Noktahkan kerjasama UMNO-Pas!

Noktahkan kerjasama UMNO-Pas!

UMNO harus membina semula kekuatan sendiri dengan kembali kepada perjuangan azali tanpa perlu bekerjasama dengan Pas. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presidennya yang juga ‘bakal Perdana Menteri ke-11’, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan keterbukaan untuk Pas bekerjasama dengan UMNO, syarat ditetapkan satu sahaja – ‘tapi melalui PN (Perikatan Nasional).’

Suatu ketika tiga tahun lalu, frasa ‘Pas tekad pertahan Muafakat Nasional (MN), kukuhkan PN’ telah meletakkan hubungan UMNO-Pas waktu itu dalam persimpangan.

Seolah-olah bersekutu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas mahu laba politiknya. Dengan UMNO pula mahu jadi ‘pisau cukur.’ Seakan Pas main ‘dua kolam’ untuk jadi kingmaker.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada sebab UMNO sangat marah dengan Bersatu. Ini ekoran sebahagian wakil rakyat UMNO yang menang atas tiket parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) melompat ke Bersatu. Bayangkan ramai ahli Parlimen Pas melompat ke Parti Amanah Negara (Amanah) yang kalau merupakan sekutu UMNO, apa agaknya kata Pas?

Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) meraih 79 kerusi Parlimen tetapi menyusut berdikit-dikit menjadi 42. Bab 18 ahli Parlimen dari Sarawak keluar membentuk gabungan baharu bukan persoalannya, tetapi nasib UMNO malang kerana daripada 54 kerusi Parlimen diraihnya, cuma berbaki 38 akibat pukulan lompat ke Bersatu.

Kerjasama Pas-UMNO menerusi MN yang juga sepatutnya berbaloi diteruskan setelah menang bergaya 7-0 dalam siri pilihan raya kecil (PRK) belum cukup memuaskan hati Pas untuk menjadikan MN kekal. Tujuh kerusi diraih undi majoriti besar terdiri daripada Slim, Chini, Kimanis, Tanjung Piai, Rantau, Semenyih dan Cameron Highlands kesemuanya dimenangi calon UMNO/BN. Pas pula gagal lebih awal lagi di PRK Seri Setia dan Port Dickson.

Tidak lama kemudian, bibit-bibit prasangka sentimen ‘abang besar’ terhadap UMNO berlegar di fikiran sebahagian pemimpin kanan Pas. Bak kata Confucius, tidak boleh ada dua ekor harimau atas sebuah bukit. Yang akhirnya bermula ‘Langkah Sheraton’ 24 Februari 2020 membawa Pas tidak menoleh lagi, terjun ke PN dikepalai Bersatu selepas PRK Slim, 29 Ogos tahun sama menuju sebulan kemudian ke PRN Sabah, 26 September.

UMNO semasa itu berbelah bahagi sekiranya 150 kerusi Parlimen berteraskan Melayu-bumiputera daripada 222 dibahagi tiga pula dengan Bersatu, selain Pas. Mengambil iktibar PRN Sabah, mendedahkan wajah sebenar Bersatu.

Semasa PRN Sabah, UMNO mahu bertanding kira-kira 40 kerusi. Dapat 32 kerusi, namun hanya menang 14. UMNO kalah di kubu-kubu kuatnya di Banggi, Pitas, Bongawan, Lumadan, Sindumin, Gum Gum, Sekong, Tungku, Kunak dan Kukusan.

Padahal sebahagian besar 10 kerusi ini UMNO sapu bersih pada PRU 2004, 2008 dan 2013. Daripada 10 kerusi, Pitas dan Lumadan dikekalkan sehingga PRU 2018. Realitinya, 10 kubu kuat ini tewas. Spekulasi ada tajaan calon Bebas daripada Bersatu untuk berlawan dengan calon UMNO sukar untuk dinafikan.

Lebih mengharukan atas faktor konsep gabungan, UMNO tidak berjaya menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah biarpun jumlah kerusi dimenanginya lebih daripada Bersatu.

Sebelum PN ditubuhkan lagi pun, difahamkan sudah ada percaturan dalam MN untuk menentukan agihan kerusi PRU15. Dikatakan terdapat 120 kerusi berteraskan Melayu, 30 kerusi lagi kawasan campuran, sementara 42 kerusi lain majoriti Cina. Difahamkan, kriteria ditetapkan:

PENCAK SILAT POLITIK

Pertama, status quo kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mana-mana calon UMNO atau Pas, kekal di tangan penyandang masing-masing. Kedua, parti yang meraih undi kedua tertinggi di kerusi kalah, dipersetujui menjadi calon mewakili MN.

Realitinya, tindak-tanduk Pas semasa PRN Melaka (8 November 2021) dan Johor (12 Mac 2022) membuka sisi Pas sebenar terhadap UMNO. Biarpun kalah teruk di kedua-dua PRN itu, Pas ‘tetap kata bukan kalah tapi belum menang.’

Apa yang pasti, Pas sudah makin cerdik dalam pencak silat politik. Buat julung kali dalam sejarah Pas moden sejak 47 tahun lalu, parti itu tiba-tiba berada dalam kerajaan PN sewaktu menyertai Bersatu.

Wakil-wakil rakyatnya berjawatan menteri, pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dan menggerakkan projek-projek mega di Kedah dan Kelantan. Peruntukan besar dari Pusat diperolehnya – yang belum pernah Pas nikmati selama ini.

Dalam kemelut yang dikatakan ‘pergeseran’ antara Pas-UMNO, pendek kata survival MN, ia bukanlah salah UMNO mahupun Bersatu. Tapi yang salahnya adalah Pas. Ijtihad apa yang diguna oleh Pas dan sekarang ijtihad apa pula yang diguna untuk bekerjasama kembali dengan UMNO?

Jika terus wujud ura-ura mahu mencantumkan semula kerjasama Pas-UMNO, perkara paling utama adalah isu pengagihan kerusi antara UMNO, Pas serta Bersatu. Tetapi jika formula ini, iaitu status quo kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi mana-mana calon UMNO atau Pas kekal di tangan penyandang masing-masing semasa dalam MN dahulu diguna pakai, bermaksud tiada kerusi untuk calon-calon UMNO bertanding di kesemua kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Justeru, ia mesti diberi formula mudah. Perlu dua, tiga kali draf. Sejak 50 tahun lalu, soal menentukan kerusi (pilihan raya) bukan mudah. Ia boleh diatasi jika ada iltizam padu untuk mewujudkan politik Melayu yang harmoni. Namun, realiti politik tanah air hari ini tidak payah bercerita pasal penyatuan Melayu, waima penyatuan ummah pun.

Usah beretorika sangat. Ini soal politik. Soal utamanya kedudukan, bukannya isu prinsip. Ia soal siapa menang, siapa kalah dan apa kesudahannya.

Apalagi daripada rombakan besar-besaran kerajaan perpaduan kelmarin, UMNO mendapat tambahan satu lagi kerusi menteri, menjadikan tujuh kesemuanya – sesuatu perlu dihargai ahli parti yang hanya memiliki 26 kerusi Parlimen.

Dengan pelbagai pengkhianatan yang telah berlaku, seharusnya UMNO sedar dan mengambil iktibar tentang keikhlasan Pas. Noktahkan sahaja kerjasama ini kerana semangat setia dan bersama hanya pada waktu Pas tidak mempunyai jawatan menteri dan GLC. Madah dan helah Pas untuk penyatuan umat Melayu jangan dilayan. Memang UMNO tidak kuat sekarang, namun sebagai sebuah parti keramat, kenapa harus bersama dengan entiti yang akhirnya akan mengkhianati?

Namun, berilah isyarat kepada akar umbi, Pas bukanlah sahabat sejati. UMNO harus membina semula kekuatan sendiri dengan kembali semula kepada perjuangan azali. Jangan didengari pujuk rayu Pas lagi. UMNO harus berdiri di kaki sendiri.

Kepada pihak yang masih terus memperjuang kerjasama Pas-UMNO, hayatilah pantun empat kerat ini:

Manisnya air kerana gula,
Enak dibuat minum petang,
Berkawanlah kita sampai ke syurga,
Jangan menikam dari belakang. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini