KALAU dulu sebelum tahun 2018 sekali bertapak, ‘masak’.
Tapi sekarang orang politik susah cari makan. Naik turun kuasa; sandang kemudian lepaskan jawatan bak biskut – sekejap ada sekejap tiada.
Ramai tak sempat kenal menteri. Sebab ikut PM dia yang sekejap itu. Entah kenapa.
Bersembang dengan pegawai seorang dua menteri minggu lepas, ada sampai patah hati ekoran majlis diatur di kawasan parlimen waktu ini sukar dapat sokongan atau tajaan orang korporat. Apalagi bercakap pasal kutipan sumbangan atau peruntukan untuk bantu program ahli parlimen atau MP (member of parliament) bersama masyarakat.
“Payah…,’’ kata seorang pegawai. Apabila ditanya kenapa begitu, jawabnya: “Kata mereka (korporat), MPs ini cepat sangat ‘keluar pintu’nya.
Betulkah begitu? Baik, kita uji sebentar. Boleh berikan nama menteri di jabatan perdana menteri? Siapa menteri luar bandar? Menteri Mosti? Menteri sumber asli? Menteri perpaduan? Menteri…eh!, eh!, eh!
Timbalan menteri? Lagilah susah hendak diingat nama. Inilah akibatnya jika kerajaan yang memerintah tidak cukup sepenggal. Apa lagi sampai tiga kali bertukar kerajaan. Lagi besar bahananya ‘kerajaan sekejap atau kerajaan tebuk atap’ ini ke atas rakyat bila mana ekonomi negara sekejap merudum, sekejap mencanak. Demam denggi. Sekejap di siang hari kebah, sebelah malam berselimut demam kura-kura terpaksa telan panadol.
KESEMPITAN HIDUP
Jadi, apa benda paling diingat oleh rakyat yang melekat di kepala. Jawapan paling A Plus – kesempitan hidup.
Kena berpijak di bumi nyata. Mana-mana kerajaan pun hari ini sukar hendak kawal kenaikan harga barang. Mustahil. Bila diumum penjawat awam akan naik gaji, dapat bonus, siaplah. Harga barang tiba-tiba naik di awal tahun. Bila naik, biasanya takkan turun-turun. Hujan sahaja yang turun.
Hendak bising-bising pasal harga barang naik pun macam menolak ombak ke laut… menyalak bukit, bukit tak runtuh. Harga barang tidak sama masa zaman Tun Mahathir jadi PM-4 (1981 hingga 2003) dengan beliau PM-7 (2018-2020). Sekarang era pesan barang shopee. Kes pick pocket, ragut bermotosikal atau rompak bank tidak ada lagi. Tiada tunai di tangan. Urusan kaunter di restoran dan warung di hujung kampung pun guna QR Code. WhatsApp jadi penghubung tegar. Main TikTok bagai. Takkanlah harga barang sekarang seperti lima, 10 atau 20 tahun lepas?
Nak marahkan kerajaan sebab harga barang naik dan kos hidup meningkat, kenapa? Waktu pilih wakil rakyat yang berjanji macam-macam sampai ‘gajah pun boleh terbang’, salah siapa?
Perhatikan yang basic ini – TikTok tidak sahaja melanda bandar-bandar besar, habis dibadainya kampung-kampung dan pedalaman. Orang kampung yang tua-tua pun lagi pandai olah benda alah ini. Masuk sahaja duit free dari kerajaan, tak kiralah ewallet, eMadani atau apa sahaja istilahnya, yang paling awal dibelanjakan adalah membeli data.
UBAH GAYA HIDUP
Tetapi kalau menteri minta ubah gaya hidup untuk harungi kehidupan serba-serbi mahal hari ini, boleh pula ‘engkau’ merentan-rentan. Alahai, nasi berlauk seketul ayam campur sayur pun harganya bukan macam dulu di Shah Alam. Tiada lagi bawah RM5. Nak masuk restoran nasi kandar harus jaga-jaga. Kalau tiada RM20 di tangan, jangan sekali.
Itu sebabnya masa hendak pilih calon pilihan raya, tengok dulu siapa yang mahu dipangkah. Kalau calon berjumpa pengundi asyik berjanji akan turunkan harga barang, tidak usahlah pangkah dia.
Barang diingat – politik hanya perlawanan satu hari (hari pengundian) – sekali dalam lima tahun. Hari-hari yang lain itu cakap-cakap membakar masa saja. Sekadar membina minda mabuk politik. Teruja seronok, tetapi rakyat marhaen tidak dapat apa. Kosong.
Perlu diingat satu yang cukup mustahak ini – ekonomi bersaing dan berlawan tiap hari. Tiap jam, minit dan saat. Umpama ada yang saluran pendapatan masuk seperti setitik air jatuh dalam baldi tiap saat. Kiralah setahun berapa banyak?
Jika 1sen x 60 saat x 60 minit x 24 jam x 365 hari, jumlah RM315,360 setahun. Itu belum masuk naik nilai tanah, bangunan dan aset pelaburan. Kalau 1 sen tiap saat maka jumlah jadi x2 = RM630,420 setahun. Mengembang tiap tahun, jadi juta ke belas juta dan puluh jutaan.
Jadi, kalau masuk bab Melayu berpolitik, elok sangat sudah tiba masanya buang kaedah berpolitik mengguna ras, agama dan cara menakut-nakut. Perlu jiwa besar dan berani menongkah cabaran dan menyelesai risiko. Lihat DAP, mereka berani dan mereka buat;
* Tarik Anwar/PKR (musuh)
* Tarik Tuan Guru Nik Aziz,
Tuan Guru Hadi Awang/Pas
(musuh)
* Tarik Tun Mahathir/Tan Sri
Muhyiddin Yassin/Parti
Bersatu
* Tarik Datuk Seri Zahid
Hamidi/UMNO/BN
* Tarik Sarawak
MENAKUT-NAKUT
Bukankah suatu ketika semua ini musuh ketat DAP? Segenap segi dari hal-hal peribadi, ideologi hinggalah bab agama dan parti. Kalau minda Melayu terus menakut-nakutkan sesama sendiri, terus tolak cabaran tanpa mahu berdepan selesaikan risiko, elok duduk di bawah tempurung selamanya.
MP dan ADUN yang cekap menilai untuk berubah mengikut arus global dunia masa kini ke arah kebaikan dan piawaian tinggi, akan terus relevan.
Persoalannya – masih laku kah lagi ahli parlimen atau dipanggil MP ini di mata rakyat?
Jawabnya: Ya, masih. Sebab kalau wakil rakyat itu berbisa, dia akan `laku keras’. Kita rakyat pasti ingat sumbangan, komitmen dan jasa dia.
Fikirkan politik seperti perniagaan…berani, berani dan berani. Bukan menakut-nakutkan. Masih taktik lama. Helah lama tidak menarik kepada orang muda. Mereka mahu hasil ekonomi, bukannya hanya kemenangan politik.
Berhenti melakukan perkara yang sama dengan cara yang sama. Tiada peta jalan untuk menang. Tiada gunanya bertarung dengan kekalahan. – Mingguan Malaysia










