TVET: Janganlah teruja sangat

TVET: Janganlah teruja sangat

Tumpuan terhadap TVET seiring perkembangan semasa ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebakangan ini, saya banyak menerima mesej WhatsApp daripada rakan dan kenalan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menggambarkan ia ibarat durian runtuh yang bakal berubah untuk menjadi lebih baik sekelip mata. Umpama lampu Aladin yang hanya perlu digosok untuk mendapatkan keajaiban sekelip mata.

Oleh kerana saya dikenali sebagai Mr. TVET, maka ramailah yang menghantar pelbagai berita berkaitannya dari semasa ke semasa. Terbaharu, pengumuman memperkasakan TVET dalam Belanjawan 2024 diumumkan Perdana Menteri (PM) yang juga Menteri Kewangan, bulan lalu, berjumlah RM6.8 bilion (kononnya paling tinggi dalam sejarah). Selain itu, pelbagai inisiatif TVET di bawah program Kerjaya Madani dan cadangan kerajaan mahu menghantar pengajar dan pelatih TVET ke luar negara untuk mendapatkan pendedahan industri.

Ramai menghantar berita-berita itu bukanlah mereka yang bergiat dalam pembangunan TVET seperti saya. Tetapi mereka ini bolehlah dianggap sebagai warganegara yang prihatin terhadap dasar negara khususnya pendidikan TVET. Mereka pastinya begitu teruja dengan semua pengumuman tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, apabila meminta pandangan saya, maka jawapan ringkas dan berterus-terang saya ialah, “Saya langsung tidak teruja.” Ramai juga yang ketawa mendengar jawapan saya kerana mereka tahu saya sudah berpengalaman dalam hal-hal sedemikian. Mengapa saya memberikan respons sedemikian?

Saya sudah terlibat dalam bidang TVET lebih 25 tahun. Selain menjadi pengajar dari peringkat sekolah hinggalah pengajian tinggi, saya juga pemilik pusat latihan kemahiran swasta selama 20 tahun. Di samping itu, atas kredibiliti dalam TVET, saya dijemput dan dilantik dalam proses pembinaan dasar, menjadi jawatankuasa penasihat dan teknikal, rakan strategik pembangunan TVET dan membangunkan industri tersebut hingga ke hari ini.

Bonus kepada saya ialah kerjasama membangunkan TVET di peringkat antarabangsa. Maka sudah pasti saya mempunyai pengalaman agak luas untuk melihat perjalanan TVET negara dari dahulu hingga kini. Tanpa mendabik dada, ada PM memberi kepercayaan secara langsung kepada saya untuk membantu menjayakan TVET yang menjadi gagasan modal insannya.

Ketika menulis rencana ini, saya berkesempatan mendengar pandangan pelbagai pihak tentang perjalanan TVET hari ini yang merumuskan beberapa perkara, iaitu hala tuju TVET negara yang masih belum benar-benar jelas, malah pelaksanaannya juga banyak yang masih kelam-kabut dan berserabut.

Contoh paling jelas ialah pengurusan bajet di peringkat kerajaan sendiri kerana di saat kerajaan mahu menawan hati rakyat dengan pengumuman peruntukan sebanyak RM6.8 billion baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris memaparkan di muka hadapan tentang kegagalan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) meluluskan peruntukan 2023 akibat kelewatan kerajaan membuat keputusan untuk melantik Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah PTPK.

Banyak keputusan penting seperti pembaharuan pendaftaran pentauliahan pusat bertauliah, kuota pinjaman, elaun permohonan baharu tidak dapat diluluskan sejak kerajaan perpaduan mengambil alih pemerintahan negara, November 2022.

Ramai pelajar mengambil keputusan menarik diri daripada latihan kerana kesempitan kos sara diri dan yuran tidak mampu dibayar.

Pusat latihan pula berhadapan risiko kewangan sangat tenat. Itu belum lagi pelbagai masalah lain PTPK yang sudah berlarutan sekian lama dan menjadi isu sepanjang masa turut didedahkan media saban tahun.

Beberapa inisiatif seperti Kerjaya Madani dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia juga ibarat melepaskan batuk di tangga kerana berhadapan situasi tidak bersedia untuk mengendalikan program berkenaan. Saya menerima banyak aduan dan mengalami sendiri kelembapan perjalanan program di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berhadapan kerenah birokrasi kerana menggunakan sistem pengurusan dalam talian yang lemah serta kakitangan mungkin tidak berpengalaman dan mencukupi bagi membolehkan keputusan dibuat dengan cepat, cekap dan berkesan.

CALON KECEWA

Contohnya, proses pengesahan kelayakan calon peserta yang kononnya akan mendapat keputusan dan kelulusan dalam tempoh dua minggu hari bekerja berlarutan lebih sebulan. Ramai calon kecewa kerana menunggu terlalu lama untuk menjalani latihan sehingga menarik diri. Penyedia latihan pula mengalami kerugian kerana telah mengeluarkan kos untuk mendapatkan peserta dan lain-lain persediaan.

Hal ini diluahkan dengan emosi oleh penyedia latihan dalam mesyuarat secara dalam talian dengan Perkeso. Respons Perkeso pula seolah-olah meminta semua pihak bersabar dan meredai kelemahan yang berlaku walaupun hakikatnya, kelewatan adalah kerugian masa, belanja dan harapan semua pihak.

Satu lagi isu masih membelenggu pusat latihan awam dan swasta ialah kesukaran mendapatkan calon pelatih kerana kegagalan kerajaan membentuk generasi TVET sejak di peringkat sekolah seperti dahulu. Hairannya, perkara pokok ini masih belum menjadi keutamaan kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan untuk melaksanakannya di peringkat sekolah. Masih belum kedengaran apa hala tuju TVET di peringkat sekolah dan apakah pengisiannya.

TVET adalah ibarat pepatah orang tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Inilah antara punca utama mengapa TVET dan tenaga kerja di peringkat pengoperasian teknikal di negara kita terlalu lemah. Kebanjiran pekerja asing dengan kelemahan penguatkuasaannya pula menambahkan masalah berlipat kali ganda kepada negara. Sehingga budaya samseng melanggar undang-undang, adat dan budaya negara semakin menakutkan. Semuanya kerana kita tidak mengasuh dan menyusun pendidikan TVET yang baik sejak di bangku sekolah.

Akhir sekali, saya juga tertanya-tanya kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diketuai Datuk Seri Mohamad Sabu, apa jadi dengan hasrat kerjasama kami dengan kementeriannya untuk menampung keperluan tenaga mahir dalam sektor sekuriti makanan yang menjadi isu kritikal negara? Komitmen kerajaan sebelum ini ditangguhkan kerana ada kerajaan baharu tetapi kelewatannya turut mendapat perhatian PM dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sendiri.

TPM yang saya temui beberapa bulan lalu mengutus surat kepada Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Lokman Hakim Ali yang turut menegaskan hal ini untuk dijayakan segera demi masa depan sekuriti makanan negara tetapi hingga kini, hampir setahun senyap sunyi. Jika ketegasan PM dan TPM pun ‘dibakul sampahkan’, siapakah komander negara yang mahu dipatuhi dan dihormati?

Maka dalam hal TVET ini, banyak situasi yang saya tidak teruja, malah meramalkan tiada apa yang istimewa akan berubah. Malah, sebenarnya hanya meneruskan kegagalan rangka kerja silam.

Teringat saya titah Tunku Mahkota Johor dalam satu rancangan temu bual yang viral masa ini kerana memberi respons terhadap kepimpinan kerajaan hari ini dalam bahasa Inggeris, lebih kurang berbunyi: “A vision devoid of action will remain an illusion.”

Saya memang belum teruja, malah sangat bimbang dengan masa depan TVET negara! – UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×