SELEPAS setahun memerintah, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi membuat beberapa keputusan sukar tetapi berimpak tinggi yang tidak berani dibuat oleh kerajaan-kerajaan terdahulu untuk menstrukturkan semula ekonomi bagi kepentingan jangka masa panjang negara.
Pada peringkat awalnya, banyak masa digunakan oleh kerajaan perpaduan untuk menyiapkan kerangka dan pelan Ekonomi Madani. Namun, setelah kesemua kerangka dan pelan ini siap, diluncur dan dibentangkan, maka asas dan hala tuju Ekonomi Madani menjadi semakin jelas kepada semua.
Antara yang penting ialah Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang diluncurkan 27 Julai; Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada 29 Ogos dan Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030, 1 September lalu.
Menghampiri penghujung 2023, asas dan hala tuju Ekonomi Madani yang lebih konkrit terserlah melalui pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 pada 11 September, diikuti pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.
Antara elemen utama Ekonomi Madani ialah meningkatkan pendapatan rakyat. Ini dibuat melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang memberdayakan golongan miskin tegar dengan kemahiran baharu selain menyediakan sistem dan infrastruktur lengkap bagi isi rumah rentan untuk menjana pendapatan.
Semua ini dibuat melalui tiga program rintis IPR, iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) bertujuan menangani kos sara hidup yang meningkat, kadar import makanan tinggi serta kebergantungan kepada pekerja asing.
Dalam masa sama, Skim Tunai Rahmah (STR) bagi membantu isi rumah rentan bukan sahaja tetap berjalan di mana sumbangan tunai berjumlah RM1.67 bilion diberi kepada 8.7 juta penerima dari golongan B40, malah nilai bantuan kepada isi rumah penerima STR termiskin turut ditambah sebanyak RM600.
Serentak itu, penstrukturan subsidi dilakukan melalui pengenalan subsidi bersasar ketimbang subsidi menyeluruh diamalkan selama ini bagi mengurangkan masalah ketirisan, memberi fokus kepada penerima yang layak dan meningkatkan jumlah subsidi dalam belanjawan.
Anjakan dasar besar berlaku dalam hal ini di mana subsidi kini disasarkan kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan bagi mengurangkan beban fiskal negara serta memberi lebih ruang untuk pelaburan pembangunan dan pembiayaan program-program kebajikan sosial lebih bersasar.
Subsidi menyeluruh selama ini menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM80 bilion setahun untuk memberi subsidi dan menyebabkan 20 peratus isi rumah paling berkemampuan menikmati 53 peratus subsidi bahan api. Subsidi bersasar memastikan bantuan diberi kepada golongan memerlukan sahaja.
Satu lagi elemen utama Ekonomi Madani ialah meningkatkan gaji dan produktiviti bagi mengatasi masalah pekerja yang telah lama dibelenggu isu gaji yang rendah dan tidak setimpal dengan produktiviti di mana lebih dua juta pekerja dalam sektor formal bergaji kurang RM2,000 sebulan.
SETIMPAL
Dasar Gaji Progresif yang diluluskan di Kabinet dan di Dewan Rakyat ini bersifat sukarela, berteraskan insentif dan berlandaskan produktiviti dengan membantu pekerja untuk mempertingkatkan kemahiran diri serta mengamanahkan majikan memberi ganjaran setimpal dengan produktiviti.
Dasar Gaji Progresif melindungi pekerja melalui gaji minimum dan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan selesa, memberi peluang kepada mereka untuk menaikkan kemahiran dan gaji secara sistematik serta meningkatkan produktiviti firma dan menaikkan gaji pekerja secara serentak.
Satu lagi elemen utama Ekonomi Madani ialah menjadi peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu ketimbang industri minyak dan gas melalui pengenalan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menggariskan 10 projek penjana berdasarkan enam tonggak tenaga untuk mempercepat peralihan tenaga Malaysia.
Pelan ini memfokuskan kepada usaha diversifikasi ekonomi, pendapatan dan pekerjaan daripada bahan api fosil kepada industri bersih yang lebih mampan dengan menyasarkan penggunaan tenaga daripada sumber rendah karbon, kerjasama tenaga antarabangsa, sasaran pelepasan karbon lebih ketat dan pembiayaan pelaburan hijau.
Seterusnya, visi untuk menawarkan Kuala Lumpur sebagai destinasi start-up (permulaan) digital yang dinamik dan sebagai satu pusat rangkaian hubungan start-up aktif melalui inisiatif KL20 bertujuan mengatasi masalah kebergantungan berlebihan ekonomi negara kepada syarikat korporat besar.
Selain itu, membantu syarikat-syarikat Malaysia memperluas pasaran dan mencapai potensinya dengan mewujudkan Zon Ekonomi Khas bagi menjalin kerjasama lebih erat antara Johor dan Singapura yang boleh menawarkan peluang lebih luas untuk menaikkan aliran pelaburan, aktiviti perdagangan dan modal insan.
Melalui kesemua peluncuran dan pembentangan ini, kerangka dan pelan Ekonomi Madani digaris dan dihuraikan dengan terperinci oleh kerajaan perpaduan tetapi lazimnya mana-mana kerajaan memerlukan masa sekurang-kurangnya satu penggal atau lima tahun bagi memastikan perancangan ekonomi berjaya menunjukkan hasil.
Dalam masa sama, petunjuk-petunjuk ekonomi membuktikan kerajaan perpaduan sedang memandu ekonomi negara ke arah lebih baik. Ini termasuklah kejayaan menaikkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua 2023.
Kejayaan lain termasuklah menaikkan nilai pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2023 kepada RM132.6 bilion, melebihi 60 peratus daripada sasaran, menurunkan kadar pengangguran kepada 3.4 peratus pada September 2023 serta menurunkan kadar inflasi kepada 1.9 peratus (September 2023).
Dengan asas dan hala tuju jelas, munasabahlah bila kaji selidik Universiti Utara Malaysia (UUM) ke atas 4,606 responden seluruh negara menunjukkan 83 peratus berpuas hati dengan kejelasan hala tuju Ekonomi Madani manakala 78 peratus yakin dengan kemampuannya membawa negara menjadi ekonomi yang kuat. – UTUSAN
PENULIS ialah mahasiswa Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan & Kewangan serta Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Perakaunan & Kewangan di UCSI University, Kuala Lumpur.










