‘Talkin’ untuk ranking

‘Talkin’ untuk ranking

Dzulkifli Abdul razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOVEMBER merupakan bulan keramat bagi kerjaya saya sebagai ahli akademik. Pada 1 November, lebih 40 tahun lalu, saya melangkah masuk ke dunia idaman sendiri – dunia ilmiah yang didampingi semenjak belajar di Universiti Sains Malaysia (USM). Amat sesuai dengan jiwa saya yang dipupuk untuk mempedulikan kebajikan masyarakat setempat. Pulau Pinang sememangnya tumpuan kegiatan kepenggunaan serta penjagaan alam sekitar yang aktif lagi berani. Berani kerana benar demi mencari keadilan dan kesaksamaan teramai.

Kehidupan kampus ketika itu amat subur dengan pengertian pendidikan. Naib canselor serta para pensyarah menggalakkannya sebagai sosok penting dalam pembelajaran dan menimba ilmu secara langsung. Masyarakat menjadi gelanggang bertindak dan menjalin hubungan dengan anggota yang prihatin tanpa bertolak ansur. Kampus pula terbuka luas untuk bekerjasama dalam mendapatkan ilmu yang sesuai serta berkesan daripada para pakar yang ada lagi bersimpati. Suasana ini amat membina dan luwes.

Pensyarah dan pelajar berganding bahu berkecimpung membangunkan tamadun berilmu yang sihat. Nadanya akrab, gara-gara pensyarah membonceng motosikal pelajar untuk pergi memberi kuliah, kadangkala sebaliknya. Terkenang akan sebuah kereta sport model lama kepunyaan seorang pensyarah agak popular kerana penyampaian kuliah mengujakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Umumnya USM terkenal kerana kedudukan mereka ini di mata. Dihidangkan pula dengan cara dan gaya tersendiri, menjadikan kampus kaya merentas pelbagai pengalaman dan pandangan teliti. Tidak sembrono, ikut-ikutan membuta.

Naib canselornya tidak kurang terlibat dengan kegiatan pelajar serta kakitangan. Sering berunding bertukar fikiran dalam menggali ilmu seadanya. Tanpa segan silu kerana ia amanah. Kewibawaan ilmu lebih tinggi nilainya daripada kewibawaan pangkat dan kedudukan. Wajar ditegur apabila tidak setuju, bukan kerana kita pro atau anti sesiapa.

Keadilan lebih mutlak daripada kuasa.

Maka USM terkenal sebagai ‘universiti suka melawan’ sebagai ungkapan sesuai dengan cogan universiti, Kami Memimpin dalam serba-serbi. Maka tidak hairanlah ia terkenal sebagai universiti kedua negara – University of Penang (UP) sebelum ditukar namanya. UP bererti menaik ke atas! Sentiasa cemerlang dan gemilang.

Tiada rujukan ranking atau ukuran itu dan ini. Indeks petunjuk utama (KPI) atau angka ataupun peratusan bukan istilahnya. Begitu juga ‘kebolehpasaran’, ‘GOT’, ‘modal insan’ dan pelbagai lagi istilah yang dicedok untuk mempermodalkan pendidikan sebagai bahan jual beli melalui amalan ranking bersandarkan selera pasaran. Sekali gus universiti menjadi kilang manusia beramai-ramai yang lali kepada naluri persekitaran dan masyarakatnya! Hatta bersaing bukan kerana kayakan ilmu dan pengalaman tetapi rakus kebendaan dan keselesaan diri.

Suasana kampus pun mula berubah. Kereta sport lama berkisar, diganti dengan kereta mewah dibawa balik oleh para pelajar apabila selesai pengajian mereka. Biarpun second hand tetapi tetap bergaya! Tiada yang membonceng lagi, suatu isyarat yang dunia pensyarah dan pelajar mula renggang dan suasana ilmiah mula goncang. Politikus memukul canang yang kampus perlu dikawal dan dipantau rapi sehingga pemikiran terbantut dan kaku.

Birokrasi dibawa masuk dengan kental, tidak beda dengan jabatan kerajaan tulen! Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dijadikan tonggak universiti berbudaya korporat dengan bahasa dan lenggok yang menyisihkan budaya ilmiah, cukup berlawanan dengan budaya cendekiawan yang disuburkan selama ini, sewajar amalan sejagat dunia luar negara, lagi global. Agenda ‘mengkorporat’ universiti didasari pula dengan amalan ‘apa yang dapat diukur, akan mudah dilakukan’, umpama sebuah perusahaan serta perkilangan lambakan.

PENJAJAHAN AKAL

Kualiti tidak terletak kepada angka yang ditakrifkan sebagai ‘terbaik’ atau bertaraf dunia, kononnya. Apa lagi tidak ada kena mengena dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam kerangka negara sendiri. Bukankah mereka penjajah minda dan jiwa? Sudah lupa.

Maka di atas kesan penjajahan ini, ramai terheret ke kancah ranking oleh syarikat berjiwa penjajah seperti dahulu kala! Selepas 66 tahun laungan merdeka, mereka masih mewarnai pendidikan negara dengan falsafah modal insannya yang kita telan bulat-bulat! Seolah-olah enggan berfikir seperti diilhamkan AUKU berdekad lamanya, dikemudikan oleh para menteri tersenyum lebar.

AUKU memudahkan urusan bersubahat dengan industri dalam menyelewengkan erti dan maksud pendidikan, songsang daripada hikmah FPK. Siapa yang membantah ditepis ala AUKU. Dihukum yang menyempitkan lagi dunia pendidikan gubahan baharu. Ranking hidup subur meratah pendidikan hakiki!

Apa pun yang telah berlaku, ada satu kejutan tidak diduga minggu lalu. Laporan berita pada 1 November memaklumkan satu kajian oleh Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) menekankan, ranking membawa beberapa tabiat yang buruk lagi membahayakan. Dan menghasilkan kesan negatif jangka panjang.

Organisasi yang terlibat tidak langsung bertanggungjawab kepada orang ramai, masyarakat ilmiah atau kerajaan. Sebagai organisasi swasta yang berpaksi keuntungan semata-mata menggunakan maklumat dari sumber tertentu, hampir tidak merujuk kepada pihak universiti terlibat. Tambahan jadual liga persaingan yang dikeluarkan tidak tepat atau tidak sesuai untuk membayangkan mutu atau nilai sebenar mana-mana universiti.

Prestasi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pelbagai peranan universiti lain tidak bermakna melalui satu angka tunggal diberikan atas kekhuatiran dari segi kaedah dan pendekatan ranking yang diuar-uarkan dewasa ini. Yakni, ranking adalah satu usaha samar-samar.

Dari segi konsep, ranking tidak dapat diterima. Andaian yang digunakan begitu juga. Tidak salah jika dikatakan berlaku pembohongan besar mengkaburi ‘mata’ apabila kepelbagaian universiti cuba dinyahkan sama sekali. Jelas, kepalsuan ranking sudah pun dibongkar sejak dahulu lagi. Malangnya tidak diendahkan sahaja. Kali ini tidak dapat dinafikan lagi apabila UNU sendiri membacakan ‘talkin’ untuk ranking. Hentikanlah perbuatan sia-sia ini. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×