Benarkah sistem kuota menindas bukan Melayu?

Benarkah sistem kuota menindas bukan Melayu?

APA-APA jua dakwaan wujudnya sistem kuota dalam sektor pendidikan hendaklah ditangani dengan cermat agar perasaan etnik Melayu dan bumiputera tidak terguris manakala etnik bukan Melayu pula berasa puas hati. – FACEBOOK UTEM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAKWAAN bahawa sistem kuota yang diamalkan di negara ini dalam beberapa sektor antaranya pendidikan bukan sahaja tidak adil, juga menindas, iaitu menganiaya lagi kejam adalah serius. Ia menjadi lebih serius apabila dilakukan dalam majlis pendidikan yang formal lagi mulia, iaitu konvokesyen dan pula oleh pemenang kepada anugerah pengajian tinggi paling berprestij.

Selain bersifat rasmi kerana disampaikan dalam majlis formal yang ikut dipenuhi pelbagai istiadat, ucapan tidak tahu adat itu bukan sahaja mengejutkan hadirin kerana ia majlis ceria yang sepatutnya dipenuhi segala macam ceritera kejayaan. Ia ikut menyentak banyak pihak di seluruh negara yang mendapati dakwaan itu tidak sepatutnya dibuat pada majlis seformal dan semulia itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia semacam serangan hendap, iaitu penentangan tiba-tiba daripada satu pihak terhadap pihak lain yang sesekali tidak menyangkanya, apatah lagi bersedia melawan sewaktu disergap. Lebih malang lagi serangan itu datang dari dalam, iaitu dalam kalangan lulusan yang bukan sahaja perlu sama-sama menjayakan upacara itu. Juga semua yang hadir dalam majlis itu berasa kurang selesa akibat perlakuan yang tidak kena pada tempatnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan dakwaan itu, yakni sistem kuota sebagai dasar yang memerlukan peratusan tertentu diambil daripada sesuatu kelompok tertentu sahaja sekiranya benar sekali pun, hendaklah dibuat secara dalaman dan bukan sesekali secara luaran seperti telah dilakukan itu. Ia yang berlaku sedemikian mungkin disebabkan dakwaan itu tidak diendahkan sebelum ini sehingga ada keperluan mendesak untuk dibuat secara terbuka bagi mendapat perhatian hadirin majlis itu dan juga mereka di luar.

Dakwaan itu tidak dapat dielakkan daripada dilabel sebagai bersifat kekauman, iaitu berlaku antara kelompok daripada etnisiti berlainan. Dalam hal ini, ia secara umumnya antara etnik Melayu dan bumiputera dengan bukan Melayu.

Sehubungan sifat kekauman ini, ia boleh dengan mudah sekali menjerumus kepada sikap perkauman, yakni perasaan buruk sangka terhadap etnisiti tertentu.

Apa-apa jua dakwaan wujudnya sistem kuota dalam sektor pendidikan hendaklah ditangani dengan cermat. Sehubungan ini, ia ibarat menarik rambut dalam tepung agar rambut tidak terputus dan tepung juga tidak berselerak. Dengan ini, perasaan etnik Melayu dan bumiputera harus dipastikan tidak terguris dengan etnik bukan Melayu pula yang berasa puas hati.

Sebenarnya sistem kuota ini adalah sebahagian penting dalam tindakan afirmatif di negara ini. Ia tidak selalunya memihak kepada hanya sesuatu kelompok, iaitu etnik Melayu dan bumiputera pada setiap masa. Kekadang ia juga digunakan untuk menjaga kepentingan etnik bukan Melayu. Ini kerana tindakan afirmatif adalah satu set prosedur yang direka khas untuk mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangkan ketidakseimbangan yang kekadangnya telah terlepas pandang.

NEGATIF

Dengan ini, ia boleh digunakan untuk menangani ketidakseimbangan yang berlaku kini pada mana-mana kelompok dan sudah tentu dapat mengelakkannya pada masa mendatang.

Sehubungan ini, sistem kuota sebenarnya adalah antara langkah terbaik untuk memastikan kelompok yang didapati kurang diwakili dalam sesuatu sektor itu diberikan peluang untuk sama-sama menyertainya. Walaupun didakwa sebagai penindasan oleh pihak tertentu, sistem kuota ini sebenarnya tidaklah selalunya bersifat negatif pada sepanjang masa, biarpun kepada pihak yang dirasakan tertindas itu. Ini kerana dengan adanya sistem kuota ini, banyak pihak boleh dibina kapasiti dan keupayaan mereka dengan kadar segera. Ini penting agar mereka ini bukan sahaja tidak ketinggalan lagi dalam sektor tertentu itu, juga membolehkan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan yang sudah berjaya.

Meritokrasi, yakni kaedah pemilihan berdasarkan kebolehan semata-mata yang dicadangkan sebagai gantian sebenarnya tidak selalunya baik pun pada setiap masa, waima untuk kelompok yang merasakan diri mereka sudah sangat baik. Ini kerana ia didapati tidak mampu memberi peluang yang saksama kepada semua dari segenap segi. Sehubungan ini, meritokrasi sebenarnya gagal memberi kebaikan mutlak kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Dalam pada ini, ia didapati hanya baik lagi menguntungkan kepada golongan elit lagi kaya walaupun semua peraturan meritokrasi dipatuhi oleh semua pihak. Dalam perkara ini, golongan elit lagi kaya ini tidak dapat dinafikan mampu memberi pendidikan unggul kepada anak mereka menerusi kemudahan pendidikan terbaik. Dengan ini, anak mereka akan senantiasa menjadi sangat baik mengikut dasar merit.

Ini berbeza dengan golongan bukan elit dan tidak kaya yang hanya terdaya membekalkan pendidikan cemerlang kepada anak mereka yang diperolehi daripada institusi pendidikan awam. Oleh itu, mereka yang mendapat pendidikan unggul sudah tentu memiliki merit yang jauh lebih tinggi lagi baik untuk meraihkan tempat terhad dalam pelbagai bidang pengajian tinggi yang kritikal.

Natijahnya di sini ialah meritokrasi didapati tidak selalu berdaya untuk merapatkan, apatah lagi terus mengatasi jurang ketidakseimbangan di mana-mana negara berdasarkan pencapaian semata-mata. Oleh itu, sistem kuota masih diperlukan untuk memastikan ramai anak yang taraf sosial ibu bapa mereka rendah, terus mempunyai peluang untuk memperoleh pendidikan tinggi dalam semua bidang pengajian kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan lain-lain.

Sebetulnya sistem kuota ikut memberi manfaat kepada etnik bukan Melayu dari semasa ke semasa agar tidak terus ketinggalan dalam sesetengah sektor awam di negara ini. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×