Sebat, boleh menginsafkan atau kejam? - Utusan Malaysia

Sebat, boleh menginsafkan atau kejam?

SEORANG warga Bangladesh dihukum penjara 22 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban baru-baru ini kerana melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya sehingga melahirkan anak. – MINGGUAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING kita terbaca bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan-kesalahan tertentu mereka akan dikenakan hukuman sebatan.
Contohnya, kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di bawah Seksyen 39A(2), boleh dikenakan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika disabitkan kesalahan di samping penjara. Ada juga kesalahan di bawah Seksyen 408, Kanun Keseksaan boleh dikenakan sebatan beserta hukuman penjara.
Hukuman sebatan yang dijatuhkan mahkamah dikenali sebagai Sebatan Kehakiman (Judicial Caning). Ia bermula ke­tika British menjajah Tanah Melayu dan pada 1871 semasa Ordinan IV Kanun Keseksaan Negeri-Negeri Selat digubal yang mengambil Kanun Kesek­saan India 1860 sebagai contoh.
Kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sebat semasa itu adalah merompak, curi, pecah rumah, mencabul kehormatan, kesalahan rogol kali kedua dan menjalankan aktiviti pelacuran serta memakan hasil pelacuran.
Namun sehingga hari ini banyak lagi kesalahan ditam­bah, contohnya memiliki sen­jata api dan senjata berbahaya.
Di bawah Kanun Acara Jenayah di bawah Seksyen 288-291 ada menyatakan prosedur bagaimana hukuman sebatan ini dilaksanakan. Contohnya, Seksyen 288 menyatakan bahagian tubuh yang disebat hendaklah dinyatakan oleh menteri yang berkuasa.
Ukur lilit rotan tidak boleh melebihi 0.5 inci dan bagi kesalahan seperti menyalahgunakan harta (Seksyen 403 ) dan melibatkan pecah amanah (Seksyen 407, 408, 409 dan 420) ia perlu disebat menggunakan rotan halus dan disebat dengan cara disiplin sekolah. Sebatan selalunya dibuat di bahagian punggung pesalah.
Seseorang yang dikenakan sebatan tidak boleh disebat melebihi 24 sebatan. Rotan yang digunakan tidak melebihi 0.5 inci. Bagi pesalah juvana sebatan menggunakan rotan halus sebagaimana pesalah bagi kesalahan di bawah Sek 403,407.408.409 serta 420.
Hukuman sebatan tidak boleh dibuat secara ansuran dan harus dijalankan dengan jumlah sebatan sekali gus namun pegawai perubatan perlu hadir untuk memastikan pesalah itu dapat bertahan ketika menerima sebatan itu.
Hukuman sebatan bukanlah boleh dijalankan kepada semua orang di bawah undang-undang. Hukuman sebatan tidak boleh dikenakan terhadap:
Wanita (Peraturan Penjara 2000 aturan 131(2)
Lelaki berumur 50 tahun ke atas selain melakukan kesalahan rogol (Seksyen 289 C) Kanun Acara Jenayah
Mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati.
Perbezaan penggunaan rotan adalah berdasarkan kesalahan kerana kita dapat melihat kesalahan serius dan membabitkan keganasan akan dikenakan rotan lebih besar berbanding jenayah kolar putih.
Terdapat hukuman sebat yang diperuntukan oleh Mahkamah Syariah. Contohnya, Seksyen 125 Kanun Acara Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 seperti berikut:
Peruntukan seksyen 125 dan Seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.
Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25
Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu: Sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui pesalah itu adalah dalam kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;
Jika pesalah itu hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas dia melahirkan anak atau keguguran, mengikut mana-mana berkenaan;
Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana diarahkan mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan kerajaan bagi maksud itu;
Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;
Orang itu harus menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepalanya agar tidak melukakan kulit pesalah;
Selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;
Sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit;
Pesalah hendaklah mema­kai pakaian mengikut hukum syarak.
Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;
Jika semasa hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.
Jika pegawai perubatan kerajaan memperakui pesalah itu tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkan munasabah.
Antara perbezaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah adalah jenis rotan tidaklah sama, wanita juga boleh dikenakan hukuman sebatan, cara sebatan dilakukan, tiada had umur bagi lelaki dan sebatan boleh dibuat secara ansuran bergantung pada tahap kesihatan pesalah.
Hukuman sebatan tidak lagi dilakukan di United Kindom sejak 1948 dan di India pada 1955. Namun Malaysia masih tidak menghapuskan hukuman sebatan ini.
Setiap hukuman bertujuan memulihkan pesalah untuk kembali ke pangkuan masyarakat, untuk menjadikan tauladan pada pesalah dan mencegah orang lain agar tidak melakukan perbuatan sama atau sebagai pembalasan terhadap pesalah bagi kesalahan yang dilakukan terhadap mangsanya.
Persoalannya, adakah hukuman sebatan ini menepati tujuan hukuman itu sendiri di era masa kini sedangkan di negara Komanwel telah lama dihapuskan hukuman ini?
Sebelum ini, pernah disebut oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyifatkan hukuman sebatan yang diguna pakai ketika ini terlalu kejam, keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan. Apa pula pendapat anda?

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya