KEMENANGAN Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang baru lepas adalah sesuatu yang dijangkakan. Tahniah diucapkan.
Walaupun percaturan itu sesuatu yang dilihat ingin menyaingi calon kerajaan perpaduan dari Barisan Nasional (BN), iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia disarafkan sebagai satu strategi awal Pas/Perikatan Nasional (PN) menawarkan calon Perdana Menteri, dimomokkan begitu.
Calon dikira profesional dan dikatakan telah berjaya membina tapak dan peluang mempromosi diri sebagai Menteri Besar Terengganu yang dengan sendirinya satu kelebihan berbanding calon baharu ditonjolkan oleh BN. Presiden Pas menyasarkan kemenangan majoriti 40,000 undi, namun sedikit tersasar.
Apatah lagi bila seorang bekas penjawat tinggi ATM yang terpilih mewakili Parlimen Ketereh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat tidak sepadan dengan kedudukan sebelumnya dalam berperanan di Parlimen sehingga ia menjadi satu disadvantage kepada calon BN itu sendiri.
Begitu sekali Pas khususnya melambung Ahmad Samsuri. Sepanjang mengenali Ahmad Samsuri di United Kingdom (UK) apatah lagi bersama dalam organisasi Hizbi, sayap Pas di UK masa itu, tiada apa kelebihan besar yang saya boleh lihat selain sikap peramah dan mudah senyumnya. Ketokohannya tidaklah menonjol mana.
Sepanjang beliau melanjutkan pengajian sarjana dan doktor falsafah (PhD) di Leeds, jawatan paling tinggi Ahmad Samsuri dalam Hizbi adalah sebagai Timbalan Presiden semasa Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Fadzli Hassan sekarang menjadi Presidennya dan saya menjadi Setiausaha Agungnya. Beliau dikira lebih lama terlibat berbanding Fadzli yang aktif bersama hanya semasa pengajian PhD di Birmingham dan tidak semasa pengajian sarjana di Warwick sebelumnya.
Kedua-dua mereka adalah pelajar ijazah lanjutan manakala saya masih dalam pengajian ijazah pertama perubatan, satu suasana cukup mencabar khususnya berada di tahun empat/klinikal pengajian untuk menjadi setiausaha kepada sebuah organisasi yang agak besar.
Dibandingkan dengan Dr. Syed Azman Syed Nawawi, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dikenali oleh Presiden Pas seawal pengajian di Amerika Syarikat dan kemudiannya menjadi Presiden Hizbi juga di UK, kehadiran Ahmad Samsuri tidaklah begitu dirasai dalam keluarga besar Pas di Malaysia sehinggalah beliau diprojekkan untuk menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden Pas menggantikan Syed Azman.
Beliau memainkan peranan berkesan dalam Pas selepas itu sehingga dikatakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, beliau bersuara melebihi Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) sendiri walhal hanya hadir sebagai jemputan.
Tatkala memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, bermula beliau turun naik mengenali orang-orang politik khususnya di pejabat-pejabat kerajaan. Saham beliau dilihat terus menaik khususnya bila dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu.
REPUBLIK BESUT
Sebagai rakyat Terengganu dari ‘Republik Besut’, beliau berhadapan cabaran kerana kerusi panas Menteri Besar ini diintai oleh banyak pihak yang memainkan sentimen kenegerian. Khususnya juga pertikaian dalam kalangan berpendidikan agama yang kurang senang dengan pendekatan dan penampilan beliau. Kerasnya imej Pas Terengganu tidak diwarisi oleh sosok Ahmad Samsuri.
Golongan profesional dan teknokrat sentiasa dilihat pesaing kepada kedudukan dalam parti oleh mereka dari latar belakang agama. Khususnya dalam zaman yang memerlukan kemahiran teknologi maklumat (IT) dan skil interpersonal dalam menampilkan imej politik yang lebih lunak dan kontemporari. Namun, penguasaan golongan agama yang lebih dilihat sebagai ‘perisai sebenar’ kepada keutuhan sebuah organisasi atau lebih tepat harakah/gerakan meletakkan kelebihan kepada mereka dalam kedudukan parti.
Berbalik kepada calon Perdana Menteri, kehadiran Ahmad Samsuri pasti bukan secara tiba-tiba di kala ada penasihat kerajaan empat negeri yang terus menerus menyerang dan cuba menggugat kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mempertaruhkan Ahmad Samsuri dengan kata lain langkah untuk terus menggoyahkan kerajaan yang ada pastinya cuba membawa naratif bahawa pertukaran kerajaan masih boleh dibuat bila-bila masa bila ada pihak boleh ‘dipikat’ untuk menjatuhkan kerajaan sebagaimana ‘Langkah Sheraton’ sebelum ini.
Ini usaha jahat terus menerus cuba memberi paparan negatif kepada suasana politik negara yang implikasinya adalah kepada kestabilan cuba dirobek. Pastinya ia membawa sentimen tersendiri kepada kedudukan negara dan kehadiran pelabur-pelabur ke dalam negara. Dan inilah yang cuba dicapai. Bila semakin lambat perubahan dan penambahbaikan ekonomi dibawa, maka rakyat akan semakin meragui kemampuan kerajaan yang ada.
Politik mencari salah, merendah-rendahkan pihak lawan, bukan satu kejujuran dalam masa berusaha membawa negara keluar dari kemelut ekonomi yang dihadapi pascapandemik di saat kedudukan ekonomi dunia dilihat perlahan sepanjang 2023.
Menumpukan kepada kestabilan demi rakyat dan negara, bukan kerana sekadar mencari kuasa mahupun cubaan untuk menutup salah guna kuasa sebelum ini adalah langkah ke hadapan. Berpolitik ada hadnya.
Saya yakin Ahmad Samsuri hanya bidak dan umpan untuk menampakkan kelebihan Pas dan menggoyahkan kerajaan. Golongan agama dalam Pas tidak akan sama sekali membiarkan golongan profesional seperti Ahmad Samsuri berada di puncak kuasa kerana bagi mereka, hanya ulama layak memikul tugas itu. Golongan bukan ulama hanya alat di dalam Pas.
Golongan profesional hanya akan dipergunakan untuk memberi imej segar, kurang syadid/keras demi meraih lebih ramai penyokong dan ini dapat dilihat pada calon-calon yang terpilih khususnya dalam pilihan raya negeri, baru-baru ini.
Sampai masa nanti akan bertembung juga golongan profesional dan golongan agama dalam perebutan kuasa yang terus menerus berlaku dalam parti itu.
Semoga Ahmad Samsuri tidak lena dibuai mimpi hingga yang dikendong keciciran, yang dikejar terlepas. – UTUSAN
Dr. Rosli Allani Abdul Kadir ialah bekas pemangku Yang Dipertua Pas Kota Bharu.










