UMNO rugi besar tolak profesional muda

UMNO rugi besar tolak profesional muda

PENUBUHAN DAP Parit merupakan satu sejarah kerana ditubuhkan di kawasan hampir 100 peratus Melayu di Perak Tengah yang terkenal dengan semangat Melayunya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA bekas pemimpin UMNO cawangan di Bahagian Parit di Perak bersama lapan lagi ahli parti itu menyertai DAP, baru-baru ini. Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Cawangan UMNO Titi Gantung, Abdul Mukmin Abd. Rashid dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Pekan Parit, Rosman Esa yang menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi DAP Parlimen Parit, Tarmizi Mohd. Jam.

Abdul Mukmin merupakan seorang profesional muda yang mempunyai pendidikan tinggi dan kini mempunyai syarikat berkaitan farmasi. Sejak belajar di Bandung, Indonesia lagi dia telah bergiat aktif dalam UMNO di universiti tempat beliau belajar.

Apabila balik kampung, dia aktif dalam parti sehingga terpilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Cawangan. Dia mencuba nasib dalam pemilihan bagi jawatan ketua bahagian itu, namun dua kali kalah. Abdul Mukmin mendakwa dia ditolak UMNO bahagian itu, lalu membuat keputusan menyertai DAP.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengalaman Abdul Mukmin itu mungkin bukan kes terpencil, mungkin banyak lagi kes sedemikian membabitkan golongan muda terpelajar, profesional yang sukar melonjakkan diri dalam UMNO. Adalah dikesalkan jika golongan sedemikian diketepikan ketika peringkat kepimpinan parti mahu melihat lebih ramai golongan muda, profesional dan cendikiawan menyertai parti itu.

Akibatnya, mereka memilih platform lain untuk meneruskan perjuangan kerana golongan ini mempunyai kebolehan, semangat dan profesional.

Abdul Mukmim mendakwa golongan muda profesional sepertinya sukar untuk mendapat tempat, sukar menembusi penguasaan ‘golongan elit’ yang menguasai peringkat bahagian.

“UMNO mengamalkan senioriti dalam parti, bukannya merit.

“Kami dianggap sebagai budak mentah, sampaikan nak bertanding pun kena minta restu terlebih dahulu,” dakwa Abdul Mukmin.

Adalah merugikan apabila kumpulan yang berpotensi dan berwibawa untuk menyertai UMNO ditolak. Tidak sepatutnya amalan pilih bulu di peringkat bahagian masih lagi wujud.

Dengan perubahan politik yang drastik, UMNO perlu sedar parti ini bukan lagi satu-satunya tempat politik untuk orang Melayu. Orang Melayu mempunyai parti-parti lain seperti DAP, PKR mahupun Parti Amanah Negara (Amanah).
UMNO bukan pilihan tunggal untuk orang Melayu berjuang.

Jika golongan profesional muda ini ditolak, apa lagi pilihan yang ada pada mereka? Mungkin di peringkat pimpinan tertinggi parti membuka pintu dan menerima golongan muda profesional ini tetapi pemimpin peringkat lain sebaliknya.

Ini menyebabkan golongan muda profesional tidak berpuas hati serta kecewa dan akhirnya mereka berpaling kepada parti lain yang dilihat lebih terbuka dan boleh naik secara merit.

Dalam hal ini sudah tentulah UMNO sendiri yang rugi apabila golongan muda semakin menjauhi parti berkenaan. UMNO sewajarnya melihat parti rakan mereka dalam kerajaan khususnya DAP yang dianggotai ramai profesional muda yang mudah mendapat tempat.

Walaupun muda, seseorang boleh diangkat sebagai pemimpin berdasarkan merit dalam parti. Sesuatu yang perlu direnung, DAP semakin diterima orang Melayu terutama golongan muda apatah lagi DAP kini dalam kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).

Golongan muda semakin mengubah pandangan terhadap DAP, mungkin bagi mereka tiada beza masuk UMNO atau DAP, atau PKR dan Amanah.

Mereka dalam DAP masih Melayu, DAP juga sama macam UMNO, hanyalah sebuah parti politik.

Malah satu aspek yang mula kelihatan ialah orang Melayu luar bandar seperti di Parit yang majoriti penduduknya Melayu sudah mula menerima DAP. Jika dahulu mungkin ada gurauan penubuhan DAP Parlimen Parit sekadar angan-angan, namun siapa sangka ia kini menjadi kenyataan.

Apa yang menarik, DAP Parit diketuai Melayu dan ahlinya Melayu. Ia bahagian DAP pertama di negara ini yang diketuai Melayu dan ahlinya Melayu. Penubuhan DAP Parit sebenarnya satu sejarah yang mana parti itu dapat ditubuhkan di kawasan hampir 100 peratus Melayu di Perak Tengah yang terkenal dengan semangat Melayunya.

Semasa melancarkan DAP Cawangan Parit, Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham berkata, dahulu jika DAP masuk kawasan Melayu, pasti tidak diterima tapi kini tiada halangan.

Melihatkan perubahan politik semasa, UMNO perlu lebih terbuka menerima profesional muda yang mahu berkhidmat bukan hanya kepada parti tetapi matlamatnya membela rakyat. Satu kerugian besar buat UMNO jika kehilangan atau pun ditolak profesional muda yang berpotensi sebagai pemimpin masa depan parti dan negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini