PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Sabtu lalu menzahirkan keyakinannya bahawa percubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan menerusi usaha menukar sokongan atau ‘tebuk atap’ tidak akan berlaku berikutan sokongan padu yang diberikan Sarawak. Anwar berkata, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu pertemuan dengan beliau Jumaat lalu turut mengulangi pendirian tegas mengekalkan kerajaan perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sejauh manakah jaminan Abang Johari ini boleh diguna pakai? Bukankah dalam dunia politik, tiada kawan yang kekal abadi? Yang kekal hanyalah kepentingan. Perlu diingat, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, dahulu pernah menyindir GPS sebagai oportunis.
Tidak dinafikan sudah banyak tuntutan kerajaan negeri Sarawak yang telah dipenuhi oleh Anwar sehingga menyebabkan Abang Johari gembira.
Antaranya, gesaan Abang Johari pada 21 November 2022 supaya Kerajaan Persekutuan menyegerakan pembentangan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 (Akta 533) di Parlimen bagi membolehkan wakil dari Sarawak dan Sabah dimasukkan ke dalam Lembaga Pengarah Hasil Dalam Negeri di mana ini telah dilakukan.
Gesaan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 1 Disember 2022 bahawa kerajaan negeri menuntut agar tanah yang dirizabkan untuk kegunaan Kerajaan Persekutuan diserahkan semula apabila ia tidak dibangunkan melebihi lima tahun, juga sebahagiannya telah dipenuhi bila pada 18 Julai bersetuju untuk menyerahkan semula 53 lot tanah di Sarawak (dan dua lot tanah di Sabah) daripada keseluruhan 219 lot tanah yang tidak dimajukan.
Tuntutan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182 juga dipenuhi bila semua jabatan ini kuasa bagi mentadbir projek pembangunan Kerajaan Persekutuan dengan had nilai projek tidak melebihi RM50 juta.
Tuntutan kerajaan negeri Sarawak agar dibuat semakan ke atas Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga telah dipenuhi sebahagiannya melalui penyelesaian interim yang menyaksikan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D Negeri Sarawak) 2023 diwartakan pada 24 November lalu.
Melalui perintah ini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak bersetuju bahawa bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Januari 2023, Kerajaan Persekutuan hendaklah membuat kepada Sarawak berkenaan tahun kewangan 2023, 2024, 2025, 2026 dan 2027, pemberian masing-masing berjumlah RM300 juta, RM306 juta, RM312 juta, RM318 juta dan RM325 juta. Ini hampir 19 kali ganda berbanding Pemberian Khas RM16 juta sahaja sebelum ini.
Putrajaya juga memenuhi tuntutan Sarawak termasuk menyelesaikan kes mahkamah berkaitan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas). Sejak 2019 hingga Oktober lalu, Sarawak berjaya mendapat sekitar RM14 bilion daripada Petronas.
Pada 1 Ogos, Abang Johari berkata, kerajaan negeri diberi lampu hijau oleh Kerajaan Persekutuan berhubung permintaan supaya Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan pengambil alihan perkhidmatan penerbangan tempatan, MASwings.
LAMPU HIJAU
Pada 31 Oktober, Abang Johari mengumumkan di Bali bahawa Kerajaan Persekutuan memberi ‘lampu hijau’ kepada projek untuk Sarawak membekalkan tenaga elektrik ke Singapura sehingga 1,000 MW terutama sekali untuk kita mewujudkan kabel dasar laut yang dianggarkan sepanjang 720 kilometer dari Tondong, Sarawak terus ke Changi, Singapura.
Begitupun, masih ada lagi beberapa perkara penting menjadi tuntutan Sarawak yang belum selesai.
Abang Johari pada 21 November 2022 mahu Kerajaan Persekutuan yang baharu memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah Belanjawan Pembangunan tahunan kepada Sarawak. Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memperuntukkan RM5.4 bilion untuk Belanjawan Pembangunan kepada Sarawak adalah tidak mencukupi kerana ia hanya mewakili 5.7 peratus daripada jumlah Belanjawan Pembangunan Persekutuan.
Tuntutan 10 peratus ini bagaimanapun tidak dipenuhi oleh Anwar di mana beliau sekadar menaikkan jumlah peruntukan pembangunan kepada Sarawak menjadi RM5.6 bilion dalam Belanjawan 2023 dan sebanyak RM5.8 bilion dalam Belanjawan 2024.
Tuntutan besar lain kerajaan negeri Sarawak ialah supaya 35 peratus kerusi Parlimen adalah dari wilayah Sabah dan Sarawak berbanding 25 peratus atau 56 kerusi sekarang dengan masing-masing 25 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.
Pada 8 Oktober, Abang Johari mengumumkan satu jawatankuasa khas dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan ditubuhkan bagi meneliti cadangan untuk mewujudkan beberapa kawasan Parlimen baharu di Sarawak dengan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi menyatakan Sarawak harus dipertimbangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu.
Selain itu, tuntutan kerajaan negeri ke atas enam telaga minyak dan gas yang diumumkan ditemui oleh Petronas dalam lingkungan 200 batu nautika dalam perairan Sarawak pada 24 Julai lalu.
Jika semua ini dapat dipenuhi, ada satu lagi isu besar menanti, iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 2026. Abang Johari sejak 2 September lagi mengumumkan GPS akan bertanding di semua 82 kerusi dalam PRN ini. Apakah Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP yang mengetuai PH Sarawak, dan yang dijanjikan untuk mengetuai kerajaan negeri jika PH menang di negeri itu dalam PRN 2021 menerusi formula 4-4-3-3 PH dalam PRU14, akan membiarkan impiannya untuk berkuasa di Sarawak berkubur begitu sahaja?
Jika ini boleh berlaku, maka kerajaan perpaduan pastilah akan selamat hingga ke hujung penggal tetapi jika PH khususnya DAP, Sarawak yang ada autonomi sendiri ada perancangan lain, maka segalanya masih berkemungkinan. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis politik tempatan.










