan Junaidi dalam podcast baru-baru ini.

“Cukup umur 18, ada iklan peluang masuk polis. Saya terpanggil kerana salah seorang daripada jurutera jalan ditangkap oleh komunis di Bintulu. Dia tak nak kerja lagi, dia berhenti.

“Saya tak nak tunggu ia berlaku pada saya, jadi saya berhenti, sebab kalau jumpa komunis, saya akan bawa senjata, bukan alat kejuruteraan,” katanya.

Beliau menyertai Polis Sarawak pada usia 20 tahun pada 1964 dan pada 1968, beliau mula berkhidmat sebagai pegawai polis hutan melawan komunis.

“Saya berkhidmat lima tahun dalam hutan. Lima enam kali kena ambush dan ada anggota dan pegawai saya mati kena tembak. Jadi, saya pernah lihat peperangan dalam hutan,” katanya.

Sepanjang berada di hutan belantara di Sarawak, beliau hanya memikirkan untuk mempertahankan negaranya daripada ancaman komunis.

“Saya mempertahankan Malaysia ketika itu. Dia (komunis) nak menguasai Sarawak supaya ditukar menjadi kerajaan komunis. Itu tujuan utamanya.

“Saya bukan sahaja mempertahankannya supaya Sarawak tidak ditukar kepada komunis tetapi supaya ia tidak akan dianiaya dan menjadi kucar-kacir dan terkeluar dari Malaysia. Itu perkara sebenarnya. Mempertahankan kerajaan dan gabungan yang dipersetujui oleh pemimpin Sarawak ketika itu,” katanya.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai inspektor dan dalam tempoh dua tahun, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Asistan Superintenden Polis (ASP).

Tidak ramai juga yang tahu, beliau pernah berkhidmat di Polis Trafik Kuala Lumpur sebelum menamatkan kariernya sebagai anggota polis.

“Saya ditukar ke Kuala Lumpur untuk menjadi Timbalan Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur. Selepas mengkaji, saya mendapati bahawa jabatan trafik pada ketika itu sangat korup.

“Saya beritahu isteri saya, sama ada saya masuk penjara, atau jadi salah seorang daripada mereka. Saya tak nak jadi macam mereka, saya tak nak jadi korup dan saya tak boleh bertahan sendiri. Jadi, satu-satunya pilihan adalah berhenti,” katanya.

Disebabkan pengalamannya sebagai anggota polis, beliau membuat keputusan untuk menceburi bidang undang-undang dan membuka firma guaman di Kuching, yang dikenali sebagai Wan Junaidi & Co. Advocates.

Perjalanan hidupnya sebagai jurutera, anggota polis, pengamal undang-undang dan ahli politik membentuk dirinya sebagai pemimpin berwibawa, menjadikan beliau sebagai calon paling layak sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan.-UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN