PEJAM celik, 30 November lalu genaplah 100 hari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud diberi tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kelantan ke-19.
Mohd. Nassuruddin dilantik ke jawatan itu selepas penyandang sebelum ini, Datuk Ahmad Yakob membuat keputusan mengundur diri atas faktor kesihatan walaupun berjaya mempertahankan kedudukan sebagai ADUN Pasir Pekan pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu.
Pemilihan ADUN Meranti itu disifatkan sebagai ‘kejutan yang mengejutkan’ apabila ramai beranggapan Timbalan Menteri Besar sebelum itu, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah disebut-sebut akan naik ‘pangkat’ menggantikan Ahmad.
Bagaimanapun, telahan itu meleset apabila Mohd. Nassuruddin mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Balai Besar, Kubang Kerian pada 14 Ogos.
MENUNGGU PERUBAHAN
Sepanjang 100 hari diberi tanggungjawab, Mohd. Nassuruddin masih belum menampakkan tanda-tanda perubahan atau nafas baharu yang dibawa dalam pentadbiran serambi Mekah dapat dilihat menggunakan mata kasar.
Perubahan itu sememangnya dinantikan oleh seluruh rakyat Kelantan selepas Pas bersama rakan sekutu mereka, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) menang besar dengan memperoleh 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kemenangan tersebut menyaksikan Pas dan Bersatu memerintah Kelantan dengan majoriti lebih dua pertiga sekali gus membolehkan pelbagai pembaharuan dilaksanakan.
Perkara itu sepatutnya dimanfaatkan dengan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sebagai ‘balas budi’ di atas sokongan padu yang diberikan sehingga gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) hanya menang dua kerusi.
PAS MOLEK DOH
Bagi rakyat, Pas Kelate molek doh walaupun Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada 23 November lalu sekali lagi mencatatkan defisit sebanyak RM178.49 juta.
Bagaimanapun, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.61 bilion sebagai perancangan berbelanja untuk belanjawan bertemakan Kelantan Mampan Berkat Sejahtera.
Perancangan itu melibatkan pecahan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.15 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM468.36 juta.
JANGAN DABIK DADA
Gabungan Pas dan Bersatu tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan besar itu kerana seluruh mata 1.2 juta rakyat Kelantan yang layak mengundi lalu akan membuat penilaian ke atas pentadbiran Pas di bawah teraju Mohd. Nassuruddin dan pasukannya.
Pentadbiran kali ini, Mohd. Nassuruddin membawa masuk beberapa muka baharu berjiwa muda bertujuan memperkasakan pentadbiran Pas. Individu-individu yang dimaksudkan itu ialah ADUN Demit, Mohd. Asri Daud; ADUN Gual Periok, Zamakhshari Muhamad dan ADUN Guchil, Hilmi Abdullah.
Bagaimanapun, muka-muka yang berada dalam pentadbiran terdahulu masih lagi dikekalkan seperti ADUN Kemahang, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman; ADUN Kijang, Datuk Dr. Izani Hussin; ADUN Selising, Tuan Saripudin Tuan Ismail dan ADUN Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.
Mohd. Nassuruddin dan pasukannya perlu bekerja lebih keras dengan mengotakan semua 18 tawaran dengan 96 program sebagaimana ditulis melalui manifesto pada PRN lalu.
Walaupun bukan kitab suci, namun janji yang dibuat perlu ditepati selari dengan dasar Pas meletakkan Islam sebagai tunjang.
Sar, sar,
Je, je,
Menang besar,
Buatlah kerja.
Kor guano? – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










